Sebagaimana yang
kita maklumi sambutan perkhidmatan awam di negara kitani diadakan pada setiap
29hb september setiap tahun. Adalah menjadi hasrat kerajaan Kebawah Duli Yang
Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan yang di Pertuan Negara Brunei Darussalam
untuk memberikan perkhidmatan yang efisyen, bersih, tulus ikhlas dan jujur.
Setiap warga perkhidmatan awam perlulah mengenalpasti kualiti dan produktiviti
kerja serta mengambil langkah-langkah untuk memperbaiki lagi kelemahan bagi
mencapaikan hasrat tersebut.
Salah satu sifat
yang perlu ada pada setiap warga perkhidmatan awam ialah ikhlas kerana apa yang
kitani lakukan ini adalah melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada
kita. Keikhlasan dalam bekerja sangat penting kerana ia dapat mempengaruhi
budaya kerja seseorang individu. Ini kerana orang yang ikhlas akan ada sifat
pemedulian untuk membantu rakan dalam memudahkan segala urusan serta akan
sentiasa berusaha untuk memanfaatkan waktu bekerja dengan sebaik-baiknya dan
akan memastikan segala perkara-perkara yang asasi dan utama tidak diabaikan
seperti kedatangan, komitmen, dedikasi, displin dan integriti. Selain itu,
orang yang ikhlas akan sedaya upaya mengelakkan dari sikap berlengah-lengah
atau sambil lewa dalam melakukan pekerjaan.
Sesungguhnya
orang yang ikhlas berkerja kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala, mereka akan
menerima tanggungjawab dengan penuh keredhaan dan akan sentiasa bersungguh-sungguh
bagi menghasilkan prestasi kerja yang terbaik.
Dengan melakukan kerja dengan keikhlasan akan membuahkan keberkatan
dalam kehidupan. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari
dari Umar bin al-Khattab Radhiallahu ‘anhu ia mendengar Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
إِنَّمَا الْأَعْمَالُ
بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى
“Sesungguhnya
pekerjaan itu bergantung kepada niat dan sesungguhnya setiap orang akan
memperolehi hasil sesuai dengan niatnya itu”
Di samping
berkhidmat secara ikhlas dan menjalankan tugas dengan bersih, cekap dan amanah,
setiap pekerja juga dituntut supaya mentaati
ketua atau majikannya yang juga merupakan Ulil Amri kepada mereka.
Firman Allah Subhanahu
wa Ta’ala dalam surah an-Nisa ayat
59 tafsirnya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا أَطِيعُوا
اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ...... (59)
“Wahai
orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada
Rasulullah dan Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu”.
Selain itu,
sifat sabar juga perlu ada bagi setiap warga perkhidmatan awam. Ini kerana
orang yang bersifat sabar akan mempunya ketahanan hati dan perasaan dalam
menghadapi sebarang tekanan, desakan sekeliling atau menerima sebarang
kesusahan. Serta tidak cepat melenting apabila menerima kritikan dan tidak
cepat marah di dalam apa jua perkara. Malahan perlu kitani amalkan ialah
sentiasa tenang dan bersifat pemaaf.
Selaku warga
perkhidmatan awam, tidak kira samada ketua ataupun orang bawahan, hendaklah
sama-sama memikul tanggungjawap yang telah diberikan kerana agama Islam menuntut
umatnya untuk memikul dan melaksanakan tanggungjawap itu yang merupakan suatu
amanah dari Allah Subhanahu wa Ta’ala sebagaimana dalam firmannya dalam
surah al-Anfaal ayat 27 tafsirnya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تَخُونُوا
اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ(27)
“Wahai
orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati Allah dan RasulNya, dan
janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah (yang diamanahkan kepada) kamu,
sedang kamu mengetahui”.
Oleh yang
demikian, sama-sama kita berdoa agar warga perkhidmatan awam menjadi pekerja
yang ikhlas, kreatif, inovatif dan produktif, tabah melaksanakan tugas dan
dedikasi, tabah menghadapi cabaran, serta dapat membawa masyarakat semua ke
arah satu cara hidup yang terpuji dan diberkati. Dan mudah-mudahan segala
pekerjaan yang dilakukan akan mendapat ganjaran pahala, mendapat berkat dan
rahmat dari Allah Subhanahu wa Ta’ala. Amin Ya Rabbal Alamin.
*MB2*