Latar Belakang
Nama sebenar Imam al-Bukhari adalah Muhammad bin Ismail
al-Bukhari. Juga diberi gelaran Amirul Mukminin fil Hadits. Beliau dilahirkan
pada 13 Syawwal 194H di bandar Bukhara, di bahagian timur negeri Uzbekistan.
Bapanya meninggal dunia semasa beliau masih kanak-kanak dan ibunya membesarkan
beliau bersendirian. Ibunya memelihara
dan mendidiknya dengan penuh ihsan serta berkorban untuk memberikan
pendidikan yang terbaik kepada beliau.
Semasa kecil lagi, nilai intelek Imam al-Bukhari telah
terserlah. Beliau amat warak dan mempunyai daya ingatan yang luar biasa serta
mempunyai kesungguhan dalam pelajarannya. Diriwayatkan bahawa ketika di dalam
belasan tahun, beliau sudah menghafal 70,000 hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam.
Pengajian Hadits
Ketika berumur 16 tahun, Imam al-Bukhari pergi ke Makkah
bersama ibunya untuk menunaikan haji. Imam al-Bukhari terlalu seronok berada di
Makkah sehinggakan beliau memanjangkan tempoh lawatan di Makkah untuk
membolehkan beliau berguru dengan cendekiawan di Makkah. Pada umur 18 tahun ,
Imam al-Bukhari menerbitkan bukunya yang pertama mengenai sahabat-sahabat
Rasulullah Shallallahu ‘alaih wa sallam dan selepas itu buku sejarah bertajuk
“At-Tarikhal-Kabir.”
Imam al-Bukhari amat meminati sejarah dan hadits-hadits
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam dan menumpukan banyak tenaga bertemu
dan belajar dengan cendekiawan yang terulung untuk mempelajari dan membahaskan
hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam. Imam al-Bukhari melawat
Damsyik, Kaherah, Baghdad, Basra, Madinah dan tempat-tempat lain untuk belajar
dan membincangkan hadits-hadits yang dipelajari. Semasa di Baghdad, Imam
al-Bukhari selalu berbincang dengan Imam Ahmad Hanbal, pengasas (mazhab)
Hanbali.
Semasa pengemberaannya, Imam al-Bukhari hanya mempunyai satu
matlamat mengumpulkan seberapa banyak ilmu yang mungkin boleh dikumpul untuk
membolehkan beliau membuat pengumpulan Sunnah hadits Rasulullah Shallallahu
‘alaih wa sallam yang terbesar. Beliau begitu giat menulis, dan pada satu
ketika beliau berkata, “Saya sudah menulis mengenai 1800 orang, setiap satunya
meriwayatkan hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam dan saya hanya
menulis mengenai mereka yang lulus ujian yang ditetapkan.”
Imam al-Bukhari mempunyai ingatan yang mengkagumkan dan
sumbangannya terhadap sains pengumpulan hadits tidak dapat ditandingi. Beliau
merakamkan hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaih wa sallam dalam buku “Al-Jami’
ash-Shahih.” Dia membuat penyelidikan selama 16 tahun dan meneliti 600,000 buah
hadits sebelum memilih 7,525 buah hadits yang beliau berpuas hati dan menepati
takrif kesahihan yang beliau tetapkan.
Diusir dari Bukhara
Oleh sebab kemasyhuran Imam al-Bukhari menyebabkan timbulnya
perasaan iri hati di kalangan beberapa orang ulama’ yang akhirnya mengakibatkan
beliau diusir dari bumi Bukhara oleh pemerintahnya.
Beliau meninggal dalam buangan pada malam ‘Idulfitri dalam
tahun 256H bersamaan 1 September 870 di Khartank dekat Samarkand. Makam Imam
al-Bukhari terletak 12 kilometer di utara Samarkand.
Karya Imam al-Bukhari
·
Al-Jami’ ash-Shahih
al-Musnad min Hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam wa Sunanihi wa
Aiyamihi (Shahih Bukhari).
·
Al-Adab al-Mufrad
·
At-Tarikh al-Kabir
·
At-Tarikh ash-Shagir
·
At-Tarikh al-Ausath
·
At-Tafsir al-Kabir
·
Kitab al-Wahdan
·
Kitab al-Mabsuth
·
Kitab al-Habah
·
Kitab al-Kuni
·
Kitab al-Fawa’id
Petikan daripada Majalah al-Huda, Pusat Da'wah Islamiah 1445H/2023M