Thursday, October 14, 2010

Berbuat Baik Dan Bersabar Di Atas Perilaku Manusia

Tajuk : Berbuat Baik Dan Bersabar Di Atas Perilaku Manusia


Hadith :


Seorang lelaki bertanya:“ Wahai Rasulullah sesungguhnya aku mempunyai beberapa orang kerabat, yang hubungan aku erat dengan mereka tetapi mereka memutuskannya. Aku berbuat baik kepada mereka tetapi mereka berperangai buruk kepadaku, aku bersabar mengahadapi sikap mereka itu tetapi mereka menganggap sikapku itu adalah bodoh.” Kemudian baginda menjawab,” Sekiranya benar sepertimana yang engkau katakan itu maka seolah-olah engkau menyuap mereka dengan abu yang panas, sedangkan engkau sentiasa mendapat pertolongan daripada Allah Taala selama mana engkau berada di dalam kebenaran atas perkara yang demikian itu”.

Riwayat Muslim

Huraian

1.Islam mengajar umatnya supaya banyak bersabar di dalam semua keadaan sama ada ketika senang atau pun susah kerana ia merupakan pengukur darjat keimanan seseorang.

2.Islam mengajar umatnya supaya jangan membalas keburukan orang sebaliknya menambahkan lagi kebaikan terhadap mereka mudah-mudahan dengan itu hati mereka menjadi lembut dan baik.

3.Allah sentiasa memberi pertolongan kepada orang yang sentiasa sabar dan benar dalam bertindak.

4.Setiap umat Islam wajib menghubungkan silaturrahim dan haram memutuskannya.

Wednesday, October 13, 2010

Hakikat kebijaksanaan

Tajuk : Hakikat kebijaksanaan


Hadith :


Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Orang pintar ialah sesiapa yang memuliakan dirinya serta membuat persediaan untuk kehidupan selepas mati, sementara orang bodoh ialah sesiapa yang membiarkan dirinya mengikut hawa nafsu serta mengharapkan cita-citanya dikabulkan oleh Allah.”

Riwayat at-Tirmidzi

Huraian

1. Kita wajib menghormati sesama manusia termasuk diri sendiri, ibu, bapa, isteri atau suami, anak-anak, saudara mara, sahabat serta jiran tetangga sama ada dengan berbuat baik, menjaga tutur kata (berbudi bahasa) dan baik hati atau berbaik sangka menurut kemampuan masing-masing.

2. Kematian pasti dihadapi oleh setiap orang sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Setiap yang bernyawa pasti akan mati.” (al-Anbia’: 34). Oleh itu petanda bagi orang yang sentiasa mengingati mati ia sentiasa memperbanyakkan amal perbuatan yang baik sepanjang hidupnya.

3. Sebaik-baik usaha ialah bermujahadah melawan nafsu dan berusaha memperbaiki diri. Pengekangan nafsu akan menundukkan nafsu agar kita dapat mengawal tingkah laku mengikut syariat dan ketetapan Islam.

4. Setiap amalan yang baik akan mempengaruhi doa yang dipohon atau dengan perkataan lain Allah S.W.T tidak akan mensia-siakan doa orang yang beriman dan selalu melakukan kebajikan. Begitulah hal yang sebaliknya.

Berpada-pada

Tajuk : Berpada-pada

Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a daripada Nabi s.a.w bersabda “Seseorang mukmin belum sempurna imannya hinggalah ia meninggalkan dusta ketika bergurau dan meninggalkan bertengkar sekalipun benar.”

(Ahmad dan at-Tabrani)

Huraian

1. Bergurau janganlah melampaui batas kesopanan hingga menyakiti atau menghina sehingga menyebabkan dukacita dan sebagainya.

2. Banyak bergurau boleh menyebabkan hati seseorang mati dan mengurangkan kehebatan bahkan bergurau dengan cara mengolok-olok, mengumpat, menghina, menjatuhkan maruah boleh mendatangkan dosa sama ada orang yang melakukannya itu menyedarinya ataupun tidak.

3. Selaku seorang Islam kita haruslah berlapang dada (toleransi) dalam menghadapi perbedaan pendapat di mana Islam melarang kita bertengkar hingga menyebabkan timbulnya pertikaian dan saling berhujjah, mengkafirkan atau menganggap yang lain halal darahnya (bunuh-membunuh).