بسم الله الرحمن الرحيم
Guru adalah pewaris ilmu dan pewaris ilmu ialah ulama’, sementara ulama’ pula adalah pewaris para nabi.
Imam at-Tirmidzi meriwayatkan Abu Umamah al-Bahili Radhiallahu ‘anhu telah berkata:
Kelebihan orang alim (ulama’) atas ahli ibadat adalah seperti kelebihanku ke atas orang yang paling rendah di antara kamu. Kemudian Baginda bersabda lagi: “ Sesungguhnya para malaikat dan penduduk langit dan bumi sehinggakan semut dalam lubangnya berserta ikan berselawat (berdo’a) untuk orang-orang yang mengajar kebaikan kepada manusia.”
(Terjemahan Makna Hadits Hasan Shahih Gharib Riwayat Imam at-Tirmidzi)
Dalam Islam, mengajarkan ilmu yang bermanfaat itu adalah suatu amalan yang dipandang tinggi dan sangat mulia.
Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam surah an-Nahl ayat 43 :
فَسۡئَلُوٓاْ أَهۡلَ ٱلذِّكۡرِ إِن كُنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ
Terjemahan Makna Ayat:
“…Maka bertanyalah kepada orang-orang yang mempunyai pengetahuan (mengenai kitab-kitab Allah) jika benar kamu tidak mengetahui.”
أَهۡلَ ٱلذِّكۡر bermaksud orang-orang yang mengetahui tentang Kitab-Kitab Allah. Ayat ini menjadi dalil bahawa orang-orang yang tidak mengetahui sesuatu perkara hendaklah bertany kepada orang-orang yang mengetahuinya.
Sesuai dengan ketinggian darjat dan martabat guru itu, maka tidak hairanlah bahawa para ulama’ sangat menghormati guru mereka. Di antara cara mereka memperlihatkan penghormatan mereka terhadap guru ialah:
1. Mereka merendahkan diri terhadap ilmu dan guru dan sentiasa menurut perintah serta nasihat guru.
2. Sentiasa meminta pandangan guru dalam setiap urusan mereka.
3. Mentaati setiap arahan serta bimbingan guru.
4. Sentiasa berkhidmat untuk guru-guru mereka dengan mengharapkan balasan pahala serta kemuliaan di sisi Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan khidmat tersebut.
5. Memandang guru dengan perasaan penuh hormat dan takzim serta mempercayai kesempurnaan keahlian dan kepakarannya dalam bidang perguruannya.
6. Sentiasa mendampingi guru supaya mendapat berkat serta menjadikannya qudwah (ikutan).
7. Tidak menggunakan ganti nama diri seperti ‘engkau’ dan ‘awak’ dan tidak memanggil atau meneriaki guru dari jauh. Mereka memanggil guru dengan gelaran yang penuh adab serta penghormatan misalnya : Syeikh, ustaz, cikgu dan sebagainya.
8. Mereka tidak sekali-kali berbantah-bantah atau berlawan cakap dengan guru.
9. Berterima kasih kepada guru atas segala tunjuk ajar serta bimbingannya terhadap segala kebajikan dan tegahan serta tegurannya.
10. Jika mereka berhajat kepada guru di luar waktu mengajar sedangkan guru tersebut sedang berehat ataupun tidur, maka guru itu tidak akan diganggu. Mereka akan menunggu sehingga guru tersebut terjaga daripada tidur ataupun selesai daripada berehat.
11. Memastikan diri mereka dalam keadaan yang sempurna dengan tubuh badan dan pakaian yang bersih.
12. Mereka tidak meminta daripada guru untuk mengajar di waktu yang menyukarkan baginya. Begitu juga ketika guru itu sedang letih, dukacita, mengantuk dan sebagainya.
13. Apabila mereka duduk di hadapan guru ketika belajar, mereka duduk dengan penuh tawadhu’, khusyu’ dan tenang. Memandang guru ketika dia bercakap dengan penuh perhatian. Sesungguhnya ulama-ulama salaf sangat memuliakan majlis-majlis ilmu. Mereka duduk diam dengan penuh rasa hormat dan takzim terhadap guru mereka dan tidak bercakap kecuali ketika menjawap soalan guru mereka.
14. Mereka juga tidak menyandarkan tangan mahupun badan pada dinding dan seumpamanya ketika kehadiran guru dan tidak sekali-kali membelakanginya. Mereka juga mengurangkan percakapan tanpa keperluan dan tidak ketawa terbahak-bahak ketika kehadiran guru.
15. Sentiasa menjaga sopan santun ketika bercakap dengan guru dan tidak menggunakan Bahasa yang boleh menyinggung perasaannya dan tidak memutus percakapannya apatah lagi di waktu guru sedang mengajar kecuali diizinkan untuk bercakap oleh guru tersebut.
16. Mereka tidak malu bertanya jika ada kemusykilan mengenai sesuatu yang diajar dan apabila bertanya, mereka akan menjelaskan persoalan mereka itu dengan terang dan jelas.
17. Jika guru mereka marah, maka merekalah yang akan terlebih dahulu meminta maaf.
18. Mereka sentiasa mendoakan kesejahteraan guru sama ada semasa hayatnya atau sesudah matinya atas jasa serta segala pengorbanan yang telah dicurahkannya kerana jasa-jasa pewaris para nabi yang tidak ternilai ini tidak akan dapat dibalas.
(Petikan dari buku Irsyad Hukum, 2006, Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri).