Monday, May 10, 2010

Rasuah



Setiap makhluk di muka bumi ini memerlukan makanan dan minuman untuk terus hidup dan membesar. Begitulah halnya dengan manusia, makanan merupakan asas penting untuk membentuk rohani dan jasmani kerana itu agama Islam menitikberatkan supaya makanan dan minuman yang dimakan dan diminum itu adalah benar-benar halal.

Memakan makanan jangan hanya sekadar memastikannya dari jenis-jenis makanan yang dihalalkan oleh syarak sahaja tetapi yang juga mesti dipastikan ialah sumber kewangan yang digunakan untuk mendapatkan makanan tersebut bukan dari sumber yang tidak halal seperti wang curi, tipu, judi, riba, rasuah dan lain-lain yang tidak halal. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan daripada An-Nuqman bin Basyir Radiallahuanhu maksudnya :

"Perkara yang halal itu jelas dan begitu juga perkara yang haram itu jelas". (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Di antara sumber pendapatan yang tidak halal itu ialah melakukan rasuah. Rasuah ialah suatu pemberian berupa sogokan yang diberikan kepada seseorang dengan sebab tertentu bagi membolehlah perkara yang dihajati dapat diperolehi atau diselesaikan atau disegerakan dan sebagainya. Rasuah dikatakan juga 'sogokan' atau 'makan suap' atau 'tumbuk rusuk' dan ia merupakan perbuatan yang keji dan dilarang oleh agama Islam sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 188 yang tafsirnya :
"Dan janganlah kamu makan atau mengambil harta orang-orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan atau mengambil sebahagian dari harta manusia dengan berbuat dosa, pada hal kamu mengetahui salahnya".

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:

"Dari Abdillah bin Amru Radiallahuanhuma ia berkata : Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah".(Riwayat Al-Imam At-Tarmizi).

Rasuah dalam perspektif hukum Islam adalah haram. Ini berdasarkan dalil yang Qat’ie iaitu al-Quran, as-Sunnah dan Ijmak Ulamak. Dalam al-Quran terdapat ayat yang menggariskan tentang rasuah berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 188:
Maksudnya: “ Dan janganlah kamu makan harta orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

Dalam kita menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan, sifat amanah adalah memainkan peranan yang amat penting. Tanpa sifat amanah, akan mudahlah berlakunya sebarang penyelewengan seperti perbuatan rasuah dan bermacam-macam lagi yang bertentangan dengan ajaran agama Islam.

Pengertian rasuah itu sebenarnya amat luas, ia bukan hanya tertumpu kepada masalah kewangan sahaja, tetapi juga termasuk penyalahgunaan kuasa yang diamanahkan. Sebagai contoh, jika sekiranya diberikan kuasa membuat pemilihan dan meluluskan tender-tender, maka ia akan memilih dan meluluskan mana-mana orang yang memberikannya sogokan dan suapan tanpa menghiraukan orang yang lebih layak untuk dipilih. Begitu juga jika diamanahkan untuk mengambil pekerja, ia akan mengenepikan orang yang lebih layak dan berhak untuk menjawat pekerjaan itu malahan akan mementingkan saudara-maranya, kawan atau pihak yang menjanjikannya sesuatu imbuhan kepada perbuatan tersebut.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :

"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu, sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Apabila hilang amanah maka tunggulah kedatangan Hari Kiamat. Maka bertanya seorang lelaki : Bagaimana hilangnya amanah itu? Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Iaitu apabila sesuatu urusannya diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah kerosakan dan kebinasaan".(Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).

Perbuatan melakukan rasuah ini bukanlah suatu perkara yang baru, ia telah berlaku sejak zaman-berzaman. Dan Allah Subhanahu Wataala telah melarang umatnya dari melakukan rasuah kerana rasuah boleh menutup mulut manusia dari berkata-kata benar, rasuah boleh menghalang senjata dari menentang musuh, di samping itu rasuah juga boleh menggali lubang-lubang bahaya. Rasuah boleh membenarkan sesuatu yang salah dan menyalahkan sesuatu yang benar. Rasuah boleh mengotorkan jiwa yang bersih, rasuah boleh membuka pintu-pintu rahsia, rasuah boleh menjadikan orang ikhlas menjadi khianat, rasuah boleh menukar pahlawan menjadi penakut dan akhirnya rasuah boleh menyebabkan benteng-benteng kukuh menjadi tidak berguna dan tidak bererti.

Sesungguhnya Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri pernah cuba ditawarkan oleh orang-orang bukan Islam dengan beberapa tawaran kerana mereka mahu Baginda memberhentikan usaha menyebarkan ajaran agama Islam. Orang-orang kafir Quraisy merasa takut disebabkan dakwah yang dibawa oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah berkembang dengan pesat dan pengikut Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam semakin hari semakin bertambah sehingga menyebabkan orang-orang kafir Quraisy mengutus Utbah bin Rabi'ah berjumpa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan menawarkan beberapa tawaran agar Baginda dapat bekerjasama dengan mereka.

Namun Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dengan pendiriannya yang tegas tetap menolak tawaran tersebut dan tidak akan meninggalkan perjuangan Baginda dalam berdakwah demi menegakkan syiar agama Islam semata-mata kerana Allah Subhanahu Wataala. Baginda langsung tidak menerima tawaran-tawaran itu sekalipun Baginda ditawarkan dengan kekayaan, pangkat dan kuasa. Itulah bukti bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tidak menerima tawaran-tawaran tersebut dan tetap dengan kekuatan keimanan Baginda.

Ketahuilah dan takutlah bahawa balasan bagi perbuatan rasuah itu tidak lain ialah Neraka Jahanam. Itulah seksaan dan azab pemberi rasuah dan penerima rasuah. Kemudian kita bayangkan pula bagaimana halnya dengan ahli keluarga yang diberi makan minum dari hasil tersebut, tentulah mereka juga terlibat memakan sesuatu yang haram. Sedangkan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ada menyebutkan dalam hadis Baginda akan balasan orang yang memakan makanan yang haram dan tidak halal.

Dari Saad bin Abi Waqas Radiallahuanhu ia berkata : Wahai Rasulullah serulah kepada Allah untuk menjadikan aku orang yang mustajab dengannya, bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, wahai Saad, perbaikilah makananmu, nescaya kamu menjadi orang yang dikabulkan doanya. Demi jiwa Muhammad dalam gengaman-Nya, sesungguhnya seorang hamba yang memasukkan sesuap makanan yang haram ke dalam perutnya, maka tidak akan diterima amal kebajikannya selama empat puluh hari. Dan barangsiapa yang daging dalam badannya tumbuh dari yang haram dan dari hasil riba, maka api Neraka lebih layak baginya. (Riwayat Al-Imam At-Tabarani).

Rasuah adalah perbuatan jenayah yang telah menular dan menjadi darah daging dalam kehidupan masyarakat manusia di semua tempat. Berdasarkan laporan dalam media cetak dan elektronik di dapati pada kebiasaannya penglibatan rasuah dalam sektor perkhidmatan awam, swasta dan orang ramai meliputi perbuatan meminta, menawar, menerima suapan atau tuntutan palsu atau menyalahgunakan jawatan untuk kepentingan diri, keluarga dan puak tertentu.

Persoalan besar timbul ialah mengapa amalan najis rasuah berlaku?. Berdasarkan kajian pihak berkuasa, punca-punca menyebabkan berlaku rasuah ialah bernafsu besar atau sifat tamak haloba, sikap mahu hidup mewah, memburu kekayaan dengan cepat, tidak bersyukur serta terikut-ikut dengan rakan-rakan sekerja.

Rasuah adalah perbuatan haram dan salah satu perbuatan yang boleh mengakibatkan tertolaknya ibadah solat dan doa kita. Alangkah ruginya kita disebabkan perbuatan rasuah ibadah dan doa kita menjadi sia-sia, justeru akan menjauhkan kita daripada mendapat rahmat Allah SWT. Lebih membimbangkan lagi jika kita tidak segera membanteras penyakit rasuah boleh menyebabkan kita terdedah dengan pelbagai malapetaka dan bencana dalam kehidupan, akibat kemurkaan Allah seperti firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 112:

Maksudnya: “Mereka ditimpa kehinaan di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia. Dan mereka kembali mendapat kemurkaan dari Allah, dan mereka ditimpa kemiskinan. Yang demikian itu, disebabkan mereka ingkar akan ayat-ayat Allah, dan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan melampaui batas.”

Pengamal, penyalahguna dan mereka yang bersyubahat dengan rasuah adalah pengkhianat negara. Apa yang nyata, kadar celik huruf dan celik akal di kalangan kita semakin tinggi tetapi mereka yang terlibat gagal membuat penilaian dengan waras tentang isu-isu rasuah.

Rasuahlah penyakit yang merosakkan kita sebagai satu bangsa yang bermaruah dan mencemarkan imej Islam. Rasuahlah yang akhirnya akan membuat kita terperosok dalam krisis yang paling dalam sekali.

Walau pun agak sukar atau pun payah bagi kita memerangi rasuah sehingga ke akar umbi, tetapi kalau kita benar-benar berusaha ia akan mencapai kejayaan. Yang pentingnya ialah kesediaan kita untuk bekerja keras tanpa mengira jemu berjihad menentang rasuah.

Sememangnya rasuah itu amat berbahaya dan bahayanya amat besar melibatkan seluruh bangsa dan negara. Oleh itu hindarkanlah bangsa dan negara dari penyakit yang berbahaya ini, timbulkanlah rasa insaf dan amalkanlah sifat jujur dan amanah, jadikanlah diri kita orang yang tahu mana yang hak, mana yang batil dan jadikanlah diri kita orang yang bertaqwa, mudah-mudahan kita mendapat keredaan, keberkatan, perlindungan dan rahmat dari Allah Subhanahu Wataala, Amin Yarabbal Alamin.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 168 yang tafsirnya :

"Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu".

Oleh yang demikian,kita selaku pemimpin tidak kira organisasi yang kita pimpin itu kecil atau besar,hendaklah mencontohi sikap rasul Allah Sallallahu Alaihi Wasalam didalam menangani rasuah dengan mengambil langkah-langkah pro aktif dan tepat kearah mencegah dan membenteras sebarang perlakuan yang menjurus kepada kegiatan rasuah didalam organisasi masing-masing..

Nikmat Umur



Sesungguhnya Allah Subhanahu Wata'ala itu amat pengasih dan penyayang, memberikan bermacam-macam nikmat seperti nikmat kemewahan, nikmat kemudahan dan nikmat kesenangan dan bermacam-macam lagi sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah An Nahl, ayat 18 tafsirnya :

"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu, tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu : Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani".

Memang tidak siapa pun dapat menafikan bahawa nikmat Allah Subhanahu Wata'ala itu amat banyak dan kita tidak akan mampu mengiranya walaupun kita cuba menghitungnya.

Walau bagaimanapun semua kenikmatan itu tidak akan mendatangkan faedah jika kita tidak dikurniakan nikmat masa, nikmat umur, nikmat sihat, nikmat akal dan sebagainya. Akan tetapi nikmat-nikmat itulah yang selalu manusia mudah lupa dan lalai menggunakannya disebabkan keindahan dan kemewahan hidup di dunia ini.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al 'Ankabuut, ayat 64 tafsirnya :

"Dan ingatlah bahawa kehidupan dunia ini meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan : Dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya, kalaulah mereka mengetahui hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat".

Nikmat Allah Subhanahu Wata'ala memang tidak terkira dan nikmat umur salah satu nikmat yang amat penting dalam kehidupan kita kerana tanpanya kita tidak akan ada di dunia ini, dan jika nikmat umur ditarik oleh Allah Subhanahu Wata'ala, maka hilanglah peluang bersama keluarga, bersama sahabat dan masyarakat bahkan tidak ada lagi peluang untuk beramal ibadat kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Oleh itu janganlah kita persia-siakan nikmat umur selagi ada.

Sebagai tanda syukur kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala kerana mengurniakan kita umur sehingga kita hidup sampai ke hari ini, maka gunakanlah umur itu dengan sebaik-baiknya dengan mengabdikan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala, mentaati segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Dan berbaktilah kepada kedua ibu bapa, agama, raja dan masyarakat sama ada dengan harta, tenaga dan fikiran semata-mata ikhlas dengan niat mendapat keredhaan Allah Subhanahu Wata'ala.

Kita perlulah ingat, bahawa setiap permulaan ada akhirnya dan setiap yang hidup akan mati. Sesungguhnya saat kematian tiada siapa pun mengetahui tetapi yang pasti ajal tetap tiba. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al A'raaf, ayat 34 tafsirnya :

"Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh yang telah ditetapkan, maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaat pun dan tidak dapat pula mereka didahulukan".

Oleh itu sebelum tiba masanya gunakanlah nikmat yang ada untuk mengingat Allah Subhanahu Wata'ala dan melakukan amal kebajikan sebagai bekalan menuju akhirat.

Dari Abdul Rahman bin Abi Bakrah dari ayahnya, seorang lelaki telah berkata : Wahai Rasulullah, siapakah sebaik-baik manusia? Berkata? Rasulullah : Sebaik-baik manusia ialah orang yang dipanjangkan umurnya dan umur itu dipergunakan untuk berbuat kebaikan. Berkata lelaki itu lagi : Siapakah sejahat-jahat manusia? Berkata Rasulullah : Sejahat-jahat manusia ialah orang yang dipanjangkan umurnya tetapi digunakannya untuk berbuat kejahatan". (Riwayat Al-Imam At-Termizi)

Ketahuilah bahawa segala perbuatan yang kita lakukan di dunia ini akan dihakimkan di Hari Kiamat kelak. Pada ketika itu seluruh anggota menjadi saksi dan berkata-kata terhadap apa yang kita lakukan. Oleh itu hendaklah kita bersikap menyesal dahulu kerana menyesal kemudian tidak ada ertinya. Ibarat kata nasi sudah menjadi bubur.

Sebagai hamba Allah Subhanahu Wata'ala yang beriman dan percaya adanya seksa kubur dan Hari Kiamat, maka bersedialah selagi umur masih ada, dan gunakanlah sebaik-baiknya untuk mencapai kesudahan yang baik iaitu husnulkhatimah dan bukan kesudahan yang tidak baik iaitu suulkhatimah, sebagaimana yang biasa kita pohonkan dalam doa kita berbunyi:

Rabbana 'atina fid'dunia hasanah wafil akhirati hasanah waqina azaban'nar

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Faathir, ayat 37 tafsirnya :

"Dan mereka menjerit-jerit di dalam neraka itu sambil merayu : Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami dari azab ini : Kami akan mengerjakan amal-amal yang soleh, yang lain dari apa yang kami pernah kerjakan. Lalu Allah menempelak mereka, bukankah Kami telah melanjutkan umur kamu dan memberikan masa yang cukup untuk berfikir dan beringat padanya oleh sesiapa yang suka berfikir dan beringat? Dan kamu pula telah didatangi oleh rasul Kami yang memberi amaran. Oleh itu, rasalah azab seksa, kerana orang-orang yang zalim tidak akan beroleh sesiapa pun yang dapat memberikan pertolongan".