Monday, September 01, 2025

AKHLAK RASULULLAH SHALLALLAHU 'ALAIHI WA SALLAM : ADIL

 

Adil bererti meletakkan sesuatu pada tempatnya, iaitu memutuskan semua perkara di atas dasar kebenaran yang digariskan oleh Islam dan bukan kerana mengikut hawa nafsu.

Disebutkan dalam hadits riwayat Imam Abu Daud daripada Hanasy bahawa Ali ‘alaihissalam berkata:

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam mengutusku ke Yaman sebagai hakim, lalu aku berkata, “ Wahai Rasulullah, apakah engkau akan mengutusku sementara aku masih muda dan tidak memiliki ilmu mengenai pengadilan?” Kemudian baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah akan memberi petunjuk kepada hatimu, dan meneguhkan lisanmu. Apabila ada dua orang yang berbalah duduk di hadapanmu maka janganlah engkau memberi keputusan sehingga engkau mendengar dari orang yang lain, sebagaimana engkau mendengar dari orang yang pertama, kerana sesungguhnya keputudan akan lebih jelas bagimu.” Ali berkata: “Setelah itu aku tetap menjadi hakim atau aku tidak merasa ragu dalam memberikan keputusan.”

Contoh dalam aspek kepimpinan, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam merupakan seorang pemimpin yang sangat jujur dan adil di kalangan umat manusia. Sekiranya baginda tidak adil dalam kepimpinan baginda, pasti rakyat membenci dan bangkit menentang mereka. Keadilan yang baginda amalkan terserlah apabila baginda sendiri mengatakan bahawa baginda sanggup menghukum anak baginda Fatimah dengan hukum hudud sekiranya dia melakukan maksiat sebagaimana yang diceritakan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Aisyah Radhiallahu ‘anha, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda yang maksudnya:

“Demi Allah, seandainya Fatimah binti Muhammad mencuri, aku sendiri akan memotong tangannya.”

Seorang pemimpin yang adil, sepatutnya tidak boleh terpengaruh dengan kedudukan orang yang akan dihukum sama ada mereka itu orang yang disenangi atau dibenci, mempunyai kaitan kekeluargaan ataupun orang lain.

Keadilan merupakan dasar ajaran Islam yang mesti ditegakkan. Sebaliknya, apabila keadilan diketepikan dan diabaikan, perpecahan dan kehancuran di kalangan umat pasti akan berlaku. Sebab itulah baginda menyeru seluruh umat baginda terutama para pemimpin dan hakim untuk sentiasa berlaku adil, dan telah menyatakan kedudukan dan keistimewaan pemimpin yang adil di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Zuhair, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda yang maksudnya:

“Sesungguhnya orang-orang yang berlaku adil, kelak di sisi Allah berada di atas mimbar yang terbuat dari cahaya, di sebelah kanan ar-Rahman ‘Azza wa jalla, iaitu orang -orang yang berlaku adil dalam hukum, adil dalam keluarga dan adil dalam melaksanakan  tugas yang dibebankan  kepada mereka.”


Petikan daripada: Buku Bercermin Pada Akhlak Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam, Pusat Da'wah Islamiah

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan