­

Monday, May 19, 2025

SURAH ASY-SYARH

 

Surah asy-Syarh adalah surah ke-94 surah Makkiyah dan mempunyai 8 ayat.

Asy-syarh bermaksud berlapang dada. Surah ini dinamakan asy-Syarh kerana pada permulaan surah ini menjelaskan salah satu daripada ni'mat yang dikurniakan oleh Allah kepada Nabi Muhammad Shallallahu 'alaih wa sallam iaitu melapangkan dada baginda dan memeliharanya daripada dosa dan ma'siat serta diterangi dengan hidayat, iman dan hikmah. Nama lain bagi surah ini ialah surah al Insyirah dan surah Alam Nasyrah.

Kandungan Surah Secara Umum:

Dalam surah ini Allah menjelaskan tiga daripada ni’mat yang dikurniakan oleh Allah kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam:
1)      Melapangkan dada baginda dengan hikmah dan iman.
2)      Memeliharanya daripada dosa dan ma’siat.
3)      Mengangkat kedudukan dan status baginda di dunia dan di akhirat.

Penjelasan ini bertujuan untuk menenangkan hati Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam yang sering menerima ancaman daripada kaumnya dan seterusnya memberi semangat kepada baginda untuk meneruskan usaha menyebarkan da’wah Islam. Allah menjanjikan bahawa setiap kesusahan dan kepayahan yang baginda hadapi pasti ada kemudahan dan segala kepayahan dan kesusahan itu akan berubah menjadi senang. Justera Allah memerintahkan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam supaya terus-menerus beribadat, berdoa dan berserah diri kepada Allah kerana kepadaNyalah sahaja seseorang itu patut berharap dan berserah diri.

Surah ini mengandungi pengajaran supaya manusia terus membuat amal salih walaupun menghadapi rintangan dan cabaran. Manusia juga mestilah mengharapkan redha Allah dan memohon segala hajat hanya kepadaNya.
 
 


Thursday, May 08, 2025

Peristiwa Perletakan Semula Hajar al-Aswad

 


Ketika Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam berusia 35 tahun, Kota Makkah telah dilanda banjir besar hingga meruntuhkan Ka'bah. Para Qabilah Arab berpakat untuk menyumbangkan tenaga mereka bersama kaumnya untuk membina semula Ka’bah.

Perselisihan faham dan pertelingkahan berlaku selama beberapa hari hingga hampir tercetus untuk menentukan siapa yang lebih berhak meletakkan Hajar al-Aswad ke tempat asalnya.

Sebagai penyelesaian, mereka sebulat suara menyetujui cadangan Abu Ummaiyah al-Mahzumi untuk melantik orang yang pertama memasuki pintu bani Syaibah menjadi hakim. Telah ditakdirkan orang yang pertama memasuki pintu itu ialah Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wa sallam dan di situlah baginda mendapat gelaran al-Amin yang bermaksud orang yang dipercayai.

Dengan kebijaksanaan Rasulullah, baginda menghamparkan kain serbannya lalu meletakkan Hajar al-Aswad di atasnya. Baginda pun memanggil setiap seorang ketua Qabilah yang hadir untuk memegang setiap penjuru kain tersebut dan mengangkatnya bersama-sama menghampiri Ka'bah. Akhirnya baginda mengambil Hajar al-Aswad itu dan meletakkannya di tempat asalnya.

 

Petikan daripada Majalah Auladuna, Pusat Da’wah Islamiah

Saturday, May 03, 2025

HADAPI TEKANAN KERJA BERLANDASKAN AJARAN ISLAM



Dugaan datang dalam pelbagai cara, tidak kira tempat dan masa. Ini termasuklah di tempat kita bekerja yang sering menyebabkan kita berhadapan dengan situasi yang boleh memberikan impak negatif kepada fizikal, emosi dan mental seandainya tidak ditadbir dan dikawal dengan cara yang tepat. Jika kita bijak mengawalnya, maka akan lebih meningkatkan tahap produktiviti kerja dan motivasi, tetapi jika tidak sebaliknya akan memberi impak negatif bukan sahaja kepada institusi tempat kita bekerja malahan juga kepada diri sendiri dan keluarga.

Tekanan di tempat kerja berpunca daripada pelbagai faktor:

·         Persekitaran pekerjaan memberi desakan dan tekanan tertentu yang merangsang tindak balas individu secara mental dan fizikal.

·         Tugas yang terlalu banyak

·         Hubungan dengan rakan sekerja yang tidak baik

·         Ketua yang tidak sudi mendengar masalah dan

·         Suasana kerja yang tidak selesa adalah contoh persekitaran kerja yang memberi tekanan negatif.

Banyak implikasi negatif berlaku apabila seseorang tidak dapat mengawal tekanan dalam menjalankan tugasnya. Antaranya ialah:

·         Menjadikan diri panas baran, murung, gelisah, lesu, sentiasa rasa bersalah, ketakutan dan hilang tumpuan sehingga ada yang memilih jalan singkat dalam mengatasi tekanan ini.

·         Ini setentunya akan menimbulkan  pula masalah disiplin  di tempat kerja sekaligus akan melepaskan tekanan di rumah dengan mendera keluarga dan yang mengerikan lagi ada pula yang sanggup membunuh diri.

Sebagai seorang muslim, kita perlu sedar bahawa banyak kaedah terbaik dalam menangani tekanan kerja iaitu dengan berpegang erat kepada ajaran dan syari’at Islam. Islam menggalakkan seseorang yang menghadapi tekanan dan kesusahan agar sentiasa bersabar, tenang, bersikap rasional dan yakin dengan ketentuan Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan memberikan panduan terbaik dalam menanganinya sebagaimana firmanNya dalam surah al-Baqarah ayat 155 mafhumnya:

“Dan sesungguhnya Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan dan kekurangan harta benda dan jiwa dan buah-buahan (kerana Kami hendak melihat sama ada kamu sabar atau tidak atas ujian itu). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.”

Kehidupan manusia akan selalu diuji Allah Subhanahu wa Ta’ala. Kita perlu meletakkan keyakinan bahawa ujian seperti tekanan kerja sebegini adalah bertujuan untuk memantapkan keimanan, ketaqwaan, kesyukuran dan rasa cinta kita kepadaNya. Apabila kita yakin, dengan izin Allah, segala permasalahan yang membelenggu diri akan terungkai dan kita akan Berjaya menghadapi tekanan dengan tenang.

Banyak kaedah menghadapi tekanan kerja berlandaskan ajaran Islam yang cukup berkesan untuk diamalkan. Antaranya ialah :

·         Dengan mendirikan sembahyang fardhu lima waktu dan dilengkapkan dengan amalan sembahyang-sembahyang sunat yang pelbagai, seseorang itu akan diberikan pertolongan Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam sebarang kesukaran termasuklah diberikan ketenangan dalam menjalani kehidupan seharian.

·         Amalan berzikir, beristighfar dan sebagainya merupakan amalan yang mampu menenangkan jiwa. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah ar-Ra’d ayat 28, mafhumnya:

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka tenteram dengan zikrullah (mengingat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ).” Ketahuilah dengan zikrullah itu hati menjadi tenteram.”

Selain berzikir, mengamalkan, mendengar, membaca  dan menghayati al-Qur’an juga amat berkesan dalam meredakan tekanan sepertimana dalam surah al-Israa’ ayat 82 mafhumnya:

“Dan Kami menurunkan daripada al-Qur’an suatu penawar (bagi penyakit rohani dan jasmani) dan rahmat bagi orang-orang yang beriman, dan al-Qur’an itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim (orang-orang kafir) selain kerugian.”

Membaca al-Qur’an sendiri memberikan ketenangan kepada pembacanya malah kepada sesiapa yang mendengarkannya apatah lagi jika ayat-ayat Akkah itu difahami, dihayati dan dijadikan panduan dalam kehidupan. Ini kerana al-Qur’an merupakan sumber teragung dalam merungkai segala permasalahan.

Seringkali berdoa, memohon keampunan dan menyerahkan segala apa yang telah diusahakan dalam mengatasi tekanan diri kepada kententuanNya. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah Ghafir ayat 60 mafhumnya:

“Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kepadaKu nescaya Aku memperkenankan doa kamu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri daripada beribadat kepadaKu akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”

Akhir sekali, jika telah  bersungguh-sungguh cuba mengatasi tekanan kerja, mengikut saluran dan kaedah yang tepat, perlulah kita bertawakkal dan ikhlas menerima segala ketentuanNya. Semoga segala apa yang diusahakan dalam melakukan pekerjaan seharian akan diberkati oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.

 

Petikan daripada Majalah al-Huda, Pusat Da’wah Islamiah, 2021