Monday, February 19, 2018

GANJARAN NEGARA DENGAN PETUNJUK ILAHI



Allah Subhanahu wa Ta’ala Maha Pemurah dan Maha Mengasihi para hambaNya. Petunjuk daripadaNya sentiasa menjadi impian setiap negara Islam. Apabila sesebuah negara mengamalkan ajaran-ajaran al-Quran dan Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam serta memenuhi kriteria-kriteria sebuah negara yang mendapat petunjuk dari Allah Subhanahu wa Ta’ala, selayaknya mendapat ganjaran yang besar nilainya disisi Allah Subhanahu wa Ta’ala.


“Baldatun Taiyyibatun wa Rabbun Ghafur” بلدة طيبة ورب غفور))

 Ungkapan arab بلدة طيبة ورب غفور sering kita dengar dijadikan sebuah impian yang hendak dicapai oleh sesebuah negara. Ungkapan tersebut adalah petikan daripada firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah Saba’ ayat 15 yang tafsirnya:


“Demi sesungguhnya bagi penduduk Saba, (diyaman) ada satu tanda yang membuktikan kemurahan Allah) terdapat di tempat tinggal mereka iaitu dua kebun (yang luas lagi subur, sebuah) disebelah kanan dan (sebuah lagi) di sebelah kiri. (lalu dikatakan kepada mereka): “makanlah daripada rezeki (yang dikurniakan) Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya. (Negara kamu ini ialah) negeri yang baik (aman dan makmur dengan buah-buahan yang banyak) dan (tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun.”

Ayat ini sebenarnya mengisahkan tentang penduduk sebuah tempat di Yaman iaitu Saba', yang dikurniakan kekayaan rezeki dan keamanan. Mereka diperintahkan agar bersyukur kerana menerima ni’mat kurniaan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Oleh kerana itu negara tersebut mendapat gelaran “Baldatun Taiyyibatun wa Rabbun Ghafur” iaitu negara yang baik dan Tuhan Yang Maha Pengampun. Akan tetapi, penduduk Saba’ ini telah mengingkari suruhan Allah, lalu mereka ditimpa musibah banjir besar yang melenyapkan ni’mat yang mereka rasai sebelum ini. sambungan kisah ini Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman dalam surah Saba’ ayat 16-17 yang tafsirnya:
“Maka mereka berpaling ingkar lalu kami menghantarkan kepada mereka banjir besar dan kami menggantikan dua buah kebun mereka itu dengan kebun (yang ditumbuhi) pohon-pohon pahit buahnya dan pohon astl (sejenis pohon cemara yang jarang berbuah) serta sedikit pohon bidara. Demikianlah kami membalas mereka dengan sebab kekufuran mereka dan sebenarnya kami tidak menimpakan balasan yang demikian melainkan kepada orang-orang yang sangat kufur.”

Sewajarnya kita mengambil iktibar dan pengajaran dari kisah umat terdahulu yang perlu direnungi sedalam-dalamnya. Jika ingin membangun dan menegakkan sebuah negara yang terbaik dan cemerlang dengan petunjuk Allah, maka wajib bagi kita mentaati perintah Allah Subhanahu wa Ta’ala dan mensyukuri ni’matNya serta menjauhi segala laranganNya.


Kesimpulan


Apabila sesebuah negara itu maju dan membangun serta ditadbir selaras dengan petunjuk Allah, nescaya negara tersebut akan dikukuhkan kedudukannya di muka bumi ini. Pemimpin dan rakyat serta seluruh penduduknya terdiri daripada orang-orang yang benar-benar melaksanakan kewajipan beragama dan meninggalkan segala larangan. Ini menepati firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah al-Hajj ayat 41 yang tafsirnya: (iaitu) mereka (umat Islam) yang jika kami teguhkan kedudukan mereka di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang dan membayar zakat serta mereka menyuruh berbuat yang ma’ruf dan melarang daripada mengerjakan yang mungkar. Dan kepada Allah jualah kesudahan segala urusan.

Berdirinya sebuah negara adalah dengan wujudnya orang-orang yang memiliki syakhsiah dan peribadi yang tinggi. Mereka sentiasa berusaha memperbaiki kehidupan dunia untuk bekalan dikemudian hari yang lebih kekal. Semuanya ini kembali kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala yang mentadbir dan mengaturkan segala urusan alam. Allah Subahanhu wa Ta’ala sajalah yang memberi pengajaran, petunjuk dan hidayah bagi manusia. Negara dan agama tidak terpisah, malah sama-sama dibangunkan untuk kehidupan manusia. Kaedah utama untuk hidup bernegara dengan petunjuk Allah adalah dengan mengamalkan ajaran al-Quran dan Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Mudah-mudahan negara dan kita semua tergolong dalam kalangan yang menerima petunjukNya.
والله أعلم بالصواب
Dipetik dari buku:
Bernegara Dengan Petunjuk Allah
Terbitan Pusat Da’wah Islamiah 1437H/2016M