Bila Allah Subhanahu wa Ta’ala
memberi kita harta dan rezeki yang lebih ia bukanlah untuk kita mewah
berbelanja, tetapi untuk kita lebih memberi. Ini kerana dalam setiap rezeki
atau harta yang kita perolehi itu terdapat juga hak orang lain. Oleh itu, kita
tidak boleh membelanjakannya sesuka hati atau sewenang-wenangnya walaupun kita
memperolehinya melalui usaha keras.
Perlu diingat bahawa harta yang
kita miliki sebenarnya bukanlah milik kita sepenuhnya bukanlah milik tetapi
adalah milik Allah Subhanahu wa Ta’ala yang mutlak. Harta dan rezeki yang kita
miliki merupakan amanah daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada kita yang
harus digunakan dengan sebaik-baiknya.
Harta dan rezeki yang diperolehi
bukan hanya digunakan untuk kepentingan diri kita tetapi ia boleh dimanfaatkan
atau diinfaqkan ke jalan yang diredhai Allah iaitu dengan cara bersedekah,
menderma, mengeluarkan zakat atau waqaf. Di dalam Islam kita amat digalakkan
untuk bersedekah dan membantu hamba Allah yang lain. Anjuran membelanjakan
harta di jalan Allah ada dijelaskan dalam al-Qur’an sepertimana firmanNya dalam
Surah al-Munafiqun ayat 10:
﴿وَأَنفِقُواْ مِن مَّا رَزَقۡنَٰكُم مِّن قَبۡلِ أَن يَأۡتِيَ
أَحَدَكُمُ ٱلۡمَوۡتُ فَيَقُولَ رَبِّ لَوۡلَآ أَخَّرۡتَنِيٓ إِلَىٰٓ أَجَلٖ
قَرِيبٖ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُن مِّنَ ٱلصَّٰلِحِينَ١٠﴾
“Dan
belanjakanlah sebahagian daripada rezeki yang Kami kurniakan kepada kamu
sebelum kematian datang kepada salah seorang daripada kamu lalu dia pun
berkata. “Ya Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau tangguhkan kematianku
hingga beberapa waktu lagi supaya aku dapat bersedekah dan aku termasuk dalam
golongan orang-orang salih.”
Sesungguhnya
Allah Subhanahu wa Ta’ala suka kepada orang-orang
yang membelanjakan hartanya bagi membantu orang yang miskin, disedekahkan
kepada orang yang memerlukannya atau dibelanjakan bagi kepentingan Islam. Hal
ini dijelaskan dalam firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah al-Baqarah
ayat 195:
﴿وَأَنفِقُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا تُلۡقُواْ
بِأَيۡدِيكُمۡ إِلَى ٱلتَّهۡلُكَةِ وَأَحۡسِنُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِينَ١٩٥﴾
“Dan
belanjakanlah (harta yang ada pada kamu) pada jalan Allah dan janganlah kamu
sengaja menjerumuskan diri kamu sendiri ke dalam kebinasaan. Dan berbuat
baiklah kamu kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat
kebaikan.”
Sebenarnya
infaq atau membelanjakan harta dengan bersedekah, menderma mengeluarkan zakat
atau waqaf bukan sahaja dapat membantu golongan fakir miskin dan membantu orang
yang memerlukan, bahkan ia juga dapat membantu diri kita sendiri. Melalui
amalan infaq ini dapat melatih jiwa seseorang itu untuk menjadi orang yang
belas kasihan, berkasih saying, jauh dari bersifat pentingkan diri sendiri dan
sebagainya. Amalan infaq ini boleh mengelakkan kita daripada sifat kedekut,
bakhil dan tamak. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah al-Baqarah ayat
272:
﴿۞ ... وَمَا تُنفِقُواْ مِنۡ خَيۡرٖ فَلِأَنفُسِكُمۡۚ وَمَا
تُنفِقُونَ إِلَّا ٱبۡتِغَآءَ وَجۡهِ ٱللَّهِۚ وَمَا تُنفِقُواْ مِنۡ خَيۡرٖ
يُوَفَّ إِلَيۡكُمۡ وَأَنتُمۡ لَا تُظۡلَمُونَ٢٧٢﴾
“Dan apa jua harta yang
kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (pahalanya) untuk diri kamu sendiri.
Dan kamu tidak pula membelanjakan (sesuatu) melainkan kerana mengharapkan keredhaan
Allah. Dan apa jua harta yang kamu belanjakan, akan disempurnakan (ganjaran
pahalanya) kepada kamu. Dan kamu pula tidak dianiaya (tidak dikurangkan
pahala).”
Adapun
berinfaq adalah sebagai tanda syukur dan ni’mat, rezeki yang dikurniakan Allah
Subhanahu wa Ta’ala kepada kita. Ia juga merupakan salah satu cara untuk
mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala sepertimana dijelaskan dalam
surah at-Taubah ayat 99:
﴿.... إِنَّهَا قُرۡبَةٞ لَّهُمۡۚ سَيُدۡخِلُهُمُ ٱللَّهُ فِي
رَحۡمَتِهِۦٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٞ رَّحِيمٞ ٩٩﴾
“Ketahuilah
sesungguhnya apa yang mereka belanjakan itu ialah suatu jalan yang mendekatkan
mereka kepada Allah. Allah akan memasukkan mereka ke dalam rahmatNya (syurga).
Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih.”
Amalan
membelanjakan harta di jalan Allah adalah termasuk kategori jihad di jalan
Allah yang akan membawa keuntungan pahala berlipat ganda. Ini kerana amalan
infaq merupakan suatu perjuangan membasmi kemiskinan, kefakiran dan kedhaifan
umat Islam. Amalan infaq di jalan Allah ini mempunyai darjat yang tinggi dan
mendapat balasan yang sangat besar di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala antaranya:
·
Dibalas Berlipat Ganda
Sebesar
apa pun harta yang kita belanjakan di jalan Allah tidak akan mengurangi harta,
malah Allah Subhanahu wa Ta’ala akan menggantikan dan menambah hartanya dengan
berlipat ganda. Jaminan Allah dijelaskan dalam surah al-Baqarah ayat 261:
﴿مَّثَلُ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ
أَمۡوَٰلَهُمۡ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنۢبَتَتۡ سَبۡعَ سَنَابِلَ
فِي كُلِّ سُنۢبُلَةٖ مِّاْئَةُ حَبَّةٖۗ وَٱللَّهُ يُضَٰعِفُ لِمَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ
وَٰسِعٌ عَلِيمٌ٢٦١﴾
“Perumpamaan orang-orang yang membelanjakan harta mereka pada
jalan Allah samalah seperti (menanam) sebiji benih yang menumbuhkan tujuh
tangkai, tiap-tiap satu tangkai pula mengandungi seratus biji. Dan Allah
menggandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya. Dan Allah Maha Luas
(rahmat dan limpah kurniaNya) lagi Maha Mengetahui.”
Firman
Allah Subhanahu wa Ta’ala lagi dalam surah Saba’ ayat 39:
﴿قُلۡ إِنَّ رَبِّي يَبۡسُطُ ٱلرِّزۡقَ
لِمَن يَشَآءُ مِنۡ عِبَادِهِۦ وَيَقۡدِرُ لَهُۥۚ وَمَآ أَنفَقۡتُم مِّن شَيۡءٖ
فَهُوَ يُخۡلِفُهُۥۖ وَهُوَ خَيۡرُ ٱلرَّٰزِقِينَ ٣٩﴾
Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku meluaskan kurnia
rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya antara hamba-hambaNya dan
menyempitkannya (kepada sesiapa yang dikehendakiNya), dan apa sahaja yang kamu
belanjakan (untuk kebaikan) maka Allah akan menggantikannya dan Dialah
sebaik-baik pemberi rezeki.”
Ayat di atas merupakan jaminan bahawa Allah
Subhanahu wa Ta’ala akan menggantikan setiap harta yang dibelanjakan di jalan
yang diredhaiNya. Umat Islam tidak perlu takut harta berkurang kerana infaq.
Sebaliknya berinfaqlah sebanyak mungkin kerana ganjaran infaq di jalan Allah
biarpun sedikit ianya amat besar nilainya di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Begitulah hebatnya infaq di jalan Allah, kerana Allah menjanjikan banyak
fadhilat di sebalik kedermawaan seseorang yang rajin berinfaq.
·
Salah satu tanda
Orang bertaqwa
Orang-orang yang menginfaqkan hartanya di jalan Allah
termasuk dalam golongan orang-orang yang beriman dan bertaqwa sebagaimana
firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah al-Baqarah ayat 3:
﴿ٱلَّذِينَ يُؤۡمِنُونَ بِٱلۡغَيۡبِ
وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَمِمَّا رَزَقۡنَٰهُمۡ يُنفِقُونَ٣﴾
“Iaitu orang-orang yang beriman kepada
perkara-perkara ghaib (yang tidak kelihatan oleh mereka seperti hari Kiamat,
syurga dan neraka), dan mereka mendirikan sembahyang (dengan sempurnanya) dan
membelanjakan sebahagian daripada rezeki yang Kami kurniakan kepada mereka.”
Alangkah besarnya ganjaran bagi orang-orang yang suka
membelanjakan sebahagian rezeki dan hartanya dengan hati yang ikhlas dan hanya
mengharapkan keredhaan Allah semata-mata. Orang-orang yang membelanjakan harta
mereka pada jalan Allah tanpa akan takut menjadi miskin, akan memperoleh rahmat
yang menakjubkan dalam kehidupan mereka. Yakinlah bahawa setiap harta yang
diberikan di jalan Allah itu akan beroleh pahala dan ganjaran daripada Allah Subhanahu
wa Ta’ala.
Dalam amalan berinfaq ini, kita dilarang menyebut-menyebut
atau mengungkit0ungkit sumbangan kita itu, kerana perbuatan yang demikian boleh
merosakkan amalan berinfaq sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah
al-Baqarah ayat 262:
﴿ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمۡوَٰلَهُمۡ فِي
سَبِيلِ ٱللَّهِ ثُمَّ لَا يُتۡبِعُونَ مَآ أَنفَقُواْ مَنّٗا وَلَآ أَذٗى
لَّهُمۡ أَجۡرُهُمۡ عِندَ رَبِّهِمۡ وَلَا خَوۡفٌ عَلَيۡهِمۡ وَلَا هُمۡ
يَحۡزَنُونَ٢٦٢﴾
“Orang-orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah
kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan ungkitan
dan tiada pula menyakiti (perasaan penerima), mereka beroleh pahala di sisi
Tuhan mereka dan tidaklah ada ketakutan atas mereka dan mereka pula tidak akan
berdukacita.”
Kesimpulannya, infaq adalah amalan mulia. Berinfaq dengan
penuh keikhlasan akan menjanjikan ganjaran pahala buat kita semua. Setiap
perbuatan yang baik akan dibalas dengan kebaikan. Amalan infaq ini merupakan
salah satu amalan yang dituntut untuk dihayati dalam kehidupan seharian
sebagaimana sering dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam.
Baginda amat terkenal sebagai seorang yang pemurah dan dermawan. Sesiapa sahaja
yang dating meminta pertolongan kepadanya pasti akan dibantu oleh baginda
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam.
Baginda sangat menjunjung tinggi golongan pemurah dan
dermawan yang membelanjakan hartanya kearah kebaikan. Inilah amalan mulia yang
patut dicontohi dan dihayati oleh setiap umat Islam pada hari ini. Oleh itu, janganlah
kita kedekut untuk mengeluarkan sebahagian rezeki kita untuk membantu orang
yang memerlukannya. Ingatlah dalam setiap rezeki yang kita perolehi itu
terdapat juga hak orang lain. Jadi, apalah salahnya jika berkongsi dengan orang
lain.
Marilah kita beramal dengan menghulurkan sedekah sama ada
dengan harta benda atau wang kepada yang memerlukan atau menderma wang kepada dana
anak-anak yatim agar dapat meringankan beban mereka, atau kepada tabung-tabung
masjid bagi menjaga dan memperkukuhkan lagi
tempat-tempat suci agar terus berperanan sebagai pusat kebajikan. Kita juga
boleh membantu saudara kita di Palestin yang sedang ditindas oleh
musuh-musuh mereka dengan menderma ke Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin. Semoga dengan usaha ini dapat meringankan beban yang
ditanggung oleh mereka dan mempereratkan ikatan di antara umat Islam. Dan semoga
dengan beramal sedekah ini akan menjadi saham kita di akhirat nanti dan
mendekatkan diri kita lagi dengan Ilahi.