Tuesday, May 03, 2016

Pengukuhan Keluarga



Di antara kaedah pengukuhan keluarga itu ialah:

1.      Sembahyang berjemaah

Sembahyang berjemaah mempunyai fadhilat dan ganjaran pahala yang banyak. Adalah lebih baik sembahyang berjemaah bersama keluarga dijadikan kemestian dilaksanakan sekalipun ianya hanya sunat muakkadah, sama ada dilaksanakan di rumah mahupun di masjid. Mendirikan sembahyang berjemaah bersama isteri dan keluarga boleh menjalin mahabbah dan mawaddah (berkasih sayang) di antara suami, isteri dan keluarga.

Dalam era globalisasi ini peralatan-peralatan moden menjadikan sesebuah keluarga hidup sebumbung tanpa komunikasi. Masing-masing sibuk dengan telefon bimbit, televisyen, komputer, wang, hutang, membeli belah dan sebagainya. Masa bersama untuk berbual mesra hampir tiada. Maka perkara-perkara tersebut boleh diatasi dengan sembahyang berjemaah kerana sembahyang berjemaah bersama isteri dan anak-anak adalah sumber utama keutuhan sesebuah rumahtangga dan jalinan mahabbah dan mawaddah (berkasih sayang) dapat diaplikasikan.

2.      Membaca al-Quran dan Zikir

Al-Quran adalah kalam Allah. Ia mempunyai hikmah dan fadhilat bagi siapa yang membacanya sekalipun hanya mendengarkannya. Sebagaimana sembahyang, suami isteri dan keluarga dianjurkan mendampingi, membaca dan beramal dengan al-Quran. Hati atau dada yang kosong daripada al-Quran samalah seperti rumah kosong gelap gelita, binasa dan tidak mendapat berkat. Perkara ini dijelaskan dalam satu riwayat Imam al-Hakim daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya seseorang yang di dalam hatinya tidak ada sesuatu daripada al-Quran adalah seperti rumah yang rosak”

3.      Makan bersama

Amalan makan bersama juga memberi kesan positif dalam mengukuhkan keakrapan dan kemesraan kepada keluarga. Islam sangat menganjurkan amalan berjemaah bukan sahaja dalam sembahyang bahkan dalam amalan makan sekeluarga. Pahala makan berjemaah itu juga berlipat ganda dan mendapat berkat, sesuai dengan hadits riwayat  Imam Ibnu Majah daripada umar bin al-Khattab  berkata, Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
كُلُوا جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا فَإِنَّ الْبَرَكَةَ مَعَ الْجَمَاعَةِ
“Makanlah kamu bersama-sama dan janganlah kamu makan sendiri-sendiri maka sesungguhnya berkat itu adalah dalam berjemaah”

4.      Bertimbang Rasa dan Sabar

Sebagai ketua keluarga suami perlu menjadikan konsep al-Rahmah (belas kasihan) sebagai asas yang penting dalam kekeluargaan. Ini adalah kerana sifat lembut, penyayang, mudah tersinggung adalah diantara sifat semula jadi seorang wanita. Oleh yang demikian Ugama Islam menggalakkan supaya pasangan wanita iaitu para suami bersopan santun, berlembut, bertolak ansur dalam berkomunikasi dengan wanita.

Dalam sebuah rumahtangga kejadian yang berlaku antara suami isteri seperti pertengkaran, perselisihan dan perbalahan adalah asam garam hidup suami isteri. Oleh itu suami harus mengerti bahawa dalam sebuah rumahtangga tidak akan ditemui kesempurnaan mutlak.

5.      Saling tolong menolong

Dalam rumahtangga perlu ada sikap saling bantu membantu antara suami dan isteri. Semangat dan sikap bantu membantu adalah nilai-nilai yang luhur dan mulia yang boleh membahagiakan keluarga dan diredhai oleh Allah. Memang tidak dinafikan dalam urusan-urusan tertentu yang berkaitan dengan hal ehwal rumahtangga, isterilah yang patut menangani dan menyelesaikannya. Sementara suami menunaikan tugas dan tanggugjawab sendiri yang telah ditentukan kepadanya. Namun demikian bukan bererti suami boleh meninggalkan tanggungjawabnya untuk membantu isteri bahkan suami digalakkan menolong dan membantu isteri bagi meringankan tugas isteri disamping tidak meninggalkan tanggungjawab yang telah diberikan. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah memberikan contoh yang terbaik sebagai seorang suami sebagaimana telah dijelaskan dalam sebuah hadits riwayat Imam Ahmad  daripada al-Aswad telah bertanya kepada Sayidatina Aisyah Radhiallahu ‘anha : “Apa yang Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam kerjakan di rumahnya?” Aisyah menjawab: “Baginda sendiri menjahit bajunya dan menampal kasut dan baginda juga membuat pekerjaan yang dibuat oleh kebanyakan orang lelaki (suami) di rumah-rumah mereka”.

Penutup

Bagi membentuk sebuah keluarga bahagia dan diredhai oleh Allah setiap anggota keluarga, terutama suami isteri hendaklah mengetahui peranan, tugas dan tanggungjawab mereka seperti yang dituntut oleh Islam. Peranan, tugas dan tanggungjawab itu hendaklah dilaksanakan dengan jujur, ikhlas, amanah dan penuh iltizam.

Iman dan taqwa turut mengambil peranan dalam pembentukan sesebuah keluarga bahagia. Tanpa iman dan taqwa keluarga tidak akan mendapat penghayatan nilai-nilai agama dengan sempurna, kerana itu seorang suami tidak dianggap bertaqwa apabila dia tidak menunaikan tanggungjawabnya dengan baik terhadap isteri dan anak-anak.