Thursday, May 09, 2024

MENGAPA MENJADI ‘PONDAN’ DAN ‘TOMBOY’?


Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menciptakan manusia dengan sebaik kejadian dan menciptakannya dengan jenis yang berlainan iaitu lelaki dan perempuan serta hidup secara berpasang-pasangan dan seling perlu memerlukan. Begitulah halnya dalam kehidupan, manusia pertama yang diciptakan oleh Allah di muka bumi ini iaitu Nabi Adam ‘alaihissalam yang mana dalam kehidupan baginda diciptakan seorang perempuan iaitu Sayidatina Hawa sebagai pasangannya. Kemudian berterusan dan berkembanglah keturunan daripada keduanya dari jenis lelaki dan perempuan.

Walau bagaimanapun fitnah kehidupan ini telah tercemar kerana terdapat umat Islam mengamalkan sifat-sifat tercela atau keji dengan penyakit moral yang berlaku di zaman moden ini iaitu kegemaran lelaki meniru kelakuan dan gerak-geri perempuan, dan perempuan meniru kelakuan dan gerak-geri lelaki. Golongan ini diistilahkan dengan panggilan ‘pondan’ dan ‘tomboy’.

Adapun isu ‘pondan’ dan ‘tomboy’ ini semakin menjadi-jadi dan amat menyedihkan serta memalukan. Apatah lagi terdapat golongan belia kita iaitu belia muslim turut sama terjebak dalam senario ini. Walaupun isu ini tidaklah begitu membimbangkan di negara kita tetapi apa yang dikhuatiri ia akan menular menjadi ‘virus’ dan merebak bagai kanser yang meresapi jiwa dan keseluruhan anggota badannya. Lebih-lebih lagi secara sedar atau tidak, pertumbuhan golongan ini turut disertai oleh para intelektual. Bahkan bagaikan satu kebanggaan pula bila mereka berada dalam kelompok ‘eksklusif’.

Gambaran di atas tidak ubah seperti zaman jahiliyah yang sedang berulang di mana semua orang bebas melakukan dan melahirkan apa saja dengan sesuka hati. Tidak ada sekatan dan larangan. Maka diturunkan al-Qur’an dan diutus junjungan agung kita Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam .

Begitulah keadaannya dulu tapi sekarang telah diturunkan al-Qur’an sebagai pedoman, masih ada lagi umat Islam yang ‘sesat’ dari landasan agama Islam.

Golongan ‘pondan’ dan ‘tomboy’ tidak dapat disamakan atau dilabelkan sebagai khunsa. Walau bagaimanapun dengan kebesaran Allah Subhanahu wa Ta’ala, adakalanya didapati seseorang itu dilahirkan denagn mempunyai dua alat kelamin iaitu kelamin lelaki dan perempuan yang di dalam istilah fiqh  dikenali dengan nama ‘khunsa’.Dalam ajaran Islam telah menjelaskan, jantina khunsa ini perlu ditentukan mengikut kecenderungannya dan alat mana yang lebih berfungsi. Oleh itu, kekuatan minda biasanya menjadikan mereka boleh memilih ke arah jantina yang lebih dominan.

Namun ta’rifan ‘pondan’ dan ‘tomboy’ ini berbeza dengan khunsa. Ini kerana golongan ini senghaja merubah ciptaan tuhan yang esa iaitu dari lelaki kemudian ditransformasikan menjadi perempuan atau dari perempuan kemudian ditransformasikan menjadi lelaki iaitu melalui keadah pembedahan atau suntikan hormone. Apabila ditanya mengapa mereka menjadi ‘pondan’ atau ‘tomboy’ di antara jawapan yang sering diberikan ialah takdir, “dari kecil tidak dididik oleh ibu bapa dan tiada bantahan dengan perubahan yang dilakukan.”

Antara faktor dalaman yang paling banyak menyebabkan mereka menjadi begini ialah:

1.       Kurangnya iman dan sedikitnya rasa takut kepada Allah.

2.       Taqlid buta iaitu meniru-meniru perbuatan tanpa memahami dan mengetahui apa yang dilakukannya serta tidak memikirkan manfaat dan kemudharatannya.

3.       Hasutan dan pengaruh dari rakan atau keadaan sekeliling mereka (artis atau selebriti) sekalipun hal ini bertentangan dengan fitrah peradaban manusia.

4.       Kurang percaya kepada diri dan keupayaan mereka untuk menarik perhatian orang sekililing, lalu menutup kekurangan itu dengan cara menyertai mereka kepada keburukan iaitu menyerupai laki-laki atau perempuan dalam perilaku, penampilan, berpakaian dan sebagainya.

Manakala beberapa faktor luaran sama ada dari aspek persekitaran, masyarakat sekeliling dan sebagainya turut menyumbangkan kepada berleluasannya golongan ini, antaranya ialah:

1.       Kurangnya didikan. Umumnya, pendidikan yang baik akan menjadikan seseorang itu insan yang berguna, manakala pendidikan yang salah akan menyeretnya kepada berbagai penyimpangan yang bersifat negatif.

2.       Pengaruh media massa dengan berbagai bentuk dan jenisnya, baik yang dilihat, didengar atau melalui bacaan. Di dalamnya berkembang dan tersebar pemikiran-pemikiran sesat dan mendorong mereka untuk melanggar norma agama dan prinsip-prinsip kebenaran.

3.       Bergaul dengan golongan yang rosak akhlak seperti mereka yang digelar samsing. Di antara hal yang tidak diragukan lagi iaitu kawan sepergaulan yang mempunyai pengaruh besar dalam peribadi seseorang baik positif ataupun negatif. Sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi dari Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu yang bermaksud:

 

“Orang laki-laki itu menurut agama temannya, maka hendaklah salah seorang kamu memperhatikan orang yang dijadikannya teman.”

Walaupun ramai di kalangan masyarakat mengetahui kewujudan golongan ini, tetapi sikap ambil lewa dan “tidak ingin menjaga tepi kain orang” sering berlaku, memandang dengan sebelah mata sahaja dan tidak menganggap ia sebagai satu tanggungjawap bersama bagi membanterasnya. Justeru itu,kita hanya membiarkan saja kemungkaran demi kemungkaran berlaku di depan mata kerana kita sendiri lemah untuk menghalang dan tidak ambil peduli. Lebih-lebih lagi golongan ini tidak mendapat tantangan dari mana-mana pihak sama ada dari keluarga sendiri mahupun kawan-kawan. Ada segelintir ibu bapa yang membiarkan sahaja atas dasar sayangkan anak dan kawan-kawan pula atas dasar tidak sampai hati untuk menegur dan melarang.

Maka tidak secara langsung perkara seumpama ini disokong oleh ibu bapa dan kawan-kawan tetapi “sokong bawa rebah” dan menjadikan golongan ini semakin lupa diri dan asal usul mereka. Ternyata perbuatan ini merupakan sesuatu penyelewangan fitrah yang amat buruk dan dahsyat.

Di samping itu ia memberi kesan kepada individu itu sendiri di antaranya ialah mereka akan mendapat tohmahan dan hinaan serta dipandang rendah dan sinis oleh orang sekeliling. Selain itu, mereka tidak akan dihormati malah ada segelintir di kalangan masyarakat yang tidak bertanggungjawab akan memperlakukan dengan sesuka hati.

Oleh itu, jika sikap masyarakat kita mengambil ringan dan mudah sahaja terhadap kejadian maksiat dan kemungkaran yang berleluasa di sekeliling mereka, maka bangsa dan negara akan menghadapi krisis identiti dan belia kita akan terus hanyut di alam fantasi kehidupan mereka. Ini sangat menakutkan apatah lagi belia muslim kita merupakan tonggak harapan dan pucuk pimpinan di masa hadapan. Kecenderungan belia pada perkara-perkara negatif akan memberi kesan buruk kepada masyarakat, bangsa dan negara.

Perkara seperti ini tidak boleh dipandang remeh kerana masalah kecelaruan jantina menghampiri ke lembah bahaya dan semakin meruncing yang boleh mengancam pembangunan modal insan yang sempurna. Akhirnya panggilan “Awang”pun tidak “Dayang”pun tidak dan kita akan menghadapi masalah dari segi pergaulan dan batasan hukum yang telah disyariatkan.

Dalam kontek Islam sebagai agama yang suci dan luhur, golongan ini dianggap sebagai orang yang tidak amanah dengan tanggungjawab yang diberikan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Jika seseorang itu dilahirkan sebagai lelaki, maka itu adalah satu amanah yang cukup besar untuk diteruskan sebagai seorang lelaki yang normal yang bakal menjadi khalifah (pemimpin). Khalifah bukan sahaja untuk memimpin keluarga atau masyarakat, tetapi dalam skop yang lebih kecil iaitu khalifah kepada diri sendiri. Tanggungjawab  untuk memastikan hala tuju dan perwatakan yang sempurna sebagai lelaki adalah satu amanah yang cukup besar.

Oleh yang demikian, syari’at Islam melarang keras, malah perbuatan ini dikutuk oleh Allah dan RasulNya. Hadits riwayat Imam al-Bukhari, dari Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam  bersabda:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّه صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ
Maksudnya:

Telah melaknat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki.

Dalam hadits riwayat Imam Ahmad juga menjelaskan mengenai golongan ini iaitu daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّه صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمُخَنِّثِينَ  مِنَ الرِّجَالِ وَالْمُتَرَجَّلَاتِ مِنَ النِّسَاءِ

Maksudnya:

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam mengutuk lelaki-lelaki yang menyerupai seperti wanita (pondan), dan wanita-wanita yang berlagak seperti lelaki (tomboy).

Perbuatan seumpamanya berlaku di zaman Nabi Luth seperti yang disebut di dalam al-Qur’an. Hampir keseluruhan kaum ini mengamalkan gaya hidup songsang iaitu melakukan hubungan kelamin sesama jenis iaitu lelaki dengan lelaki yakni meningglkan perempuan. Sebagaimana dalam firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah an-Naml ayat 54-55 yang terjemahannya:

“Dan (Kami juga telah mengutus) Nabi Luth, (ingatlah) ketika dia berkata kepada kaumnya: “Mengapa kamu melakukan perbuatan yang keji sedangkan kamu mengetahui keburukannya?”

“Mengapa kamu mendatangi laki-laki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan?  Sebenarnya kamu ialah kaum yang bodoh.”

Nabi Luth telah menyeru mereka untuk menghentikan perbuatan tersebut di samping menyampaikan seruan-seruan Allah, tetapi mereka mengabaikannya malah mereka mengingkari kenabiannya. Akhirnya, kaum Nabi Luth dimusnahkan dengan bencana yang sangat mengerikan dan dahsyat.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman dalam Surah Hud ayat 82-83 yang terjemahannya:

“Maka apabila datang perintah Kami (untuk membinasakan mereka), Kami menjadikan negeri kaum Nabi Luth itu yang di atas ke bawah (diterbalikkan) dan Kami menghujaninya dengan batu-batu daripada tanah yang terbakar dengan bertubi-tubi.”

“(Batu-batu itu) diberi tanda di sisi Tuhanmu (untuk membinasakan mereka) dan ia pula tidaklah jauh daripada orang-orang yang zalim.”

Di dalam hadits riwayat Imam Muslim, dari Abu Said, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda yang bermaksud:

“Barangsiapa di antara kamu yang melihat suatu kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya. Jika dia tidak mampu, maka hendaklah dengan lisan. Dan jika tidak mampu, maka hendaklah dengan hatinya, dan yang terakhir itu adalah selemah-lemah iman.”

Tips Dan Saranan kepada mereka yang mahu kembali ke pangkal jalan dan mengubah diri kembali kepada fitrah kejadian yang telah ditetapkan. Antaranya ialah:

1.       Mengamalkan sifat-sifat terpuji adalah sebagai usaha bagi mengukuhkan hubungan dengan Allah Subhanahu wa Ta’ala kerana kebaikan yang Allah beri kepada kita amat banyak. Hubungan baik manusia dengan Allah Subhanahu wa Ta’ala bermula apabila kita memiliki I’tikad dan kepercayaan yang benar terhadapnya. Keyakinan dan I’tikad terhadap Allah hendaklah benar-benar ditanamkan di hati dan jiwa kita serta dibesarkan daripada fahaman dan pengaruh negatif.

2.       Melaksanakan konsep ‘al-Amru bil Ma’ruf wan Nahyu anil Munkar.’ Memberi Pendidikan dan penjelasan mengenai agama iaitu dengan menyuruh mereka mentaati perintah Allah dan RasulNya dan mencegah mereka daripada berbuat dosa dan maksiat.

3.       Memilih teman yang baik dan wara’.

Selain itu, kerjasama dari masyarakat untuk mengambil langkah-langkah agar dapat menjauhkan para belia terutamanya golongan muda kita supaya menjauhkan diri dari tersasar ke lembah keruntuhan moral. Antaranya ialah seperti berikut:

1.       Memberi sepenuh perhatian dan kasih sayang kepada anak-anak. Peranan ibu bapa dalam mencorakkan si anak amat penting kerana didapati ada sesetengah daripada ibu bapa memakaikan pakaian perempuan kepada anak lelaki mereka, membeli aksesori perempuan untuk anak lelaki mereka, melayan anak mereka seolah-olah anak mereka seorang anak perempuan.

Sepertimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam di dalam hadits yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dari Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, maksudnya; “Setiap anak dilahirkan atas fitrah, maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi.”

2.       Mengadakan aktiviti-aktiviti sihat dengan menyelitkan program motivasi diri dan kaunseling. Peka pada pergolakan isu semasa dan menjauhkan diri dari pengaruh-pengaruh negatif.

Secara amnya setiap perkara yang kita lakukan mempunyai batasan tertentu. Sebagai manusia juga mempunyai batasan-batasan dalam melakukan setiap perkara termasuklah batasan kita sebagai makhluk yang telah ditentukan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Tidak dinafikan, sesungguhnya manusia tidak dapt lari daripada melakukan dosa dan kesalahan. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab kita sesama manusia untuk mencegah kemungkaran dan membantu mereka yang terlibat dalam masalah ini supaya kembali semula ke pangkal jalan agar mereka mengikut fitrah semulajadi yang telah diciptakan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dan bukan pula mereka disisihkan.

Selain itu, persekitaran yang baik dapat membantu golongan ini berhijrah dari perkara yang negatif kepada positif. Walau bagaimanapun keazaman diri yang untuk ingin berubah dan berhijrah kepada kebaikan adalah lebih afdhal dan elok bagi diri  individu itu sendiri. Sepertimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah ar-Ra’d ayat 11 yang terjemahannya:

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”

Apa yang pasti fenomena ini tidak akan ada sudahnya jika mereka tidak mahu kembali ke pangkal jalan. Keinsafan individu itu sendiri amat perlu di samping mengharapkan limpah keampunan, taufiq dan hidayah daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala melalui cara mendekati diri dan mengenali kekuasaan dan kebesaranNya. Di samping itu, hendaklah memperdalamkan lagi dan menitikberatkan soal-soal aqidah dan Syariah serta diterapkannya dengan berdasarkan kepada sumber-sumber asal seperti al-Qur’an, hadits, ijma’ dan qiyas.

 

Petikan daripada Majalah al-Huda (Disember 2011M/1433H), Terbitan Pusat Da’wah Islamiah.







Wednesday, April 24, 2024

IMAM AL-BUKHARI

Latar Belakang

Nama sebenar Imam al-Bukhari adalah Muhammad bin Ismail al-Bukhari. Juga diberi gelaran Amirul Mukminin fil Hadits. Beliau dilahirkan pada 13 Syawwal 194H di bandar Bukhara, di bahagian timur negeri Uzbekistan. Bapanya meninggal dunia semasa beliau masih kanak-kanak dan ibunya membesarkan beliau bersendirian. Ibunya memelihara  dan mendidiknya dengan penuh ihsan serta berkorban untuk memberikan pendidikan yang terbaik kepada beliau.

Semasa kecil lagi, nilai intelek Imam al-Bukhari telah terserlah. Beliau amat warak dan mempunyai daya ingatan yang luar biasa serta mempunyai kesungguhan dalam pelajarannya. Diriwayatkan bahawa ketika di dalam belasan tahun, beliau sudah menghafal 70,000 hadits Rasulullah  Shallallahu ‘alaihi wa sallam.

Pengajian Hadits

Ketika berumur 16 tahun, Imam al-Bukhari pergi ke Makkah bersama ibunya untuk menunaikan haji. Imam al-Bukhari terlalu seronok berada di Makkah sehinggakan beliau memanjangkan tempoh lawatan di Makkah untuk membolehkan beliau berguru dengan cendekiawan di Makkah. Pada umur 18 tahun , Imam al-Bukhari menerbitkan bukunya yang pertama mengenai sahabat-sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaih wa sallam dan selepas itu buku sejarah bertajuk “At-Tarikhal-Kabir.”

Imam al-Bukhari amat meminati sejarah dan hadits-hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam dan menumpukan banyak tenaga bertemu dan belajar dengan cendekiawan yang terulung untuk mempelajari dan membahaskan hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam. Imam al-Bukhari melawat Damsyik, Kaherah, Baghdad, Basra, Madinah dan tempat-tempat lain untuk belajar dan membincangkan hadits-hadits yang dipelajari. Semasa di Baghdad, Imam al-Bukhari selalu berbincang dengan Imam Ahmad Hanbal, pengasas (mazhab) Hanbali.

Semasa pengemberaannya, Imam al-Bukhari hanya mempunyai satu matlamat mengumpulkan seberapa banyak ilmu yang mungkin boleh dikumpul untuk membolehkan beliau membuat pengumpulan Sunnah hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaih wa sallam yang terbesar. Beliau begitu giat menulis, dan pada satu ketika beliau berkata, “Saya sudah menulis mengenai 1800 orang, setiap satunya meriwayatkan hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam dan saya hanya menulis mengenai mereka yang lulus ujian yang ditetapkan.”

Imam al-Bukhari mempunyai ingatan yang mengkagumkan dan sumbangannya terhadap sains pengumpulan hadits tidak dapat ditandingi. Beliau merakamkan hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaih wa sallam dalam buku “Al-Jami’ ash-Shahih.” Dia membuat penyelidikan selama 16 tahun dan meneliti 600,000 buah hadits sebelum memilih 7,525 buah hadits yang beliau berpuas hati dan menepati takrif kesahihan yang beliau tetapkan.

Diusir dari Bukhara

Oleh sebab kemasyhuran Imam al-Bukhari menyebabkan timbulnya perasaan iri hati di kalangan beberapa orang ulama’ yang akhirnya mengakibatkan beliau diusir dari bumi Bukhara oleh pemerintahnya.

Beliau meninggal dalam buangan pada malam ‘Idulfitri dalam tahun 256H bersamaan 1 September 870 di Khartank dekat Samarkand. Makam Imam al-Bukhari terletak 12 kilometer di utara Samarkand.

Karya Imam al-Bukhari

·       Al-Jami’ ash-Shahih al-Musnad min Hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam wa Sunanihi wa Aiyamihi (Shahih Bukhari).

·       Al-Adab al-Mufrad

·       At-Tarikh al-Kabir

·       At-Tarikh ash-Shagir

·       At-Tarikh al-Ausath

·       At-Tafsir al-Kabir

·       Kitab al-Wahdan

·       Kitab al-Mabsuth

·       Kitab al-Habah

·       Kitab al-Kuni

·       Kitab al-Fawa’id






Petikan daripada Majalah al-Huda, Pusat Da'wah Islamiah 1445H/2023M