Mush’ab bin Umair lahir dari sebuah keluarga Bani Abdu Dar yang kaya raya. Beliau diberi gelaran dengan Safir Al-Islam (duta besar islam), Mush’ab Al-khair (orang baik) dan Mush’ab Al-Qari’ (penghafal al-Qur’an).
Ayah
beliau bernama Umair bin Hasyim bin Abdu Manaf bin Abdu Dar, yang memiliki
kedudukan yang tinggi dan juga salah seorang hartawan dikalangan kaumnya.
Manakala ibunya bernama Khannash binti Malik, seorang wanita kaya raya yang
mendidik anak-anaknya dengan sebaik-baik pendidikan, memberi mereka pakaian
yang paling indah dan mahal.
Beliau
ialah seorang sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam yang merupakan
seorang remaja Quraisy terkemuka, paling tampan, paling teguh pendiriannya dan
penuh dengan semangat.
Disebabkan
beliau memiliki tempat tersendiri di hati ibunya, ibunya sangat marah mendengar
beliau memeluk agama Islam. Beliau dikurung dan dipenjara oleh ibunya. Beliau
mencari muslihat dan berjaya mengaburi ibu dan penjaga-penjaganya, lalu beliau
pergi ke Habsyi dan tinggal bersama saudara-saudara kaum muslimin.
Ketika
beliau tampil di hadapan beberapa orang muslim yang sedang duduk di sekeliling
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam, mereka menundukkan kepala dan
memejamkan mata, sedih melihat keadaan beliau yang memakai jubah usang
bertampal-tampal.
Beliau
meninggalkan kemewahan dan kesenangan yang dinikmatinya serta memilih hidup
miskin dan sengsara. Dengan menggunakan pakaian yang kasar dan usang, sehari
makan dan beberapa hari menderita lapar. Tetapi jiwanya dihiasi aqidah dan
kecemerlangan menjadikan beliau manusia yang dihormati, berwibawa dan disegani.
Beliau
menjadi duta utusan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam ke Madinah untuk mengajar selok-belok agama Islam kepada orang Ansar
di Bukit Aqabah.
Ketika Perang Badar, saudara beliau yang
masih musyrik, Abu Aziz bin Umair, dapat ditawan oleh tentera Islam dan Mush’ab
tetap menganggapnya sebagai musuh.
Dalam Perang Uhud pula, beliau ditugaskan
untuk memegang bendera kaum muslimin sedangkan sebelah tangannya memegang
pedang, tangan kanan beliau ditetak oleh salah seorang tentera musyrikin
sehingga putus. Dengan segera, beliau memegang bendera Islam dengan tangan kirinya
kerana tidak mahu bendera tersebut jatuh ke tanah melainkan berkibar dengan
megah. Tidak lama kemudian, tangan kirinya pula ditetak oleh pedang musuh.
Namun, beliau dengan tabah cuba menahan bendera Islam tersebut pada dadanya.
Ketika itu juga panah-panah para musuh bertubi-tubi datang ke arahnya dan
akhirnya gugurlah beliau sebagai syuhada.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam
bersedih melihat keadaan jasad beliau. Tidak sehelai kain pun menutupinya
selain sehelai burdah. Andainya diletakkan di atas kepalanya, terdedahlah di
bahagian kakinya. Dan akhirnya jasad beliau ditutup dengan rumput idzkhir
(rumput yang mendatangkan bau harum di atas kubur) di bahagian kaki manakala di
bahagian kepalanya ditutup dengan sehelai burdah.
[Petikan
daripada Majalah Muslimin, Januari 2017M, terbitan Pusat Da’wah Islamiah]