Wednesday, September 17, 2025

AKHLAK RASULULLAH SHALLALLAHU 'ALAIHI WA SALLAM: SABAR

 

Sabar bererti kuat menahan perasaan agar tidak melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya. Dengan kesabaran, seseorang  pemimpin tidak akan bertindak di luar batas pemikirannya.

Allah Subhanahu wa Ta’ala memuji ketinggian akhlak Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam sebagai orang yang memiliki sifat kesabaran yang tinggi. Inilah salah satu akhlak terpuji yang patut dimiliki seseorang agar hidup bahagia di dunia dan di akhirat. Sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah asy-Syura ayat 43 yang terjemahannya:

Dan orang yang bersabar serta memaafkan (kesalahan orang lain terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah daripada perkara-perkara yang sangat utama untuk dilaksanakan (digalakkan oleh syari’at).

Salah satu kesabaran Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam dapat kita lihat melalui kisah dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu bahawa seorang Arab Badwi telah membuang air kecil di dalam masjid, lalu orang ramai pun segera mengerumuninya, maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda yang maksudnya:

“Biarkanlah”. Kemudian baginda meminta sebaldi air mencurahkan ke atasnya (membasuhnya).

Sabar merupakan senjata paling penting dalam menghadapi pelbagai ujian, tetapi ianya tidak mudah untuk dilakukan. Sifat sabar membolehkan kita mengatasi segala ujian dan menghadapi kesukaran dari setiap sudut kehidupan ini dengan tenang dan aman. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam Surah 

A-li ‘Imran ayat 200 yang terjemahannya: 

Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara kebajikan), kuatkanlah kesabaran kamu (dalam menghadapi orang-orang kafir) dan bersiap sedialah (dengan kekuatan pertahanan di sempadan negeri kamu) serta bertaqwalah kepada Allah supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).

Al-Qur’an ada menjelaskan bahawa setiap kebaikan itu walaupun sebesar zarah pasti akan mendapat balasan dan ganjaran baik. Begitu jugalah ganjaran terhadap sifat sabar kerana mengharapkan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam membuat kebajikan. Allah telah menjanjikan kemenangan yang baik di dunia mahu pun di akhirat untuk mereka. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala lagi dalam surah al-Furqaan ayat 75 yang terjemahannya:

Mereka itulah yang akan dikurniakan ganjaran dengan darjat yang tinggi (di syurga) disebabkan kesabaran mereka dan mereka pula akan menerima penghormatan dan ucapan ‘salam’ (selamat sejahtera) di dalamnya.

Sifat sabar memerlukan pengorbanan yang besar. Terkadang melibatkan soal harta, hati , perasaan dan maruah. Kesabaran boleh meletakkan seseorang itu berhak mendapat syurga Jannatun Naim, iaitu suatu tempat tinggal yang tenteram, kediaman yang penuh bahagia di akhirat nanti.

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan