Thursday, August 11, 2016

Fadhilat Menunaikan Haji


Biarpun betapa arif, tinggi dan luasnya ilmu pengetahuan seseorang itu, amatlah sukar baginya membongkar segala hikmat, rahsia dan fadhilat kelebihan haji. Hanya Allah subhanahu wa Ta’ala sahaja yang maha mengetahui. Kerana Dialah yang Maha Bijaksana mentasyri’kannya (memperundangkan hukuman berdasarkan ajaran Ugama Islam).

Namun demikian para ulama fiqh menyatakan bahawa ada beberapa fadhilat yang terkandung dalam pelaksanaan haji di antaranya adalah seperti berikut:

1.   Haji daripada afdhalil a’mal ( أَفْضَلِ الْأَعْمَال ) iaitu amalan yang terbaik. Sepertimana yang disebut 
     di dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah
     Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
أَيُّ الْأَعْمَالِ أَفْضَلُ قَالَ إِيمَانٌ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ قِيلَ ثُمَّ مَاذَا قَالَ جِهَادٌ فِي سَبِيلِ اللَّهِ قِيلَ ثُمَّ مَاذَا
قَالَ حَجٌّ مَبْرُورٌ

    Maksudnya:
    Apakah perbuatan yang paling baik itu? Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam  
    menjawab: “Beriman kepada Allah dan RasulNya”. Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi 
   wasallam ditanya lagi: “kemudian apa?” baginda menjawab: “Jihad di jalan Allah”. Nabi 
   Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam ditanya lagi: “Kemudian apa?” Baginda menjawab: 
   “Haji Mabrur”.

2.  Haji adalah afdhalul jihad ( أَفْضَلُ الجِهَاد ) iaitu jihad yang afdhal. Sepertimana yang disebut di
     dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Sayidatuna Aisyah 
     Radiallahu ‘anha, beliau berkata:
يَا رَسُولَ اللَّهِ نَرَى الْجِهَادَ أَفْضَلَ الْعَمَلِ أَفَلَا نُجَاهِدُ قَالَ لَا لَكِنَّ أَفْضَلَ الْجِهَادِ حَجٌّ مَبْرُورٌ


   Maksudnya:
   Ya Rasulullah, kami lihat jihad itu sebaik-baik amal, adakah tidak kami (perempuan) berjihad? 
   Maka jawab Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam: Tidak, akan tetapi bagi kamu (perempuan-
   perempuan), sebaik-baik jihad ialah haji mabrur.

   3.   Haji dapat menghilangkan dosa-dosa kecil dan membersihkan jiwa. Sepertimana yang disebut di 
       dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah radhiallahu 
       ‘anhu, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
مَنْ حَجَّ لِلَّهِ فَلَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ رَجَعَ كَيَوْمِ وَلَدَتْهُ أُمُّهُ

    Maksudnya: 
    Barangsiapa telah mengerjakan haji dan keadaanya tidak bercakap kotor atau tidak 
    fasiq/membuat maksiat maka kembalilah keadaannya suci daripada dosa seperti keadaannya di 
    hari ia dilahirkan oleh ibunya.

    4.  Haji mabrur ganjarannya adalah syurga. Sepertimana yang disebut di dalam sebuah hadits yang  
        diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah 
        shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

الْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا وَالْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلَّا الْجَنَّةُ
    Maksudnya: 
    Umrah kepada satu umrah ialah kaffarah (penghapus dosa) di antara keduanya dan haji mabrur 
    tiada baginya balasan melainkan syurga.

   5.   Jemaah haji merupakan rombongan Allah. Sepertimana yang disebut di dalam sebuah hadits yang 
       diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah daripada Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu, Rasulullah 
       shallallahu ’alaihi wasallam bersabda:
الْحُجَّاجُ وَالْعُمَّارُ وَفْدُ اللَّهِ إِنْ دَعَوْهُ أَجَابَهُمْ وَإِنْ اسْتَغْفَرُوهُ غَفَرَ لَهُمْ
   Maksudnya:
   Rombongan orang-orang haji dan rombongan orang-orang umrah ialah rombongan Allah; kalau 
   mereka itu berdoa kepadaNya nescaya Ia menerima doa mereka; dan kalau mereka itu meminta 
   ampun nescaya Ia mengampunkan mereka.

   6.  Haji dapat memperteguh serta memperbaharui keimanan kepada Allah subhanahu wa Ta’ala
       kerana orang-orang yang melaksanakan haji mengetahui secara langsung dengan menyaksikan dari
       dekat tempat-tempat bersejarah dari perjuangan yang dilakukan dan dirasakan oleh Rasulullah 
       Shallallahu ‘alaihi wasallam di negeri Mekah dan Madinah dengan berbagai rintangan.   
       Dengan mengetahui perjuangan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tersebut rasa keimanan 
       jemaah haji  akan menebal dan menambah keyakinan mereka kepada Allah subhanahu wa Ta’ala.

  7. Haji mempertebal rasa kepatuhan terhadap ajaran-ajaran agama, kerana selama menjalankan ibadah  haji, jemaah haji merasakan betapa berat perjuangan yang harus dilaksanakan untuk mendapatkan keredhaan Allah subhanahu wa Ta'ala.

  8.  Haji dapat menunjukkan rasa syukur yang sedalam-dalamnya atas segala kurnia Allah subhanahu
       wa Ta’ala kepada hambaNya, sehingga mempertebal rasa pengabdian kepada Allah subhanahu wa 
       Ta’ala.