Thursday, November 02, 2017

Taqwa Perisai Hadapi Cabaran Kehidupan



Taqwa dan zikir adalah dua daripada pelbagai rahsia besar bagaimana mencapai wawasan yang berkat dengan bercontoh kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang akan membawa untung dan tuah bukan sahaja buat diri sendiri malah untuk keluarga dan juga Negara Brunei Darussalam.

Orang-orang yang akan merealisasikan wawasan negara haruslah bertaqwa dan taqwa adalah hasil daripada iman yang mantap.

Orang yang beriman, hatinya akan selalu ingat Allah Subhanahu wa Ta’ala yang sentiasa melimpahkan kasih dan rahmatNya kepada setiap makhluk.

Iman adalah ni’mat terbesar yang diberikan oleh Allah dimana hidayah iman akan menjamin keselesaan di dunia dan akhirat. Ni’mat iman wajib dihargai. Dalam keadaan Negara Brunei Darussalam yang aman maka mudahlah bagi kita mengamalkan Islam sebagai cara hidup yang lengkap berbanding saudara-saudara Islam dikebanyakkan tempat yang terpaksa mempertaruhkan nyawa demi memelihara aqidah. Peliharalah iman sebagai tanda syukur kepada Allah.

Umat Islam hendaklah memelihara iman sebagai tanda syukur kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Bersyukur dengan prasarana dan bantuan kerajaan kepada kita seperti pendidikan, kesihatan, keselamatan, kebajikan yang diberikan perhatian oleh pihak kerajaan.

Taqwa adalah ketundukan dan ketaatan terhadap perintah Allah Subhanahu wa Ta’ala dan menjauhi segala apa yang ditegahNya.

Taqwa adalah perisai bagi menghadapi cabaran dalam kehidupan yang mana orang bertaqwa akan merasa cukup dengan bantuan Allah dan keyakinannya membawa kepada jalan-jalan penyelesaian dengan bantuanNya jua.

Oleh itu umat Islam hendaklah selalu beristighfar supaya Negara Brunei Darussalam akan tetap terus maju dipelihara oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.


Dipetik Dari:
Majalah Muslimin Tahun 29 Bilangan 01
Terbitan Pusat Da’wah Islamiah,
Kementerian Hal Ehwal Ugama,
Negara Brunei Darussalam.