Tuesday, December 08, 2015

ISLAM AGAMA KEDAMAIAN

 بسم الله الرحمن الرحيم
Sesungguhnya Islam agama yang mencintai keamanan. Islam tidak menyuruh umatnya melakukan kerosakkan, kejahatan, kemungkaran, kezaliman, kekerasan dan sebagainya. Islam menolak apa jua kegerakkan pelampau yang menggunakan kekerasan pembunuhan dan peperangan yang mengugat keamanan negara dan dunia. Ini telah dijelaskan dalam sebuah hadits riwayat Imam al-Bukhari daripada Abdullah bin Umar radhiallahu ‘anhuma dari nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يُسْلِمُهُ
Maksudnya: seorang muslim itu adalah saudara bagi seorang muslim yang lain, tidak boleh menzaliminya dan tidak boleh membiarkannya dizalimi.

Dunia sekarang sedang resah gelisah dengan wujudnya kumpulan tertentu yang mengaku Islam tetapi berkelakuan dengan membunuh orang yang tidak berdosa. Sekarang semua mata di dunia tertumpu pada kumpulan yang dilebal sebagai kumpulan penganas ini, siapa mereka dan benarkah mereka itu golongan pejuang Islam? Daripada tindak tanduk mereka, langsung tidak menandakan mereka itu sebagai pejuang Islam kerana Islam tidak pernah merestui perbuatan seperti yang mereka lakukan, bahkan menegahnya. Akan tetapi malang sekali, media-media utama dunia telah menyebutkan mereka itu adalah golongan orang Islam yang memperjuangkan Islam dan umat Islam, maka tidak diragukan lagi, ini adalah satu fitnah dahsyat terhadap Islam. Islam telah difitnah selaku agama yang menaja keganasan, yang membenarkan penganasan, agama yang tidak peka dengan perikemanusiaan, agama yang miskin dengan kasih sayang dan miskin dengan sifat belas kasihan.

Ada yang mendakwa bahawa tindakan penganasan yang mereka lakukan adalah jihad dan untuk meraih pahala yang besar iaitu masuk syurga. Memang benar berjihad itu besar ganjarannya. Persoalannya, adakah benar tindakan penganasan tersebut boleh dikategorikan sebagai jihad? Apa yang kita nampak gerakan tersebut lebih kepada kumpulan militan yang berjuang mengangkat senjata demi mencapai matlamat mereka mengulingkan kerajaan yang mereka tidak suka. Ketahuilah jihad dalam Islam tidak sekali-kali akan membunuh sesuka hati, lebih-lebih lagi jika membunuh sesama Islam.

Walaupun  Islam mengajak umatnya berperang menegakkan serta mempertahankan agama, maruah dan harga diri, Islam tidak mengizinkan umatnya bermaharaja lela dimedan peperangan. Islam mengawal dan mengajar umatnya agar nilai-nilai keluhuran dan akhlak tetap dipatuhi walaupun dalam peperangan. Ini jelas sebagaimana Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah al-Baqarah ayat 143  yang tafsirnya :
“Dan demikianlah kami menjadikan kamu umat yang pertengahan (sebagai umat yang adil dan pilihan) supaya kamu menjadi saksi atas manusia tentang yang benar dan yang salah dan Rasulullah pula akan menjadi saksi atas perbuatan kamu”.

Jihad mempunyai maksud yang luas, jihad adalah usaha yang gigih dan bersungguh-sungguh dan tidak semestinya membawa kepada peperangan atau pertempuran. Ini kerana, usaha yang gigih dan bersungguh-sungguh في سبيل الله dapat diusahakan melalui jalan yang aman lagi adil dan bukannya ganas dan zalim.

Islam tidak pernah mengajar umatnya berpecah dan bermusuh-musuhan, sebaliknya menyeru perpaduan dan keamanan. Jika terdapat anasir-anasir atau ancaman-ancaman yang hendak merosakan ugama Islam, ianya hendaklah ditangani dengan cara yang berhemah, bukan dengan kekerasan, kekacauan dan berbunuh-bunuhan. Islam sangat memelihara kehidupan bermasyarakat, berbangsa dan bernegara. Marilah kita seluruh umat Islam bersatu padu, bekerjasama dan sentiasa berpegang teguh dengan Ugama Allah (Islam) demi kekuatan Ugama Islam. Elakkan perpecahan dan permusuhan yang boleh melemahkan dan menghancurkan perpaduan umat Islam sehingga membolehkan musuh-musuh Islam memecah-belahkan perpaduan dan permusuhan Umat Islam. Sama-samalah kita berdoa kepada Allah subhanahu wa Ta’ala semoga umat Islam dan Ugama Islam mendapat perlindungan dan pemeliharaan Allah subhanahu wa Ta’ala.

Dipetik dari Khutbah Jumaat.
20/11/15

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan