Saturday, April 07, 2012

Cemburu dan Dayus 2


Assalamu’alaikum…

Di keluaran yang lalu, kitani telah membaca penjelasan Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr Awang Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz; Mufti Kerajaan Brunei iaitu mengenai dengan sifat ‘cemburu’ dan apa yang dimaksudkan dengan sifat ‘dayus’ melalui buku ‘Pandangan Islam 3’ hasil tulisan beliau pada tahun 1982.

Apa dia ‘dayus’? menurut beliau ‘dayus’ adalah seperti berikut:

“Maksud dayus itu ialah membiarkan secara mudah dan meluas pergaulan bebas akan anak isteri dan kerabat mereka. Hukum orang dayus ini ialah berdosa besar dan tiada ia mencium bau surga.” (Pandangan Islam, m.s:5)

Dalam menjelaskan maksud ‘dayus’ ini, Allahyarham juga sekaligus mengambil perhatian para pembaca dengan mengaitkannya dengan sifat ‘QIADAH’. Apa pula yang dimaksudkan dengan sifat ‘qiadah’ ini?

“Sifat Qiadah lebih umum lagi iaitu suatu sifat yang membiarkan lelaki dan perempuan berchampur gaul dengan bebas dan membuat perbuatan fasik tanpa mengira samada mereka itu dari keluarganya atau bukan.” (Pandangan Islam, m.s:5)

Dengan penjelasan ini, kita perlu berhati-hati dan memelihara diri kita terutama sekali bagi para pentadbir, penjaga, ibubapa atau ketua keluarga jangan sampai kita membiarkan sifat ini berleluasa kerana apa yang menyedihkan dan menakutkan ialah keduanya akan membawa kepada pergaulan bebas, pendedahan aurat, zina, pelacuran dan sebagainya.

Fenomena ini memang telah diketahui berlaku di kalangan sesetengah masyarakat Islam hari ini. Hal ini menunjukkan bahawa sesetengah pemimpin, ibubapa dan pihak-pihak berkenaan mengabaikan bahkan sanggup membiarkan perkara ini berlaku seolah-olah suka dengan keadaan seperti ini. Dengan demikian, hanyutlah mereka dalam kekotoran, kesesatan dan maksiat yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Menurut Imam Ibnu Hajar;
“Orang yang dayus ini juga dikira telah melakukan dosa besar. Di akhirat nanti orang-orang ini akan menerima siksa dari Allah Subhanahu wa Ta’ala.”

Hal ini sepatutnya merupakan amaran yang sangat-sangat mengerunkan bagi kita semua. Semoga kita jauh dan bebas dari perbuatan yang amat hina ini. Wa Na’uzubillah…

Tidak kita nafikan bahawa wujud di kalangan kita yang memandang ringan akan perkara ini pada hal ianya adalah perkara yang amat besar dan berat, bahkan memelihara dan menjaga maruah itu adalah lebih berat dan lebih mustahak dari mengjaga harta benda kemewahan kita.

Sekian untuk kali ini… (2)