Monday, August 07, 2017

HAJI ADALAH IBADAH JIHAD TANPA PEPERANGAN



Hadits riwayat Ibnu Majah daripada Aisyah Radhiallahu ‘anha berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ عَلَى النِّسَاءِ جِهَادٌ ؟ قَالَ نَعَمْ عَلَيْهِنَّ جِهَادٌ لَا قِتَالَ فِيهِ الْحَجُّ وَالْعُمْرَةُ
Maksudnya:
“Ya Rasulullah, apakah wanita wajib berjihad?” Baginda menjawab: “Ya, jihad yang tanpa ada peperangan di dalamnya, iaitu haji dan umrah.”

Ramai yang mengetahui tentang kalimah “jihad” tetapi kurang yang mengerti makna perkataan “jihad” dalam perspektif Islam. Jihad  bukanlah setakat peperangan semata-mata tetapi ianya adalah satu perbuatan memerangi musuh-musuh ataupun sesuatu yang ingin menghancurkan agama, masyarakat, kebudayaan, pegangan, akidah Islam dan sebagainya dengan hanya bertujuan menegakkan agama dan berjuang di jalan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Sekiranya ia memerangi tanpa tujuan mempertahankan Islam ataupun di jalan Allah Subhanahu wa Ta’ala semata-semata, maka ianya bukan dinamakan “Jihad” akan tetapi ianya hanya menjadi peperangan yang menurut hawa nafsu, harta benda dan kuasa.

Jihad bukan sahaja pada peperangan sama musuh semata-mata, akan tetapi Jihad juga sesuatu perbuatan atau usaha bagi memerangi hawa nafsu mahupun dalam perjalanan melakukan ibadah di jalan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Ianya juga dikatakan jihad.

Salah satu antara melakukan jihad tanpa ada melakukan peperangan atau penumpahan darah di dalamnya ialah mengerjakan ibadah haji. Ibadah haji adalah rukun Islam yang kelima. Hukumnya wajib dilakukan oleh setiap umat Islam yang mukallaf yang ada kemampuan sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam Surah A-li Imraan ayat 97:
وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا
Tafsirnya:
Dan Allah mewajibkan ke atas manusia mengerjakan ibadat haji ke Baitullah iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya.

Mampu dan berkuasa disini bermaksud mampu dari segi perbelanjaan untuk pergi dan balik dan berkuasa iaitu mempunyai badan yang sihat wal’afiat untuk mengerjakan ibadah haji.

Ibadah Haji disebut oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai ibadah yang darjatnya sama dengan pahala jihad fi sabilillah kerana apabila seseorang itu meninggal dunia sewaktu menunaikan ibadah tersebut, kematiannya itu tergolong dalam golongan yang mati syahid.

Hadits riwayat Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah, sesungguhnya Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
الشُّهَدَاءُ خَمْسَةٌ الْمَطْعُونُ وَالْمَبْطُونُ وَالْغَرِقُ وَصَاحِبُ الْهَدْمِ وَالشَّهِيدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

Maksudnya:
“Syuhada itu ada lima, iaitu orang yang meninggal karena penyakit ta’un, orang yang meninggal kerana penyakit perut, orang yang mati tenggelam, orang yang meninggal kerana tertimpa keruntuhan, dan orang yang gugur di jalan Allah.”

Yang dimaksudkan orang yang gugur di jalan Allah itu ialah orang yang terkorban dalam menjalani ibadah atau berjuang di jalan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Sama seperti orang yang ingin menunaikan fardhu haji ke mekah. Dalam perjalanan mereka yang sedang melakukan ibadah haji, lalu terkorban mereka ini tergolong dalam orang yang mati syahid. Ibadah haji seperti perjalanan menahan dan memerangi hawa nafsu, maksiat, tidak melakukan perbuatan keji demi mendapat keredhaan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Terdapat banyak ganjaran dalam melakukan rukun Islam yang kelima ini.
Hadits riwayat Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

مَنْ حَجَّ لِلَّهِ فَلَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ رَجَعَ كَيَوْمِ وَلَدَتْهُ أُمُّهُ
“Barangsiapa menunaikan haji kerana untuk mendapatkan keredhaan Allah dan dengannya tidak menyebut perkataan maksiat, tidak melakukan perbuatan keji, akan kembali daripadanya bebas daripada dosa sebagaimana hari ibunya melahirkannya.”

Ganjaran serta pahala berjihad di jalan Allah Subhanahu wa Ta’ala itu sangatlah besar darjatnya. Sesiapa yang mati dalam keadaan syahid, Allah Subhanahu wa Ta’ala akan menjanjikan dengan balasan baik iaitu syurga. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam Surah an-Nisaa’ ayat 95-96:
لَا يَسْتَوِي الْقَاعِدُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ غَيْرُ أُولِي الضَّرَرِ وَالْمُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ فَضَّلَ اللَّهُ الْمُجَاهِدِينَ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ عَلَى الْقَاعِدِينَ دَرَجَةً وَكُلًّا وَعَدَ اللَّهُ الْحُسْنَى وَفَضَّلَ اللَّهُ الْمُجَاهِدِينَ عَلَى الْقَاعِدِينَ أَجْرًا عَظِيمًا (95) دَرَجَاتٍ مِنْهُ وَمَغْفِرَةً وَرَحْمَةً وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا (96)
Tafsirnya:
“Tidaklah sama (dari segi darjat dan pahala) orang-orang beriman yang tinggal (tidak turut berjihad) selain daripada orang-orang yang mempunyai keuzuran dengan yang berjihad pada jalan Allah dengan harta dan jiwa mereka. Allah melebihkan orang-orang yang berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal (tidak turut berjihad kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat. Dan setiap golongan itu Allah janjikan ganjaran yang baik (syurga), dan Allah melebihkan orang-orang yang berjihad atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berjihad tanpa kuzuran) pahala yang sangat besar. Iaitu beberapa darjat kelebihan daripadaNya dan keampunan serta rahmat. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih”.

والله أعلم بالصواب
Dipetik dari
Majalah Al-Huda,
bil 133.April 2016M/1437H
Pusat Da’wah Islamiah.

Wednesday, July 12, 2017

TAAT KEPADA ULIL AMRI



Negara Brunei Darussalam merupakan Negara Islam yang sentiasa beriltizam dalam mengembangkan syiar Islam di bawah kepimpinan seorang raja yang berdaulat, yang sentiasa menitikberatkan prinsip ajaran Islam dan hukum-hukum Allah subhanahu wa Ta’ala dengan bersandarkan Ahli Sunnah wal-Jama’ah dan bermazhabkan Imam asy-Syafi’e. Melayu Islam Beraja pula merupakan unsur kehidupan bagi rakyat di Negara Brunei Darussalam. Islam dalam konteks Melayu Islam Beraja merupakan pengukuhan, kerana Islam merupakan “ad-Din” sebagai cara hidup yang lengkap dan sempurna, agama yang hanya diakui oleh Allah subhanahu wa Ta’ala, sebagaimana firmanNya dalam surah al-Maa’idah ayat 3:
وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا
Terjemahannya: “Dan Aku telah meredhai bagi kamu Islam sebagai agama (kamu)”

Justeru itu, sebagai seorang hamba Allah dan rakyat yang bernaung di bawah kepimpinan seorang raja yang dikasihi, maka hendaklah sentiasa diingat serta sematkan di hati dan jiwa raga kita betapa baginda seorang raja dan khalifah Allah menjadi wakilNya di muka bumi ini yang wajib kita taati.

Ibnu khaldun rahimahullah menjelaskan tentang khalifah yang membawa maksud raja dengan berkata:”pada hakikatnya khalifah adalah sebagai pengganti pemilik syara’ dalam urusan menjaga agama dan mengurus (mentadbir) dunia berdasarkannya.”
Ungkapan ”khalifah adalah sebagai pengganti pemilik syara” menjelaskan bahawa seorang raja adalah berperanan dalam memelihara semua aspek kehidupan masyarakat sebagaimana yang dikehendaki agama. Oleh kerana itu, raja adalah penguasa yang wajib ditaati. Di dalam al-Quran Allah subhanahu wa Ta’ala telah berfirman dalam menjelaskan bahawa raja adalah Ulil Amri (أولى الأمر) yang dianugerahkan oleh Allah subhanahu wa Ta'ala kekuasaan atau kedaulatan untuk melaksanakan peranan yang diamanahkan kepadanya, sebagaimana firman Allah subhanahu wa Ta’ala dalam surah an-Nisaa’ ayat 59 yang terjemahannya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil amri (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara maka kembalilah kepada (kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari Akhirat. Yang demikian itu adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.”

Manakala dalam sebuah hadits pula ada menyebutkan bahawa Sultan adalah payung Allah di muka bumi ini yang wajib kita hormati dan muliakan. Ini telah dijelaskan dalam sebuah hadits riwayat Imam al-Baihaqi, daripada Abu Bakrah katanya: saya mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
اَلسُّلْطَانُ ظِلُّ اللهِ فِي الْأَرْضِ ، فَمَنْ أَكْرَمَهُ أَكْرَمَهُ اللهُ ، وَمَنْ أَهَانَهُ أَهَانَهُ اللهُ
Maksudnya: “Sultan adalah payung Allah di bumi, siapa yang menghormati sultan, maka Allah akan menghormatinya, dan siapa yang menghinanya, maka Allah akan menghinanya.”

والله أعلم بالصواب

Monday, April 10, 2017

MENZIARAHI ORANG SAKIT




Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda dalam sebuah hadits riwayat Imam Muslim yang bermaksud: “Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal cinta mencintai, kasih mengasihi dan sayang menyayangi adalah seperti satu jasad (tubuh badan), apabila salah satu anggota tubuh merasa sakit maka seluruh tubuh akan turut merasa sakit, tidak dapat tidur dan merasa demam..”

Mencintai saudara Islam adalah di antara ciri-ciri kesempurnaan iman, kerana itulah ditekankan bahawa tiada sempurna keislaman seseorang Islam itu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.

Di antara cara untuk ke arah kesempurnaan iman dalam mengeratkan persaudaraan dan hak seorang Islam yang perlu dilaksanakan oleh saudara Islamnya ialah menziarahi orang sakit. Menziarahi orang sakit hukumya adalah sunat muakkadah. Banyak hadits yang menyebutkan perkara tersebut. Di antara hadits yang menegaskan mengenai hukum tersebut ialah sebagaimana hadits riwayat Imam al-Bukhari, daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu dia berkata: “Aku mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Hak seorang muslim ke atas seorang muslim (yang lain) ada lima perkara iaitu menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, menjawab (menghadiri) undangan dan mendoakan orang bersin..”

Menziarahi orang yang sakit mempunyai banyak fadhilat di antaranya ialah:
  • Seseorang yang menziarahi itu diumpamakan berjalan-jalan di dalam kebun syurga memetik dan menghimpun buah-buahan di dalamnya dan ia berlanjutan sehinggalah dia pulang dari berziarah. Hal ini disebutkan di dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Tsauban radhiallahu ‘anhu daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, baginda bersabda yang bermaksud:
 “Sesungguhnya seorang muslim apabila dia menziarahi seorang muslimnya yang sakit sentiasalah dia berada di dalam kebun syurga memetik buah-buahannya sehinggalah dia pulang,”
   
  • Telah memohon tujuh puluh ribu malaikat untuk meminta keampunan bagi orang yang menziarahi saudaranya yang sakit sebagaimana yang telah disebutkan dalam sebuah hadits riwayat at-Tirmizi, sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang bermaksud: Tiada seorang muslim itu melawat seorang muslim yang sakit pada waktu pagi melainkan diminta ampun untuknya tujuh puluh ribu malaikat hingga waktu petang dan (tiada) dia melawatnya pada waktu petang melainkan meminta ampun untuknya tujuh puluh ribu malaikat sehingga waktu pagi dan adalah baginya kebun tempat memetik buah-buahan di dalam syurga”.
  •  Doa orang yang sakit adalah mustajab sehingga kita disunatkan untuk meminta daripada orang yang sakit tersebut supaya mendoakan bagi kita sesuatu hajat. Hal ini telah dijelaskan dalam sebuah hadits riwayat Imam Ibnu Majah daripada ‘Umar bin al-Khattab Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata: Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepadaku: “Apabila engkau datang mengunjungi orang yang sakit, maka mintalah agar dia mendoakanmu kerana doanya (makbul) seperti doa para malaikat..”
Namun demikian ada beberapa perkara yang disunatkan untuk kita lakukan ketika menziarahi orang yang sakit. Di antaranya ialah:
  • Disunatkan menanyakan keadaan orang yang sakit kepada ahli keluarga terutama sekali jika orang yang sakit itu dalam keadaan tenat.
  • Disunatkan memberi ketenangan dan mententeramkan hati orang yang sakit apabila berada disisi orang yang sakit iaitu dengan mengatakan bahawa sakit yang dideritai itu merupakan sebahagian daripada ujian Allah Subhanahu wa Ta’ala dan InsyaAllah sakit tersebut akan membersihkannya daripada dosa serta mendapat ganjaran pahala yang besar. Hal ini ada disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Ibnu Abbas radhiallahu ‘anhuma, bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam datang melawat seorang Arab Badwi yang sakit. Dia (Ibnu Abbas) berkata: adalah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam apabila melawat orang yang sakit, baginda mengucapkan: “Penyakit ini tidak apa-apa malah membersihkan (daripada dosa) InsyaAllah”.
  • Disunatkan mendoakan orang yang sakit supaya sembuh dari penyakit yang dihadapinya sama ada ketika menziarahinya atau tidak.
  • Disunatkan menjampi atau menawari orang yang sakit tersebut dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran dan segala zikir-zikir yang diketahui akan keshahihannya selagi digunakan dengan maksud yang baik iaitu untuk mengubati sesuatu penyakit. Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam selalu menggunakan mu’awwidzat (surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah al-Nas) sebagai jampi dan doa perlindungan daripada setiap yang tidak disukai seperti berlindung daripada kejahatan sihir, was-was syaitan, kejahatan bisikan dan hasutan dari kalangan jin dan manusia, hasad dengki dan sebagainya. Ini telah dijelaskan dalam sebuah hadits riwayat Imam at-Tirmizi daripada Abu Sa’id al-Khudri beliau berkata yang bermaksud: “Adalah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam membaca ta’awudz (doa perlindungan) daripada jin dan mata manusia sehinggalah turun mu’awwidzatan, maka tatkala turun keduanya (mu’awwidzatan) Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam pun sentiasa mengamalkannya dan meninggalkan selain daripada keduanya.”


والله أعلم بالصواب