Monday, September 08, 2025

RAJA NAMRUD DAN NYAMUK

 


Di zaman Nabi Ibrahim, ada seorang raja yang zalim bernama Namrud bin Kan’an. Namrud memiliki kekayaan yang luar biasa.   Ia memiliki istana mewah yang tinggi mencakar langit,  makanan yang berlimpah dan bala tentera yang ramai.

Namun sayang Raja Namrud yang kejam dan sombong merasakan dirinya raja yang paling berkuasa sehingga mengaku dirinya sebagai tuhan yang patut disembah.  Seluruh rakyat Raja Namrud merasa takut dan tidak berani untuk menegur sikap raja mereka yang zalim itu.

Disebabkan kezaliman Raja Namrud itu,  Allah Subhanahu wa Ta’ala mengutus Nabi Ibrahim supaya Raja Namrud dan rakyatnya menyembah Allah Subhanahu wa Ta’ala.  Namun dengan kesombongannya,  Raja Namrud telah mencabar Nabi Ibrahim untuk berperang dengan bala tenteranya yang gagah dan ramai.  Oleh kerana itulah,   Nabi Ibrahim meminta bantuan dari Allah Subhanahu wa Ta’ala. Allah Maha Berkuasa telah memerintahkan tentera nyamuk untuk menyerang dan membinasakan Raja Namrud dan bala tenteranya.

Akhirnya Raja Namrud dan tenteranya kalah kerana tidak dapat menahan gigitan nyamuk yang semakin banyak.   Allah Maha Berkuasa hanya dengan gigitan nyamuk  sahaja boleh mengalahkan tentera gagah Raja Namrud.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam Surah al-Baqarah ayat 258  yang tafsirnya:

Tidakkah engkau memerhatikan (wahai Nabi Muhammad) tentang orang (Namrud) yang berhujjah membantah Nabi Ibrahim mengenai Tuhannya kerana Allah telah memberi kuasa pemerintahan kepadanya? Ketika Nabi Ibrahim berkata: “Tuhanku adalah yang menghidupkan dan yang mematikan.” Dia (Namrud) berkata: “Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan.” Nabi Ibrahim berkata lagi: “Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur maka terbitkanlah ia dari barat.” Maka tercenganglah (Namrud) yang kafir itu (kerana kehabisan hujah). Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.

1 comment:

  1. Alhamdulillah. Baru tau ada blog PDI, menerusi rancangan dokumentari di siaran RTB sempena 40tahun PDI❤️

    ReplyDelete

Silakan untuk sebarang pertanyaan