Thursday, April 14, 2016

Surah al-Mulk


Surah al-Mulk merupakan surah yang ke 67 dalam al-Quran dan mempunyai 30 ayat. Surah ini diturunkan di Mekah dan terletak di dalam juz 29. Surah ini dinamakan surah al-Mulk (kuasa Pemerintahan) kerana ia dimulai dengan ungkapan memulia dan mengagungkan kebesaran dan kekuasaan mutlak Allah Subhanahu wa Ta’ala di dunia dan di akhirat. Surah ini dinamakan juga al-waqiyah yang bermaksud pelindung, al-Munjiyah yang bermaksud penyelamat kerana ia boleh melindungi dan menyelamatkan seseorang daripada azab kubur serta memberi syafa’at kepada orang yang mengamalkannya, al-mani’ah yang bermaksud yang menahan azab dan seksa dan al-Mujadilah yang bermaksud membela atau mempertahankan orang yang membacanya pada hari Kiamat.
Surah ini dimulai dengan ungkapan puji-pujian terhadap Allah Subhanahu wa Ta’ala yang menguasai pemerintahan dunia dan akhirat. Dialah yang mengendalikan segala yang wujud dalam konteks menghidup dan mematikan, memulia dan menghinakan serta memberi kekayaan dan kemiskinan. Kekuasaan Allah itu ditegaskan dengan dalil bahawa Dia menjadikan tujuh petala langit tanpa sebarang kecacatan dan menghiasnya dengan bintang-bintang gemerlapan. Semua itu untuk menunjukkan bahawa sistem yang mengendalikan alam ini ialah sistem yang serba teratur dan kemas.
Dalam surah ini juga mengambarkan keadaan orang-orang kafir yang menerima hukuman di akhirat kelak. Mereka menyesali dan mengakui kesilapan serta dosa mereka, tetapi semuanya sudah terlambat dan tidak berguna lagi. Seterusnya, Allah menegaskan bahawa penciptaan bumi adalah untuk faedah kehidupan manusia. Oleh itu manusia wajib menghargainya dan menginsafi bahawa Allah berkuasa menimpakan azab kepada sesiapa sahaja pada bila-bila masa sebagaimana yang pernah menimpa umat-umat silam yang mendustakan rasul-rasul mereka.
Surah ini diakhiri dengan penegasan bahawa hari kiamat itu hanya Allah sahaja yang mengetahui bila masanya. Manusia diperingatkan bahawa hanya iman dan taqwa sahajalah yang dapat menyelamatkan seseorang daripada azab Allah.
Kelebihan Surah al-Mulk
Di antara kelebihan Surah ini ialah:
  • Menyelamatkan daripada azab kubur. Perkara ini ada disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi daripada Ibnu Abbas bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
هِيَ الْمَانِعَةُ هِيَ الْمُنْجِيَةُ تُنْجِيهِ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ

          Makudnya: Surah al-Mulk itu menghindar iaitu menyelamatkannya daripada azab kubur.
  • Memberi syafa’at kepada pembacanya sehingga diampunkan dosanya. Imam at-Tirmidzi meriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
إِنَّ سُورَةً مِنْ الْقُرْآنِ ثَلَاثُونَ آيَةً شَفَعَتْ لِرَجُلٍ حَتَّى غُفِرَ لَهُ وَهِيَ سُورَةُ تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ

      Maksudnya: sesungguhnya ada satu surah di dalam al-Quran yang terdiri daripada tiga puluh 
      ayat yang akan memberi syafa’at kepada seseorang (pembaca), sehingga diampunkan dosanya, 
     itulah surah Tabarakal lazi biyadihil mulk (surah al-Mulk)