Siapakah al-Fatih? Baginda adalah
Sultan Muhammad al-Fatih, seorang khalifah kerajaan Uthmaniyyah ke-7 yang telah
membuka kota Konstantinopel. Menurut riwayat, baginda adalah seorang belia
pencinta ilmu yang sangat kuat peribadinya, berani, bijak serta sentiasa tawadhu’
dan kuat beribadat.
Kehebatannya terserlah dengan
menguasai pelbagai ilmu dalam beberapa bidang antaranya seperti ketenteraan,
sains, kejuruteraan, falsafah dan Matematik. Selain itu baginda dapat menguasai
pelbagai Bahasa seperti Bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki dan Farsi.
Baginda sentiasa menjadikan al-Qur’an dan as-Sunnah sebagai pegangan dan
panduan teguh dalam mengatur strategi pentadbiran. Sultan Muhammad al-Fatih
menjadikan Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa Sallam sebagai ikon dan tempat
rujukan yang paling disanjungi. Akhirnya di bawah kepimpinan baginda, Kota
Konstantinopel telah berjaya ditawan oleh kerajaan Islam pada masa itu.
Kehebatan baginda diakui oleh ahli sejarah barat sehingga baginda digelar
sebagai “Grand Seigneur” iaitu pemimpin agung.
Selain daripada peribadi
Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa Sallam, inilah juga contoh seorang belia,
pemimpin yang patut dicontohi oleh belia muslim pada masa ini. Lebih-lebih lagi
dengan kepesatan era globalisasi kini sentiasa mencabar dan kadangnya
menjejaskan kualiti akhlak dan peribadi manusia.
Oleh yang demikian, para belia
Islam hendaklah menyediakan benteng dengan meletakkan Islam sebagai cara hidup
iaitu dalam cara berfikir dan bertindak. Para belia hendaklah meletakkan aqidah
dan Syariah sebagai landasan, berakhlak mulia serta sentiasa menjaga halal dan
haram dalam setiap tindakan. Percayalah, dengan teras kehidupan Islam, para
belia in sha Allah akan dapat menyelamatkan diri mereka dari terpesong ke lembah
kemungkaran dan seterusnya masa depan negara akan dipimpin oleh pencinta ugama,
bangsa dan negara.
Justeru itu, marilah sama-sama
menghayati ciri-ciri tokoh-tokoh Islam terdahulu khasnya dalam membentuk masa
depan generasi belia. Jadilah belia al-Fatih yang akan sentiasa memberi
sumbangan kepada ugama Islam dan seterusnya contoh yang dihormati dan disegani
oleh masyarakat dunia.