Cabaran dan dugaan adalah
merupakan fitrah kehidupan. Tidak dinafikan kadang-kadang
kita sebagai manusia akan hilang pertimbangan dalam menghadapi pelbagai cabaran
dan dugaan yang mendatang. Namun walau sebesar
manapun dugaan hidup yang dihadapi maka kita sebagai umat Islam hendaklah menghadapinya
dengan penuh kesabaran kerana setiap
dugaan yang datang itu merupakan ujian Allah Subhanahu wa Ta’ala bagi
meningkatkan martabat seseorang di sisi-Nya.
Dalam isu kesihatan mental,
Islam sangat menitikberatkan kesihatan mental kerana perkara tersebut merupakan
asas kepada kesejahteraan seseorang individu. Untuk memiliki mental yang sihat,
seseorang individu itu memerlukan rohani yang sihat sebagai peneraju utama.
Justeru, cara untuk
mendapatkan rohani yang sihat dan hati yang tenteram adalah dengan melakukan
perkara yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dan menjauhi
perkara yang haram. Sebagai umat Islam, keperluan rohani perlulah
diisikan dengan sentiasa mengabdikan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala
di setiap saat iaitu dengan mendirikan sembahyang serta amalan-amalan yang lain yang
dianjurkan oleh Islam seperti puasa, berzikir dan sebagainya. Sesungguhnya memiliki kepercayaan dan keyakinan yang utuh
terhadap Maha Pencipta akan menjadikan seseorang itu merasa lebih tenang,
tenteram dan redha kerana adanya Allah tempat berdoa dan mengadu.
SEMBAHYANG
Sembahyang
adalah ibadat yang paling utama. Allah Subhanahu wa Ta’ala memberikan
satu jaminan kepada orang yang melakukan sembahyang dengan khusyuk dan
bersungguh-sungguh bahawa dia tidak akan terjerumus kepada perbuatan yang keji
dan mungkar. Pastinya, orang yang teguh imannya tetap saja akan meyakini
kebenaran janji Allah Subhanahu wa Ta’ala ini dan mempercayai bahawa
melalui sembahyang pasti akan dikurniakan ketenangan, jalan dan bantuan
daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Rasulullah juga menekankan bahawa orang yang
berjaya dan menang adalah mereka yang sentiasa menjaga sembahyangnya dan
sebaliknya bagi mereka yang melalaikannya. Imam at-Tirmidzi dalam kitab
jami’nya meriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu,
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
إِنَّ أَوَّلَ مَا
يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلَاتُهُ، فَإِنْ
صَلَحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ، وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَخَسِرَ
Maksudnya:
Perkara pertama yang akan dihisab pada diri
seseorang pada Hari Kiamat daripada sekalian amalnya ialah sembahyangnya. Jika sembahyangnya
baik maka dia akan berjaya dan menang, jika sembahyangnya rosak maka dia akan
rugi serta menyesal.
Sembahyang
merupakan tali penghubung antara hamba dengan Rabbnya. Dengan yang demikian,
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam menganjurkan umatnya agar memperbanyakkan
doa dalam sujud. Luahkanlah setiap permasalahan kita, merintihlah dan
berinteraksilah kepada Allah kerana pastinya Allah Subhanahu wa Ta’ala
Maha Mendengar setiap doa dan rintihan hambaNya. Malah, jumhur
ulama’ juga mengatakan bahawa, pada waktu sujud, berdoalah sebanyak-banyaknya
kerana hati kita sangat akrab atau hampir denganNya. Keadaan sujud juga dikatakan
ialah waktu yang paling dekat antara hamba dengan penciptaNya.
Imam
Muslim dalam kitab shahihnya meriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu
‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
أَقْرَبُ مَا
يَكُونُ الْعَبْدُ مِن رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ، فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ
Maksudnya:
"Sedekat-dekat
hamba kepada Tuhannya, ialah dikala hamba itu sedang sujud (dihadapan Allah),
oleh itu perbanyakkanlah doa dalam sujud."
Selain
itu, Rasulullah juga menggalakkan umatnya untuk berqiyaamullail dan
memperbanyakkan sembahyang-sembahyang sunat terutamanya pada waktu berkenaan.
Imam at-Tirmidzi dalam kitab jami’nya meriwayatkan daripada Abu Umamah,
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
عَلَيْكُمْ
بِقِيَامِ اللَّيْلِ فَإِنَّهُ دَأْبُ الصَّالِحِينَ قَبْلَكُمْ وَهُوَ قُرْبَةٌ
لَكُمْ إِلَى رَبِّكُمْ وَمَكْفَرَةٌ لِلسَّيِّئَاتِ وَمَنْهَاةٌ عَنِ الْإِثْمِ
Maksudnya :
Hendaklah
kamu berqiyaamullail (bertahajjud) kerana ia merupakan perjalanan orang shalih
sebelum kamu. Sesungguhnya qiyaamullail mendekatkan kamu kepada Allah,
menghalang melakukan dosa, kifarah di atas kejahatan dan mencegah penyakit
daripada badan.
PERBANYAKKAN
ZIKIR, ISTIGHFAR DAN MEMBACA AL-QUR’AN
Zikir juga
merupakan satu terapi rohani yang sangat besar manfaatnya. Zikir boleh didefinisikan sebagai
apa-apa yang disebut oleh lidah, sampai kepada hati, dan mendekatkan diri kita
kepada Allah. Zikir juga merupakan pujian dan sanjungan kepada Allah yang
terdiri daripada nama-nama dan sifat-sifatNya. Zikir adalah ibadah yang paling
mudah untuk dilakukan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja tanpa perlu berwudhu
dan boleh dilakukan ketika kita sedang melakukan aktiviti lain.
Ketenangan akan datang dengan berzikir secara
istiqamah atau konsisten. Justeru, memperbanyakkan
zikir antaranya mengucapkan tasbih (سُبْحَانَ
الله), tahmid (اَلْحَمْدُلله), takbir (اللهُ
أكْبَر), tahlil (لَا
إِلَٰهَ إِلَّا الله), istighfar (أَسْتَغْفِرُالله) dan lain-lain adalah satu kaedah untuk melahirkan jiwa yang
sihat selain mampu
menghilangkan kerisauan, memberikan
ketenangan dan ketenteraman hati kepada pengamalnya. Amalan ini amat
dititikberatkan oleh baginda Rasulullah Shalllallahu ‘alaihi wa sallam sebagaimana
yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi dalam kitab jami’nya, daripada Abu ad-Darda’,
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam dalam sabdanya :
أَلَا أُنَبِّئُكُمْ بِخَيْرِ أعْمَالِكُم، وَأَزْكَاها عِنْدَ مَلِيكِكُم، وأرْفَعِهَا فِي دَرَجَاتِكُمْ، وخير لكم من إنْفَاق الذهب والفضة، وخير لكم من أن تَلْقَوا عَدُوَّكُمْ فَتَضْرِبُوا أعْنَاقَهُمْ ويَضْرِبوا أعْنَاقَكُم؟» قالوا: بلى، قال: ذكر الله -تعالى
Maksudnya:
Mahukah kamu aku khabarkan akan
suatu amal kebajikan yang paling
baik bagi kamu, paling meningkatkan kedudukan kamu,
paling disenangi oleh
Tuhanmu, bahkan lebih baik daripada menafkahkan emas
dan perak dan lebih
mulia daripada perang dengan musuh kamu, baik ketika
kamu kalah atau ketika
kamu menang? Jawab mereka: "Mahu, wahai
Rasulullah". Sabda Baginda:
“Berzikirlah kepada Allah”.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam mengajar kita
supaya sentiasa bermunajat, berdoa dan memohon kepada yang Maha Esa ketika
senang atau susah agar bantuan Allah Subhanahu wa Ta’ala itu sentiasa
ada bersama kita. Kita hendaklah
sentiasa memohon kepada Allah dan meletakkan segala pergantungan kepadaNya
termasuklah mengadukan hal, meminta perlindungan dan keselamatan daripadaNya.
Sesungguhnya hanya kepada Allah jualah tempat hambaNya bergantung dan berserah
sepenuhnya kerana Allah adalah sebaik-baik tempat bersandar.
Imam al-Bukhari
dalam kitab shahihnya meriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallallahu
‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
إنَّ للهِ تَعَالَى مَلائِكَةً يَطُوفُونَ فِي
الطُّرُقِ يَلْتَمِسُونَ أهْلَ الذِّكْرِ ، فِإِذَا وَجَدُوا قَوْمَاً يَذْكُرُونَ
اللهَ – عَزَّ وَجَلَّ – ، تَنَادَوْا : هَلُمُّوا إِلَى حَاجَتِكُمْ ، فَيَحُفُّونَهُمْ
بِأَجْنِحَتِهِم إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا.
Maksudnya:
“Sesungguhnya Allah memiliki malaikat yang
berkeliling di jalan mencari orang yang berzikir. Apabila mereka bertemu
kelompok orang yang berzikir kepada Allah, mereka pun saling memanggil:
Kemarilah kepada apa yang kamu hajatkan. Maka para malaikat menaungi mereka
dengan membentangkan sayap-sayap mereka sehingga ke langit dunia.”
Terdapat
pelbagai zikir yang boleh diamalkan yang berkait dengan konteks kesihatan
mental. Antaranya Imam Abu Daud dalam kitab sunannya meriwayatkan daripada Anas
bin Malik Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam
bersabda:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ،
وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ
Maksudnya:
Ya
Allah, aku berlindung denganMu daripada penyakit sopak, gila (al-junun), kusta,
dan penyakit-penyakit yang buruk.
Selain
itu, Rasulullah juga menyarankan umatnya agar memperbanyakkan istighfar. Istighfar
adalah salah satu bentuk zikir yang mempunyai pelbagai manfaat. Imam Abu Daud
dalam kitab sunannya meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma,
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
مَنْ لَزِمَ الِاسْتِغْفَارَ جَعَلَ اللَّهُ لَهُ مِنْ كُلِّ
ضِيقٍ مَخْرَجًا وَمِنْ كُلِّ هَمٍّ فَرَجًا وَرَزَقَهُ مِنْ حَيْثُ لَا
يَحْتَسِبُ
Maksudnya:
Sesiapa yang melazimi (sentiasa) istighfar, Allah Subhanahu
wa Ta’ala akan menjadikan untuknya bagi setiap kesempitan itu jalan keluar, dan
daripada setiap kebimbangannya itu kelapangan dan dikurniakan kepadanya rezeki
daripada sumber yang tidak disangka-sangka.
Antara kaedah memiliki hati yang
tenang juga adalah dengan membaca, memahami, menghayati isi kandungan al-Qur’an.
Setiap huruf yang dibaca akan diberi
balasan satu kebaikan. Setiap kebaikan dilipatkan menjadi sepuluh sebagaimana
yang diterangkan dalam hadits tentang keutamaan membaca al-Qur’an yang lazim
kita dengar adalah hadits yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi dalam kitab
sunannya daripada ‘Abdullah Ibnu Mas‘ud, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa
sallam bersabda:
مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ، وَالحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا، لَا أَقُولُ الم حَرْفٌ، وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلَامٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ
Maksudnya:
Siapa
saja membaca satu huruf dari Kitabullah (Al-Qur’an), maka dia akan mendapat
satu kebaikan. Sedangkan satu kebaikan dilipatkan kepada sepuluh semisalnya.
Aku tidak mengatakan alif lam miim satu huruf. Akan tetapi, alif satu huruf,
lam satu huruf, dan mim satu huruf.
BERSANGKA
BAIK KEPADA ALLAH
Setiap hambaNya yang beriman
hendaklah redha menerima kehendak dan ketentuan Allah Subhanahu wa Ta’ala
dan yakin bahawa dugaan tersebut memiliki hikmah yang besar. Hendaklah bersabar menghadapinya tanpa keluh
kesah malahan yakin bahawa ia adalah rahmat dariNya yang memberi peluang kepada
seseorang untuk membersihkan diri dari dosa.
Imam Abu Daud dalam kitab
sunannya meriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu Nabi
Muhammad Shallallahu ‘anhu wa sallam mengajar umatnya agar bersangka
baik dengan Allah Subhanahu wa Ta’ala yang merupakan salah satu daripada
bentuk pemikiran positif :
إنّ حُسْنَ الظَّنِّ بِاللهِ تَعَالَى مِن
حُسْنِ الْعِبَادَة
Maksudnya :
Sesungguhnya
berprasangka baik kepada Allah bahagian dari ibadah kepada Allah.
Begitu juga, kita hendaklah sentiasa positif dan
bersangka baik kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala kerana setiap kesulitan
itu pasti ada solusinya. Bagi umat Islam, mereka ada kekuatan akidah,
iaitu keimanan kepada qadha’ dan qadar. Kita juga hendaklah percaya
bahawa setiap ujian Allah itu telah ditetapkan menurut kemampuan hamba-Nya. Apa-apa pun perkara yang menimpa kita, Insya Allah
ia akan menjadi kebaikan kalau dihadapi dengan sikap positif dan ikhtiar yang
diikuti dengan doa yang berterusan.
Jelas bagi umat Islam, Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wa sallam telah menggariskan panduan yang cukup bermakna. Justeru, jadikanlah setiap keresahan dan kegundahan hati sebagai
isyarat untuk kita lebih memperbanyakkan amalan,zikir, istighfar dan
memperbaiki hubungan kita dengan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Semoga apapun
dugaan yang kita hadapi itu akan lebih memantapkan hubungan kita dengan Maha
Pencipta, Allah Subhanahu wa Ta’ala. Aamin Ya Rabbal ‘aalamiin.