Monday, August 03, 2009



AZIMAT

Sebagaimana yang kita lihat pada gambar ini ialah azimat atau nyanya orang Brunei, JIMAT.

Percayakah kitani pada tangkal atau azimat ani? Ada orang mengatakan memakai jimat akan dapat memberi kebaikan dan keuntungan bahkan ada yang percaya bahawa jimat atu dapat menyembuhkan penyakit, dapat meninggikan markah periksa dan macam-macam lagi. Sebenarnya semua andaian itu adalah tidak benar malah boleh membawa kepada syirik dan memesongkan akidah umat Islam. Jesteru semua jimat tersebut perlu kita buang, bakar dan betulkan setiap kepercayaan yang salah.

Dalam hal ini kita ingin menyebut mengenai Al-Quran. Pada keseluruhannya Al-Quran itu adalah ubat segala macam bentuk penyakit baik penyakit rohani mahupun jasmani. Perkara ini telah dijelaskan di dalam al-Quran melalui Firman Allah Subhanahu Wataala:

Tafsirnya: “Dan kami turunkan dengan beransur-ansur daripada Al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya, dan (sebaliknya) al-Quran itu tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) me-lainkan kerugian jua.” (Surah al-Isra)

Firman Allah Subhanahu Wa’Taala lagi:

Tafsirnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran daripada Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada dalam dada kamu, dan juga menjadi petunjuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.” (Surah Yunus:57)

Marilah kita menyelidiki apa sebenarnya penggunaan atau pemakaian tangkal dan azimat itu?

Tangkal atau azimat pada kebiasaannya adalah benda-benda atau tulisan yang dibungkus, dikalungkan atau dibawa oleh seseorang dengan maksud sebagai penangkal kejahatan untuk menolak segala jin atau syaitan dan sihir, di samping untuk keselamatan atau penyembuhan. Ada kedapatan disimpan di dalam bag untuk banyak duit, dalam almari supaya kaya, bawah bantal, dalam kereta dan lain-lain lagi.
Apakah sebenarnya perbezaan tangkal atau azimat itu?
Apa sebenarnya Tangkal itu? Dari segi bahasa:

Dalam bahasa Arab disebut sebagai “Tamimah“ iaitu barang yang digantung di tangan kanak-kanak atau lainnya kerana menolak ‘ain (kejahatan mata). Menurut al-Kholkoli, “Tamimah“ itu ialah benda yang digantung di leher kanak-kanak yang diperbuat daripada manik-manik atau tulang untuk menolak penyakit ‘ain.

Menurut kamus dewan, tangkal itu ialah sesuatu untuk di-gunakan untuk menolak bala (penyakit hantu,jin dan ‘ain).

Ia juga bererti azimat seperti Tangkal Bisa, Tangkal Jin, Tangkal Sawan dan Tangkal Sahari Bulan (Azimat yang berbentuk bulan sabit daripada emas atau perak yang digantung di leher kanak-kanak).

Manakala, azimat pula ialah bahan yang terdiri daripada tulisan yang ditulis pada kertas,kain,keratan kayu tertentu atau sisik tenggiling yang dipakai pada bahagian tertentu tubuh badan seperti pinggang yang dianggap mempunyai sakti dan boleh mengelakkan penyakit,bencana dan sebagainya.

Pada kebiasaannya tangkal dan azimat itu kedua-duanya dianggap oleh sebahagian masyarakat dapat menyembuhkan penyakit atau melindungi diri dan keluarga daripada bahaya seperti bahaya gangguan jin, sengatan kala jengking, kejahatan ‘ain, kedengkian orang dan sebagainya.

Nah sekarang kita sudah dapat mengenal pasti apa dia tangkal dan apa dia azimat.

Pandangan Islam Terhadap Tangkal Dan Azimat~

Menurut al-Qurthubi bahawa tangkal itu terbahagi kepada tiga perkara.
Yang pertama, tangkal yang dibuat oleh orang-orang jahiliah daripada perkara yang tidak dipahami tujuannya. Tangkal seperti ini wajib dijauhi supaya tidak belaku syirik atau membawa (menyekutukan Allah).

Yang kedua, tangkal yang digunakan dengan ‘kalamullah’(al-Quran) atau dengan nama-nama Allah Subhanahu Wataala dan sifat-sifatnya. Tangkal seperti ini harus di-gunakan bahkan menjadi sunat jika tangkal itu bersumber daripada hadis atau ‘atsar’ sahabat.

Yang ketiga, tangkal-tangkal yang digunakan bukan daripada nama atau sifat Allah Subhanahu Wataala dan bukan daripada Firman Allah, Seperti nama-nama malaikat atau orang salih atau nama mu’azhzham daripada makhluk seperti ’Arasy’.

Tangkal seperti ini lebih baik ditinggalkan. Jika tangkal itu mengandungi perkara menghormatkan perkara makhluk itu, maka ’sayugia’ dijauhkan seperti menjauhi daripada bersumpah bukan dengan nama Allah Subhanahu Wataala.

Tangkal Dan Azimat Yang Diharuskan dan dibenarkan

Tangkal dan azimat yang harus atau boleh di-gunakan itu ialah yang diketahui erti dan tujuan-nya serta harus pula pada syara’ seperti ianya mengandungi zikir kepada Allah Subhanahu Wataala.

Menurut Imam Al-Khaththabi, bahawa apabila tangkal dan azimat itu mengandungi zikir kepada Allah, maka adalah sunat digunakan bagi tujuan mengambil berkat daripada zikir-zikir itu. Tetapi, dalam hal keberkesanannya, hanya Allah jualah yang memberi perlindungan, menyembuhkan dan sebagainya kepada penggunanya bukan yang lain (bukan tangkal dan azimat itu).

Menurut Imam an-Nawawi pula, sunat menggunakan azimat yang menggunakan ayat al-Quran dan zikir-zikir yang ma’aruf.

Menurut Imam Ibnu Hajar, ulama telah ijma’ mengenai keharusan pe-makaian tangkal dengan ‘kalamullah’ atau nama dan sifat Allah Subhanahu Wataala,bergantung pada tiga syarat;

1. Hendaklah tangkal itu dengan menggunakan firman Allah atau nama dan sifat-sifatnya. Tangkal itu juga digunakan dengan bahasa Arab atau bahasa lain yang diketahui ertinya, dan hendaklah orang yang membuat atau memakai tangkal itu jangan beri’tiqad bahawa tangkal itulah yang memberi kesan. Kesan baik dan jahat itu datang-nya daripada Allah Subhanahu Wataala jua.

Dalil yang mengharuskan bagi penggunaan tangkal dan azimat itu telah disebutkan dalam hadis Rasullullah Shallallahu Alaihi Wassalam, daripada ‘Auf Bin Malik Al-Asyja’iy telah berkata:

Maksudnya: “Dahulu di zaman jahiliah kami menggunakan tangkal-tangkal. Lalu kami bertanya: “Wahai Rasullullah! Bagaimanakah pandangan mu tentang itu?” Baginda bersabda: “Tunjukkanlah kepada saya tangkal-tangkal kamu itu, tidak mengapa menggunakan tangkal-tangkal yang tidak ada padanya syirik.”
(Hadis riwayat Muslim)

Dalam sebuah riwayat, Anas Radhiallahu’anhu telah bertanya kepada Tsabit Rahimahullah yang sedang sakit:

Maksudnya: “Mahukah kamu aku jampikan dengan jampi Rasullullah Shallallahu Alaihi Wassalam?” Dia menjawab: “Ya.” Berkata Anas: “Ya Allah, Tuhan manusia yang menghilangkan kesengsaraan, sembuhkanlah. Engkaulah penyembuh. Tidak ada penyembuhan melainkan penyembuhan Mu, penyembuhan yang tidak meninggalkan sebarang kesakitan.”
(Hadis riwayat Abu Daud)

Dalam riwayat yang lain, ‘Aisyah Radhiallahu’anha berkata:

Maksudnya: “Nabi Shallahu Alaihi Wassalam ketika menjampi baginda membaca: “ Debu tanah kami dan air liur sebahagian kami, menyembuhkan sakit kami dengan izin Tuhan kami.”
(Hadis riwayat Al-Bukhari)

Dalam hadis yang lain, ‘Aisyah telah ditanya mengenai jampi tehadap binatang yang mempunyai racun, lalu ‘Aisyah men-jawab:

Maksudnya: “Nabi Shallahu Alaihi Wassalam telah memberi kelonggaran untuk berjampi daripada setiap sesuatu yang mempunyai racun.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Di dalam kitab dalil Al-Falihin Syarh Riyadh Ash-Shalihin, Ar-Rabi telah bertanya kepada Imama Asy-Syafie tentang pemakaian tangkal atau azimat, maka Imam Asy-Syafie men-jawab:

Ertinya: “Tidak mengapa memakai tangkal dengan kitab Allah (Al-Quran) atau dengan apa yang diketahui daripada zikir Allah.”

Tangkal Dan Azimat Yang Harum Digunakan

Adapun tangkal dan azimat yang diharamkan ialah sesuatu yang dibuat oleh orang-orang zaman jahiliah seperti diikat tembaga di lengan sebagai azimat dan dikalungkan sesuatu di leher sebagai azimat atau sesuatu yang dibuat sebagai sihir, umpamanya supaya isteri cinta kepada suami atau sebaliknya atau tangkal dan azimat itu tidak dapat difahami erti dan tujuan-nya. Ini adalah kerana tangkal dan azimat seperti ini boleh jadi mengandungi perkara-perkara yang membawa syirik.

Orang-orang jahiliah beri’tiqad bahawa tangkal dan azimat itu menolak bencana dan kejahatan. I’tiqad seperti itu adalah dosa besar. Walaupun kita tidak dapat mengatakannya sebagai syirik, tetapi ia boleh membawa dan menarik seseorang ke dalam ‘gawang syirik’ (menyekutukan Allah) dan menyekutukan Allah itu adalah kafir atau menjadikan orang Islam murtad (keluar dari agama Islam).

Selain daripada itu, penggunaan tangkal dan azimat juga boleh menjadi haram apabila ia melanggar prinsip-prinsip hukum yang telah ditetapkan oleh syara’. Jika orang yang memakai tangkal atau azimat itu bukan setakat untuk megabit berkat sahaja, bahkan beri’tiqad bahawa tangkal dan azimat yang dipakainya itu mempunyai kuasa ghaib atau kesakitan yang boleh menolak bencana dan sebagainya, maka I’tiqad seumpama ini akan merosakkan prinsip aqidah Islam yang sebenar.

Larangan memakai tangkal dan azimat yang menyalahi prinsip-prinsip hukum yang telah ditetapkan oleh syara’ itu ada disebutkan dalam beberapa buah hadis Rasullullah Shallallahu Alaihi Wassalam bersabda:

Maksudnya: “Sesiapa menggantung (memakai) azimat, maka Allah tidak akan sempurnakan baginya, dan sesiapa menggantung wada’ah (suatu benda putih yang diambil daripada laut bagi pelimun daripada mata orang) maka Allah tidak akan memberinya tenang dan selesa.”
(Hadis riwayat Imam Ahmad dan Al-Hakim)

Dalam riwayat yang lain pula, bahawa satu kumpulan terdiri daripada sepuluh orang telah datang mengadap Rasullullah Shallallahu Alaihi Wassalam dan sembilan orang daripadanya telah mengikat ikatan setia. Rasullullah Shallallahu Alaihi Wassalam enggan mengikat ikatan setia dengan lelaki yang seorang itu, Orang-orang bertanya apakah sebab-nya, sabda baginda: “Di lengan atasnya ada azimat,maka orang itupun menanggalkan azimat itu dan Rasullullah Shallallahu Alaihi Wassalam pun mengikat setia dengannya, kemudian baginda bersabda:

Maksudnya: “Barangsiapa menggantung (memakai) azimat, maka dia telah menyekutukan Allah.” (Hadis Riwayat Al-Imam Ahmad)

Manakala hadis yang dikhabarkan oleh Imran Bin Hushain, bahawa Rasullullah Shallallahu Alaihi Wassalam telah terpandang suatu ‘halaqah’ (lingkaran) di atas lengan seorang lelaki dan baginda meminta supaya benda itu ditunjukkan kepadanya. Berkata orang itu: “Lingkaran itu berasal daripada tembaga,” maka bersabda Rasullullah:

Maksudnya: “Celaka! Apa ini?” Berkata orang itu, “Ini daripada jenis wahniah (azimat bagi penyakit di lengan atas).” Sabda baginda: “Sanya wahinah itu tidak menambahkan kamu melainkan menambahkan sakit lengan. Tanggalkanlah ia daripada kamu, kerana kalau kamu mati, dan ia masih ada di badan kamu, kamu tidak akan beruntung untuk selama-lamanya.”
(Hadis riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Zainab, isteri Abdullah katanya:

Maksudnya: “Telah datang orang tua kepada kami untuk menjampi humrah (penyakit sejenis Ta’un), sementara kami mempunyai tempat tidur yang kakinya panjang. Apabila Abdullah masuk, dia berdehem-dehem dan bersuara. Maka pada suatu hari Abdullah masuk, lalu bersembunyi orang tua itu ketika mendengar suaranya. Lalu Abdullah datang dan duduk di sampingku (Zainab) dan menyentuhku, kemudian dia mendapati pada sentuhan itu benang, lalu bertanya: “Apa ini?” Maka saya menjawab: “Ini adalah tangkalku yang di dalamnya jampi penyakit humrah.” Maka Abdullah pun menarik dan memotongnya, lalu membuangnya. Berkata Abdullah: “Sesungguhnya keluarga Abdullah tidak berhajat kepada sesuatu yang syirik.” Saya mendengar Rasullullah Shallallahu Alaihi Wassalam bersabda: “Bahawa tangkal-tangkal, azimat-azimat dan tilawah itu menyekutukan Allah.”

Saya berkata: “Sesungguhnya pada suatu hari saya telah keluar dari rumah, maka si polan telah melihatku. Lalu mata saya yang sebelah arah polan itu telah melelehkan air mata. Maka apabila saya tinggalkan orang itu, berhentilah air mata itu dan apabila saya biarkan dia, meleleh lagi air matanya.”

Berkata Abdullah: “Itulah perbuatan syaitan. Apabila engkau ikut perbuatan syaitan ia tinggalkan engkau dan apabia engkau derhaka kepada syaitan, maka ia cucuk mata engkau, tetapi jikalau engkau buat sebagaimana yang telah dibuat oleh Rasulullah, adalah lebih baik kepada engkau dan lebih lekas engkau sembuh. Engkau renjiskan air pada matamu, dan engkau berdoa: Mohon hilangkan sakit ini, ya Tuhan manusia, dan mohon sembuhkan, Engkau lah yang Penyembuh, Tidak ada penyembuhan melainkan penyembuhanMu, penyembuhan yang tidak meninggalkan sebarang kesakitan.

Demikianlah sidang pembaca yang dirahmati Allah sekalian. Marilah kita sama-sama menghindari perkara syirik supaya terhindar dari murka Allah.