Monday, January 24, 2022

Kisah Teladan : Rahsia Keajaiban Istighfar

Ketika Imam Hasan al-Bashri sedang duduk di dalam masjid bersama para sahabatnya, tiba-tiba ada seorang yang datang menghampirinya dan berkata dengan nada mengeluh, “Ya Taqiyuddin, hujan belum juga turun.”

Mendengar perkataaan tersebut Hasan al-Bashri menasihati, “Perbanyakkanlah istighfar kepada Allah.”

Tidak lama kemudian datang lagi seorang yang juga mengadukan keluh kesahnya, “Ya Taqiyuddin, aku menderita kemiskinan yang parah.”

Maka Imam Hasan al-Bashri berkata, “Perbanyakkanlah istighfar kepada Allah.”

Seorang lagi datang mengeluh akan keadaan dirinya, “Ya Taqiyuddin, isteriku mandul tidak boleh melahirkan anak!”

“Perbanyakkanlah istighfar kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala,” kata Hasan al-Bashri masih jawapan yang sama.

Tidak lama kemudian tiba-tiba ada seorang lagi yang datang, “Ya Taqiyuddin, bumi sudah tidak memberikan hasil bumi dengan baik.”

Maka sekali lagi Hasan al-Bashri berkata : “Perbanyakkanlah istighfar kepada Allah Ta’ala.”

Beberapa teman yang sedang berkumpul bersamanya di tempat itu terhairan-hairan dengan jawapannya. Mereka bertanya, “Kenapa setiap ada orang yang mengeluhkan hal ehwalnya kepadamu, selalu anda perintahkan kepadanya untuk memperbanyakkan istighfar kepada Allah?” Maka Imam Hasan al-Bashri menjawap, “Apakah anda tidak membaca firman Allah Ta’ala dalam Surah Nuh ayat 10,11 dan 12 yang tafsirnya :

“Maka aku berkata (kepada mereka): “ Mohonlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun.” “(Jika kamu berbuat demikian), nescaya Dia akan mencurahkan hujan yang lebat kepada kamu.” “Dan Dia membanyakkan harta dan anak-anak kamu dan Dia akan mengadakan untuk kamu kebun-kebun serta mengadakan untuk kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).”

 

Petikan dari Majalah al-Huda, Terbitan Pusat Da’wah Islamiah

Monday, January 10, 2022

BERSIFAT BOROS YANG MERUGIKAN

 


Islam sama sekali tidak menghalang pengguna khususnya masyarakat Islam daripada berbelanja tetapi mereka dididik supaya bersederhana, tidak berlebih-lebihan atau boros.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam Surah al-Furqan ayat 67:

وَٱلَّذِينَ إِذَآ أَنفَقُواْ لَمۡ يُسۡرِفُواْ وَلَمۡ يَقۡتُرُواْ وَكَانَ بَيۡنَ ذَٰلِكَ قَوَامٗا 

Tafsirnya :

“Dan mereka yang apabila membelanjakan harta, mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak juga bakhil dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka itu adalah sederhana antara kedua-duanya.”

Bersederhana ini amat penting diamalkan demi untuk mengelakkan pembaziran. Sebagaimana Allah Subhanahu wa Ta’ala ada menyatakan keburukan mereka yang boros dalam firmanNya ayat 26-27 dari Surah al-Isra’:

وَءَاتِ ذَا ٱلۡقُرۡبَىٰ حَقَّهُۥ وَٱلۡمِسۡكِينَ وَٱبۡنَ ٱلسَّبِيلِ وَلَا تُبَذِّرۡ تَبۡذِيرًا إِنَّ ٱلۡمُبَذِّرِينَ كَانُوٓاْ إِخۡوَٰنَ ٱلشَّيَٰطِينِۖ وَكَانَ ٱلشَّيۡطَٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورٗا 

Tafsirnya :

“Dan berikanlah kaum kerabat haknya (kebaikan dan hubungan silaturrahim) dan begitu juga orang miskin serta orang musafir (yang terputus perbelanjaannya iaitu zakat dan sedekah) dan janganlah engkau membazir (membelanjakan hartamu pada jalan yang menyalahi syara’).

Sesungguhnya orang-orang yang membazir (membelanjakan harta pada jalan yang menyalahi syara’) itu ialah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat kufur kepada Tuhannya.”

Namun apa yang dikesali terdapat di kalangan kita hari ini masih suka berbelanja melebihi keperluan dan kemampuan sehingga sanggup berhutang. Hal ini jelas dilihat semasa musim perayaan atau jualan runtuh menjelang tahun baru. Sikap berbelanja mengikut hawa nafsu bertentangan dengan prinsip kesederhanaan. Islam melarang umatnya mengamalkan cara hidup membazir dalam apa jua urusan berkaitan perbelanjaan harta.

Pepatah melayu mengatakan “Ingat sebelum kena, jimat sebelum habis”. Oleh itu, sebaik-baiknya berjimatlah dalam perbelanjaan dan jangan terburu-buru semasa berbelanja. Dahulukan keperluan dari kehendak. Begitu juga, hendaklah sentiasa bersyukur dengan nikmat kurniaan Allah Subhanahu wa Ta’ala kerana orang yang bersyukur tidak terpengaruh dengan dorongan nafsu yang boleh menyebabkan kita membuat keputusan di luar kemampuan iaitu berbelanja besar sedangkan kedudukan kewangan tidak mengizinkan.