Ayat Kursiy adalah ayat 255 daripada surah al-Baqarah. Ayat ini dinamakan ayat Kursiy kerana ada pada ayat ini disebut perkataan ‘Kursiy' sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
﴾وَسِعَ كُرۡسِيُّهُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضَۖ﴿ yang mana mengikut pendapat mufassirin, kalimah ini menggambarkan kebesaran dan keagungan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Ada juga yang mengatakan bahawa ‘luasnya Kursiy’ itu bermaksud ‘luasnya ilmu Allah’. Ada juga yang mengertikan ‘Kursiy’ itu sebagai ‘pemerintahan Allah yang luas’, dan menggambarkan penguasaan dan pengawasan seluruh kejadian di langit dan di bumi.
Dalam ayat Kursiy ini terhimpunnya segala usul nama-nama dan sifat-sifat Allah seperti al-Hayyu (Maha Hidup), al-Qayyum (Maha Kekal), al-‘AIim (Maha Mengetahui), al-‘Aliyyu (Maha Tinggi) dan al-‘Azim (Maha Agung) dan ayat ini juga menjelaskan bahawa hanya Allah Subhanahu wa Ta’ala yang Maha Esa memiliki pemerintahan dan kuasa secara tunggal.
Menurut riwayat yang disebutkan di dalam Kitab al-Qurthubi, ayat Kursiy diturunkan pada satu malam dan ketika ayat Kursiy diturunkan, ia disertai dengan beribu-ribu malaikat sebagai penghantarnya. Hal ini menunjukkan betapa besar dan mulianya ayat ini. Ketika itu, menurut riwayat yang lain, syaitan dan iblis sangat marah kerana dengan turunnya ayat ini,golongan syaitan dan iblis tidak mungkin dapat menggoda atau mempermainkan orang-orang yang mengamalkannya.
KEISTIMEWAAN AYAT KURSIY
Ayat Kursiy merupakan ayat yang paling mulia dan agung di dalam al-Quran serta mempunyai kelebihan dan keistimewaan. Perkara ini ada disebutkan dalam hadits-hadits Rasulullah ﷺ.
1. Hadits diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Ubay bin Ka’ab yang menyatakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda :
أَفْضَلُ الْقُرْآنِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ وَأَعْظَمُ آيَةٍ فِيهِ آيَةُ الْكُرْسِيِّ
Maksudnya :
“Surah yang paling afdhal dalam al-Quran ialah surah al-Baqarah dan ayat yang paling mulia dan agung di dalamnya adalah ayat Kursiy.”
2. Hadits riwayat Imam at-Tarmidzi dan al-Hakim daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah ﷺ bersabda:
لِكُلِّ شَيْءٍ سَنَامٌ وَإِنَّ سَنَامَ الْقُرْآنِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ وَفِيهَا آيَةٌ هِيَ سَيِّدَةُ آيِ الْقُرْآن آيَةُ الْكُرْسِيِّ
Maksudnya :
“Segala sesuatu memiliki tunggak atau puncak ketinggian dan tunggak al-Quran adalah Surah al-Baqarah yang ada di dalamnya terdapat semulia-mulia ayat iaitu ayat Kursiy.”
Menurut Imam al-Ghazali, ayat Kursiy ini dinamakan ‘ Sayidatul ayat’ atau penghulu segala ayat kerana ia memperkatakan mengenai zat Allah Subhanahu wa Ta’ala, sifat dan kebesaranNya. Kerana itu, tiada perkataan yang lebih agung daripada perkataan yang menyatakan mengenai kebesaran Yang Maha Agung itu sendiri.
3. Hadits riwayat Imam Ahmad daripada Anas Radhiallahu ‘anhu, bahawa Nabi Muhammad ﷺ bersabda :
أَلَيْسَ مَعَكَ آيَةُ الْكُرسِيِّ اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ قَالَ بَلَى قَالَ رُبُعُ الْقُرْآنِ
Maksudnya :
“Bukankah ada bersamamu ayat Kursiy iaitu Allah, tiada Tuhan selain Dia.” Sahabat menjawab : “Ada.” Nabi pun bersabda : “ Ia satu perempat al-Quran.”
FADHILAT AYAT KURSIY
Diantara fadhilat amalan ayat kursiy ada disebutkan dalam hadits iaitu seperti berikut:
i. Hadits riwayat Imam at-Thabrani, Abu Umamah berkata, Rasulullah ﷺ bersabda:
مَنْ قَرَأَ آيَةَ الْكُرْسِيِّ دُبَرَ كُلِّ صَلَاةٍ مَكْتُوبَةٍ لَمْ يَمْنَعْهُ مِنْ دُخُولِ الْجَنَّةِ إِلَا الْمَوْتُ
Maksudnya :
“ Sesiapa yang membaca ayat Kursiy setiap kali selesai menunaikan sembahyang fardhu, maka tidak ada pemisah antara orang itu dengan syurga kecuali kematian.”
ii. Hadits riwayat Imam at-Thabrani menceritakan bahawa Abdullah bin Hassan dari bapanya dan datuknya, Rasulullah ﷺ bersabda :
مَنْ قَرَأَ آيَةَ الْكُرْسِيِّ فِي دُبُرِ الصَّلَاةِ الْمَكْتُوبَةِ كَانَ فِي ذِمَّةِ اللَّهِ إِلَى الصَّلَاة اللْأُخْرَى
Maksudnya :
“ Sesiapa yang membaca ayat Kursiy setiap kali selepas sembahyang fardhu, dia akan berada dalam perlindungan Allah sehinggalah ke sembahyang yang lain.”
iii. Barangsiapa membaca ayat Kursiy di dalam rumahnya akan dijauhkan syaitan darinya selama 30 hari dan rumahnya tidak akan dimasuki sihir selama 40 hari. Ini berdasarkan sabda Rasulullah ﷺ :
مَا قُرِئَتْ هَذِهِ الآيَةُ فِي دَارٍ إِلَّا هَجَرَتْهَا الشَّيَاطِينُ ثَلَاثِينَ يَوْمًا وَلَا يَدْخُلهَا سَاحِرٌ وَلَا سَاحِرَةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً
Maksudnya :
“Tidaklah kamu membaca ayat ini di dalam rumah melainkan dijauhkan syaitan darinya selama 30 hari dan rumahnya tidak akan dimasuki sihir selama 40 malam.”
iv. Di dalam kitab ad-Dur al-Mantsur daripada Ibnu Mas’ud katanya : telah bertanya seorang lelaki kepada Rasulullah ﷺ : Ya Rasulullah! Ajarkanlah aku sesuatu yang dengannya Allah memberi manfaat kepadaku. Baginda bersabda :
اقْرَأْ آيَةَ الْكُرْسِيّ فَإِنَّهُ يَحْفَظُكَ وَذُرِّيَّتكَ وَيحْفَظُ دَاركَ حَتَّى الدُّوَيْرَاتِ حَوْلَ دَارُكَ
Maksudnya :
“Bacalah ayat Kursiy sesungguhnya ia akan menjagamu, zuriatmu, rumahmu malah setiap penjuru sekitar rumahmu.”
v. Jika dibaca ketika berbaring di tempat tidur, nescaya akan sentiasa dalam pemeliharaan Allah Subhanahu wa Ta’ala dan syaitan tidak akan menghampirinya hingga subuh.
Hadits riwayat Imam al-Bukhari, daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah ﷺ bersabda:
إذَا أَوَيْتَ إِلَى فِرَاشِكَ فَاقْرَأْ آيَةَ الْكُرْسِيِّ لَنْ يَزَال عَلَيْكَ مِنَ اللَّهِ حافِظٌ وَلَا يَقْرَبُكَ شَيْطانٌ حَتّى تُصْبِحَ
Maksudnya :
“ Jika engkau berbaring di tempat tidurmu, bacalah ayat Kursiy. Dengan demikian, penjaga dari Allah tidak akan meninggalkanmu dan syaitan tidak akan mendekatimu hingga subuh.”
Hadits ini menjelaskan, Ayat Kursiy ini apabila dibaca sebelum tidur, in sha Allah tidak akan diganggu oleh syaitan dengan mimpi-mimpi atau sebagainya. Hadits riwayat Imam ad-Darimi daripada Ibnu Mas’ud ia berkata:
مَنْ قَرَأَ أَرْبَعَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْبَقَرَةِ وآيَةَ الْكُرْسِيِّ وَآيَتَانِ بَعْدَ آيَةِ الْكُرْسِيِّ
وَثَلَاثًا مِنْ آخِرِ سُورَةِ الْبَقَرَةِ لَمْ يَقْرَبْهُ وَلَا أَهْلَهُ يَوْمَئِذٍ شَيْطَانٌ وَلَا شَيْءٌ يَكْرَهُهُ وَلَا يُقْرَأَنِ عَلَى مَجْنُونٍ إِلَّا أَفَاقَ
Maksudnya :
“Sesiapa yang membaca empat ayat dari awal surah al-Baqarah, ayat Kursiy, dua ayat setelahnya dan tiga ayat terakhir dari surah al-Baqarah, maka tidak ada syaitan pun yang mendekati dirinya dan keluarganya pada hari itu, serta tidak ada pula sesuatu pun yang ia benci (mendatangkan mudharat baginya). Tidaklah dibacakan ayat-ayat tersebut kepada orang gila, kecuali ia pasti sedar.”
Begitulah antara
keistimewaan dan fadhilat-fadhilat ayat Kursiy. Marilah kita sama-sama
mengamalkannya bagi meraih pahala dan mendapatkan perlindungan dan rahmat
dariNya jua.