Tuesday, October 18, 2022

Sa‘id bin Zaid

 

Nama lengkapnya adalah Sa‘id bin Zaid bin ‘Amru bin Nufail bin Abdul Uzza al-‘Adwa. Beliau dilahirkan di kota Mekah pada tahun 20 dari tahun Gajah. Ini bererti Sa‘id bin Zaid 20 tahun lebih muda daripada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam.

Salasilah keturunan beliau yang lengkap ialah Sa‘id bin Zaid bin ‘Amru bin Nufail bin Abdul Uzza bin Riyah bin Abdullah bin Qurth bin Razah bin Adi bin Ka‘ab binLu’ay bin Ghalib bin Fihr bin Malik bin an-Nadhr bin Kinanah al-Qurasyi al-Adawi al-Makki al-Madani. Beliau merupakan anak sepupu kepada Sayidina ‘Umar bin al-Khattab kerana ayah beliau Zaid bin ‘Amru bin Nufail adalah saudara sepupu Sayidina ‘Umar bin al-Khattab bin Nufail. Perhubungan beliau juga bersambung dengan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam pada Ka‘ab bin Lu’ay,
di mana Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam keturunan melalui Murrah bin Ka‘ab bin Lu’ay. Manakala beliau pula daripada keturunan melalui Adi bin Ka‘ab bin Lu’ay.

Sifat-sifat, ketinggian dan kemuliaan akhlaknya memperkatakan tentang sifat-sifat ­ zikal Sa‘id bin Zaid, beliau mempunyai badan yang tinggi dan berkulit agak hitam manis serta memiliki banyak bulu di badan. Dalam hal ini beliau menyerupai Sayidina ‘Umar bin al-Khattab. Beliau juga dikenal dengan gelaran al-A’war.

Sa‘id merupakan seorang yang pemberani, berpendirian teguh, pemurah, dermawan, sangat wara‘, bersikap tawadhu’, zuhud dalam hal duniawi mahupun kepimpinan, sangat mencintai jihad, amat menjauhi hal-hal yang berbau syubhat, lebih-lebih lagi yang haram, termasuk orang yang dikabulkan doanya dan konsisten dengan akhlak mulia yang diajarkan Islam.

Sa‘id telah mewarisi semua akhlak yang mulia ini melalui didikan seorang lelaki salih yang cergas dan bijaksana, iaitu ayahnya Zaid bin ‘Amru bin Nufail. Seorang lelaki yang hidup dalam keluarga Bani Adi, di tengah kabilah besar Quraisy yang berada dalam kesyirikan serta keadaan masyarakat jahiliah yang kufur. Melalui pengawasan dan asuhan ayahnya inilah Sa‘id telah menjalani hari-hari kecilnya sehingga tumbuh sebagai seorang dewasa yang berjalan mengikuti jalan sebagaimana yang pernah ditempuh ayahnya dan mengikuti jejak langkahnya,
serta meneguhkan langkahnya dalam meniti jalan yang lurus.

Pengislamannya

Sa‘id bin Zaid dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga yang mencela dan mengingkari kepercayaan dan adat istiadat kaum Quraisy yang sesat. Oleh itu, sebelum beliau mendengar seruan agama Islam yang dikumandangkan oleh Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam, beliau sebenarnya pernah mendengar seruan yang hampir sama ketika beliau masih kanak-kanak. Ketika berumur dalam lingkungan 10-15 tahun, ayahnya Zaid bin ‘Amru pernah mengajaknya pergi ke Ka‘bah dan mengajarnya cara bersembahyang yang berbeza dengan cara
penyembahan berhala yang dilakukan oleh bangsa Arab ketika itu. Ayahnya
telah menjelaskan kepadanya bahawa cara bersembahyang itu adalah cara yang
diajarkan oleh Nabi Ibrahim ‘alaihissalam, bapa kepada seluruh bangsa Arab.
Ayahnya seorang lelaki bijaksana yang mengikuti agama Nabi Ibrahim ‘alaihissalam
yang lurus, menolak agama Yahudi dan Nasrani yang telah diselewengkan,
sentiasa berusaha mencari kebenaran agama yang haq. Dia membenci cara hidup
orang-orang Arab Mekah yang kotor dan keji, benci kepada perbuatan mereka yang menyembah berhala, mengubur hidup-hidup anak-anak damit perempuan dan meminum arak, dan amat resah melihat kehidupan mereka yang sangat kacau bilau kerana tidak mahu menggunakan akal fikiran mereka untuk memikirkan kebenaran dan kebaikan.

Keislaman Sa‘id bin Zaid merupakan keislaman yang didasari oleh pendidikan yang baik daripada ayahnya, akal yang cemerlang dan hati yang terang. Keislaman beliau juga sangat berhubungkait dengan keberkatan doa ayahnya yang sepanjang hidupnya mencari kebenaran kerana tidak
mempercayai agama nenek moyang mereka,hingga pada suatu ketika dia mencari kebenaran sampai ke negeri Syam dan bertemu dengan seorang rahib, lalu rahib berkenaan memberitahu bahawa nabi yang dicarinya selama ini akan lahir di bumi Arab. Namun hajatnya untuk bertemu
baginda Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam tidak kesampaian, kerana ia dibunuh oleh perompak Badwi ketika dalam perjalanan menuju ke Mekah. Walau bagaimanapun, sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, beliau
sempat berdoa:

اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ حَرَمْتَنِي مِنْ هَذَا الْخَيْرِ فَلَا تَحْرِمْ مِنْهُ اِبْنِي (سَعِيدًا)

Maksudnya:

Wahai Allah! Jika Engkau mengharamkanku dari kebaikan ini, maka janganlah Engkau mengharamkan anakku Sa‘id daripadanya.

Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah memperkenankan doa ayahnya. Ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam mengajak orang ramai memeluk agama Islam dan ketika melihat rombongan yang pertama menyambut Islam adalah tokoh-tokoh seperti Abu Bakar ash-Shiddiq, ­Thalhah bin ‘Ubaidullah, az-Zubair bin al-‘Awwam, Sa‘ad bin Abi Waqas, Abu ‘Ubaidah bin al-Jarrah dan ‘Abdurrahman bin‘Auf. Sa‘id segera menyahut seruan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam dengan penuh rasa yakin menjadi pelopor orang-orang yang beriman dengan Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan membenarkan kerasulan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam serta turut membela da‘wah baginda.

Sa‘id bin Zaid memeluk agama Islam sebelum Sayidina ‘Umar bin al- Khattab (abang kepada isterinya) dan termasuk orang yang paling awal memeluk agama Islam. Beliau memeluk agama Islam secara sembunyi- sembunyi bersama isterinya Fatimah binti al-Khattab, ketika itu beliau berumur kira-kira 20 tahun. Mereka memeluk agama Islam bukan di tangan Sayidina Abu Bakar ash-Shiddiq sebagaimana lima orang tokoh yang lain, tetapi terus melalui perjumpaan beliau dengan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam. Mereka memeluk agama Islam tanpa ragu-ragu, tidak takut dan tidak khawatir tentang akibat yang akan mereka hadapi,walaupun pada ketika itu kezaliman, penganiayaan,ancaman dan penindasan sangat berleluasa.

 

Dipetik dari Majalah al-Huda, Pusat Da’wah Islamiah.