Saturday, June 04, 2022

Amal Jariah عمل جارية

 

Hadits Riwayat Imam at-Tirmidzi, daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda :

إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثٍ صَدَقَةٌ وَعِلْمٌ يُنْتَفَعُ بِهِ وَوَلَدٌ صَالِحٌ يَدْعُو لَهُ

Terjemahan Makna Hadits:

“Apabila seseorang meninggal dunia,maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat baginya dan anak salih yang selalu mendoakan kedua ibu bapanya.”

Amal jariah adalah perbuatan mulia yang mendatangkan pahala. Kerana memberi manfaat kepada orang lain. Amal jariah merupakan amalan yang terus mengalir pahalanya, walaupun orang yang melakukan amalan tersebut sudah meninggal dunia. Amal jariah akan mendatangkan pahala yang tidak putus-putus kepadanya.

Jenis-jenis amal jariah antaranya :

·        Menyebarkan ilmu pengetahuan yang bermanfaat sama ada melalui Pendidikan formal atau tidak formal, seperti perbincangan, da’wah melalui ceramah atau penulisan di media-media cetak.

·        Mendidik anak menjadi anak yang salih.

·        Memberikan mushaf, buku agama dan buku-buku ilmu kepada orang-orang yang memerlukan dan memanfaatkan untuk kebaikan diri dan masyarakat.

·        Membina masjid, orang yang membina masjid akan mendapat pahala seperti pahala orang-orang yang beribadah di masjid itu.

·        Membina rumah atau rumah tumpangan untuk orang-orang musafir untuk kebaikan. Setiap orang yang memanfaatkannya, sama ada untuk berehat sebentar atau untuk bermalam dan kegunaan lain yang bukan untuk maksiat, akan mengalirkan pahala kepada orang yang membina rumah tumpangan itu.

·        Mengalirkan air secara baik dan bersih ke tempat-tempat orang yang memerlukannya atau menggali telaga di tempat yang sering dilalui atau didiami ramai.

Menyedekahkan sebahagian harta dengan ikhlas akan mendatangkan pahala yang berlipat ganda.





Dipetik dari Majalah Muslimin, Pusat Da'wah Islamiah.