Kemeriahan
hari-hari perayaan yang disambut oleh penganut agama lain kadang-kadang
menggamit sesetengah orang-orang Islam untuk turut sama meraikannya. Perlu kita
sedar bahawa setiap perayaan agama lain yang diadakan itu bukan hanya sekadar
sambutan semata-mata, tetapi juga sebagai memperingati sejarah perayaan
tersebut yang tentunya mempunyai hubungkait dengan agamanya. Dalam kemeriahan
menyambut perayaan seumpama itu wujud kepercayaan atau amalan yang tidak sesuai
dan jelas ditolak oleh Islam. Kadang-kadang kepercayaan itu juga
diselitkan dalam bentuk hiburan, dengan membawa maksud sama ada untuk
memeriahkan suasana perayaan atau tujuan keagamaan yang tidak disedari.
Oleh
kerana itu, orang-orang Islam perlu berhati-hati agar tidak mudah terikut-ikut dengan
perayaan sedemikian yang langsung tidak ada kaitannya dengan Islam. Kerana yang
ditakuti daripada perbuatan terikut-ikut ini adalah tasyabbuh
(penyerupaan) yang tanpa disedari boleh menyentuh kesucian aqidah umat Islam
sebagai contoh sempena perayaan hari Krismas, terdapat orang-orang Islam yang
terdiri daripada kalangan kanak-kanak, para remaja dan orang-orang dewasa yang
kelihatan memakai topi atau pakaian ‘Santa Claus’ atau pakaian ikon keagamaan
mereka yang lain yang diedarkan oleh beberapa premis perniagaan bagi tujuan
memeriahkan suasana perayaan tersebut.
Contoh
dari segi penyerupaan yang lain pula ialah terdapat segelintir orang yang turut
serta dalam party Halloween yang diadakan oleh kawan-kawan, sedangkan
kita mengetahui bahawa perayaan tersebut langsung tiada kaitannya dengan Islam.
Halloween yang juga dikenali sebagai All Hallows’ Eve atau Evening merupakan
antara hari-hari perayaan orang bukan Islam. Ia disambut atau dirayakan pada 31
Oktober setiap tahun. Antara tujuan perayaan ini dirayakan adalah untuk
menandakan kedatangan roh-roh orang mati melawat semula kediaman mereka dan
wujudnya kepercayaan mengenai dengan hantu, tukang sihir, syaitan dan
seumpamanya berkeliaran pada hari tersebut.
Persoalannya,
apakah pandangan Islam mengenai perkara seumpama ini?
Orang
Islam dilarang menyerupai amalan agama lain dalam perkara yang berkaitan dengan
aqidah mereka.
Dalam
sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar Radhiallahu
‘anhuma, Rasulullah Shallallhu ‘alaihi wasallam bersabda:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Maksudnya:“Barangsiapa
menyerupai (sesuatu) kaum, maka dia adalah daripada (golongan) mereka (kaum
yang diserupainya itu).” (Hadits riwayat Abu Daud).
Di
dalam kitab ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abu Daud, disebutkan pendapat Imam
al-Munawi dan al-‘Aqlami Rahimahumallah menyebutkan bahawa maksud tasyabbuh
(penyerupaan) dengan seusatu kaum itu ialah sebagai berkelakuan dengan tingkah
laku mereka, termasuk pakaian dan sebahagian perbuatan mereka.
Berdasarkan
keterangan di atas, maka dapatlah difahami bahawa larangan tasyabbuh
(penyerupaan) terhadap sesuatu kaum itu tidak hanya terhad pada perayaan
keagamaan dan budaya mereka, bahkan orang-orang Islam perlu berhati-hati
terhadap maksud penyerupaan tersebut. Umpamanya penyerupaan dari segi pakaian
khusus pada sesuatu agama atau pakaian khusus yang menjadi kepercayaan sesuatu
agama atau menjadi simbol perayaan sesuatu agama apa lagi jika dia suka atau
berniat untuk menyerupai sesuatu agama itu.
Menyentuh
mengenai penyerupaan dengan orang bukan Islam dari segi berpakaian yang menjadi
lambang atau tanda khusus yang membezakan mereka dengan orang-orang Islam;
tersebut di dalam kitab Raudhah ath-Thalibin susunan Imam an-Nawawi Rahimahullah,
menurut pendapat yang shahih bahawa orang yang memakai qalansuwah
al-Majus (topi kecil yang dipakai orang Majusi) di atas kepalanya, maka
dihukumkan dia kufur.
Menurut
Imam an-Nawawi Rahimahullah pula, memakai topi orang Majusi atau yang
seumpamanya daripada pakaian-pakaian yang menunjukkan tanda atau symbol orang
bukan Islam tidak menyebabkan kufur jika tidak disertai dengan niat.
Kesimpulan daripada perbahasan para ulama, pengarang Kitab Bughyah al-Mustarsyidin, as-Sayyid asy-Syarif ‘Abdurrahman bin Muhammad bin al-Husain bin ‘Umar Ba’lawi Rahimahullah mengatakan:
“Hasil
dari apa yang disebut oleh para ulama mengenai dengan berpakaian dengan pakaian
orang-orang kafir (ialah); sama ada seseorang itu berpakaian dengan pakaian
mereka (orang kafir) kerana suka atau cenderung kepada agama mereka (orang
kafir) dan berniat untuk menyerupai dengan mereka dalam simbol-simbol
kekufuran, atau pergi bersama mereka (orang kafir) ke rumah-rumah ibadat mereka
(orang kafir), maka menjadi kufurlah dia yang demikian itu dengan kedua perkara
tersebut.
Dan
sama ada dia tidak berniat sedemikian (tidak ada maksud hatinya untuk suka atau
cenderung kepada agama kafir) bahkan maksud atau tujuannya hanya untuk
tasyabbuh (penyerupaan) semata-mata dengan mereka pada simbol-simbol perayaan
mereka atau sebagai penghubung kepada muamalah yang membolehkan (untuk) bersama
mereka, maka orang tersebut berdosa.
Dan
sama ada dia hanya sama dengan mereka (secara kebetulan sahaja) tanpa apa-apa
maksud atau niat, maka hukumnya (adalah) makruh.”
Dari
apa yang dikatakan oleh as-Sayyid asy-Syarif ‘Abdurrahman di atas dapat
disimpulkan beberapa perkara, iaitu:
- Seseorang itu dihukumkan kufur
(keluar dari agama Islam) jika dia berpakaian dengan pakaian agama (yang
khusus bagi) orang kafir disebabkan dia suka atau cenderung kepada agama
mereka dengan niat untuk menyerupai mereka pada simbol-simbol kekufuran
mereka.
- Jika seseorang itu memakai
pakaian orang kafir dengan tujuan menyerupai mereka pada simbol perayaan
keagamaan mereka semata-mata tanpa ada perasaan suka atau cenderung pada
agama mereka atau memakainya untuk membolehkannya bermuamalah bersama
mereka, maka dia berdosa.
- Makruh hukumnya dia memakai
pakaian orang kafir secara kebetulan sahaja, iaitu tanpa maksud atau niat
tertentu.
Dari
keterangan diatas, jelas bahawa larangan tasyabbuh (penyerupaan) dengan
orang kafir itu ialah dari segi perkara yang menunjukkan simbol-simbol
kekufuran sama ada tingkah laku, pakaian, perayaan dan yang seumpamanya yang
boleh menjejaskan aqidah Islam.
Walau
bagaimanapun, tasyabbuh (penyerupaan) pada perkara kebaikan tidaklah
dilarang, begitu juga tasyabbuh (penyerupaan) pada tingkah laku positif
selama mana ia tidak menjejaskan aqidah Islam dan tidak bercanggah dengan apa
yang disyariatkan Islam.
Perkara
ini ada disebut oleh asy-Syaikh Abu Muhammad bin Abi Jamrah Nafa’ullahu bih ketika
menjelaskan hadits yang melarang kaum lelaki daripada menyerupai kaum
perempuan, begitu juga sebaliknya, Beliau berkata:
“Zahir
lafaz (hadits yang melarang kaum lelaki menyerupai kaum perempuan dan
sebaliknya) adalah celaan daripada perbuatan tasyabbuh (penyerupaan) pada semua
perkara, akan tetapi yang diketahui daripada dalil-dalil lain bahawa yang
dimaksudkan (celaan tersebut ialah) tasyabbuh pada pakaian, sebahagian
sifat-sifat, tingkah laku (perbuatan) atau pergerakan dan yang seumpamanya,
bukan (celaan tersebut pada) tasyabbuh dalam perkara-perkara yang baik.”
Sebagai
kesimpulan, berhubung dengan perayaan orang-orang kafir ini, umat Islam
dilarang untuk merayakan walaupun hanya dengan turut serta memeriahkan
perayaan-perayaan keagamaan tersebut. Begitu juga dilarang menyerupai
perbuatan-perbuatan khusus yang dilakukan ketika menyambut perayaan-perayaan
keagamaan mereka serta dilarang memakai pakaian yang khusus pada sesuatu agama
atau sesuatu agama yang menjadi kepercayaan sesuatu agama atau menjadi simbol
perayaan sesuatu agama kerana ditakuti boleh menjejaskan aqidah umat Islam.
Wallahu’alam
( Sumber: Irsyad Hukum 2011, Jabatan Mufti Kerajaan. Jabatan Perdana Menteri)
(