Monday, December 01, 2008

Khutbah Kelebihan Ibadah Korban

KELEBIHAN IBADAT KORBAN

Muslimin yang dirahmati Allah,

MARILAH kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Pada ketika ini para jemaah haji dari seluruh pelusuk dunia sedang berhimpun di Tanah Suci Mekah untuk melaksanakan ibadah haji. Sebagaimana yang kita maklumi, ibadah haji adalah rukun Islam kelima yang diwajibkan bagi mereka yang berkemampuan mengerjakannya.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Ali 'Imran ayat 96-97 tafsirnya :
"Sesungguhnya rumah ibadah yang mula-mula dibina untuk manusia (ibadah kepada Tuhan-Nya) ialah Baitullah di Mekah yang berkah dan dijadikan petunjuk hidayah bagi umat manusia. Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata yang menunjukkan kemuliannya di antaranya ialah maqam Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur ingkarkan kewajipan ibadat haji itu, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya, tidak berhajatkan sesuatu pun dari sekalian makhluk".

Ahli jumaat yang berbahagia,

Salah satu amal ibadah yang disunatkan pada musim haji ialah ibadah korban. Waktu penyembelihannya bermula sebaik-baik saja selesai menunaikan sembahyang sunat Aidiladha sehingga terbenam matahari pada hari tasyrik 13 Zulhijjah.

Sesungguhnya ibadah korban itu hukumnya sunat muakkadah iaitu sunat yang sangat dituntut, lebih-lebih lagi kepada orang yang berkemampuan yang telah dilimpahi rezeki kepada mereka. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya :
"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu, sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Barangsiapa yang mempunyai kelapangan (mampu) untuk berkorban tetapi dia tidak berkorban, maka janganlah dia datang mendekati tempat kami bersembahyang ini". (Riwayat Ibnu Majah)

Muslimin yang berbahagia,
Adapun sejarah korban itu bermula pada zaman Nabi Adam Alaihissalam lagi, sebagaimana yang telah diceritakan dalam Surah Al Maa-idah ayat 27 tafsirnya :
"Dan bacakanlah wahai Muhammad kepada mereka kisah mengenai dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya iaitu ketika mereka berdua mempersembahnya satu persembahan korban untuk mendampingkan diri kepada Allah. Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil) dan tidak diterima korban daripada yang lain (Qabil)".

Mengenai persembahan korban Habil dan Qabil itu, ahli tafsir mengatakan bahawa pasangan kembar Kabil yang lahir bersamanya bernama Iqlimia adalah seorang perempuan yang cantik manakala pasangan kembar Habil bernama Layuza merupakan seorang perempuan yang kurang cantik. Sudah menjadi syariat Nabi Adam Alaihissalam untuk mengahwinkan anak perempuan dengan anak lelaki dari kandungan yang berlainan.

Qabil merasa iri hati dengan saudaranya Habil kerana mendapat perempuan yang cantik dan demi untuk kepentingan dirinya, dia ingin mengahwini pasangan kembarnya Iqlimia. Meskipun bapanya berharap agar dia mengikut perintahnya dengan mengahwini Layuza, namun dia enggan mematuhinya. Lalu mereka pun membuat perundingan dan masing-masing bersetuju untuk menyembahkan korban.

Korban Qabil berupa hasil tanaman yang rosak dan Habil pula berkorban dengan seekor kibasy yang sihat dan gemuk. Lalu Allah Subhanahu Wata'ala menerima korban Habil. Ahli tafsir mengatakan bahawa kibasy itu diangkat ke Syurga sehingga Allah Subhanahu Wata'ala menebus Nabi Ismail Alaihissalam dengan kibasy tersebut.

Dalam sejarah lain juga menceritakan bagaimana Abdul Mutalib telah bernazar bahawa jika dia dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata'ala dengan sepuluh orang anak nescaya dia akan menyembelih salah seorang daripada anak-anaknya sebagai korban. Apabila saja Abdul Mutalib dikurniakan dengan sepuluh orang anak, maka Abdul Mutalib pun memenuhi nazarnya dengan melakukan undian ke atas anak-anaknya untuk dijadikan korban. Hasil undian tersebut jatuh kepada anaknya yang bernama Abdullah iaitu ayahanda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Tetapi orang-orang Quraisy menghalang penyembelihan dilakukan ke atas Abdullah kerana mereka khuatir perbuatan itu akan menjadi ikutan yang berterusan. Akhirnya setelah memikirkannya, Abdul Mutalib bersetuju menebus Abdullah dengan seratus ekor unta untuk dijadikan korban.

Sesungguhnya ibadah korban disyariatkan oleh agama Islam bermula pada tahun kedua hijrah dan korban yang hanya dibolehkan ialah binatang ternakan seperti unta, lembu, kerbau dan kambing.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Islam mensyariatkan ibadah korban itu sebagai salah satu cara mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala, sebagaimana yang sering kita ikrarkan dalam sembahyang : "Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah untuk berbakti kepada Allah Subhanahu Wata'ala". Ibadah korban juga adalah sebagai melahirkan rasa syukur kepada Allah Subhanahu Wata'ala di atas segala nikmat dan rezeki yang telah diberikan-Nya.
Manakala di antara hikmat dari pensyariatan ibadah korban itu pula ialah :

Pertama : Untuk mengekalkan ingatan kita kepada kisah Nabi Ibrahim Alaihissalam yang sanggup menyembelih puteranya Nabi Ismail Alaihissalam sebagai korban, akan tetapi Allah menggantikannya dengan seekor kibasy. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah daripada Zaid bin Arqam, dia berkata : Para sahabat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bertanya, wahai Rasulullah, apakah yang ada pada korban itu? Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menjawab dengan sabdanya maksudnya :
"Ia adalah sunnah bapa kamu Ibrahim. Mereka bertanya lagi : Apa yang akan kami perolehi daripadanya wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab : Bagi setiap helai rambut ada kebajikannya. Mereka bertanya lagi : Bagaimana pula dengan bulunya wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab : Bagi setiap helai bulu ada kebajikannya".

Kedua : Melatih dan membentuk kaum Muslimin supaya sanggup berkorban sebahagian rezeki dan nikmat kurniaan Allah demi kepentingan orang lain.

Ketiga : Memupuk sikap pemeduliaan dan prihatin terhadap masyarakat iaitu dengan mengagihkan sebahagian daging korban itu sebagai makanan atau meluaskan rezeki orang-orang fakir miskin sempena Hari Raya Aidiladha.

Keempat : Menyemai dan menanamkan sifat terpuji dan nilai-nilai murni ke dalam diri dengan meneladani kesabaran Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail Alaihissalam dan sifat keduanya yang mengutamakan ketaatan dan rasa cinta kepada Allah Subhanahu Wata'ala.

Muslimin yang berbahagia,

Memandangkan ibadah korban itu mempunyai hikmah dan kelebihan yang amat banyak, maka sudah sewajarnyalah kita merebut peluang ini dengan melakukan korban pada hari raya itu nanti. Sama-samalah kita berdoa semoga dimurahkan rezeki dan dapat melakukan ibadah korban. Mudah-mudahan segala amal kebajikan yang kita lakukan di atas dasar keikhlasan dan keimanan itu akan diterima Allah Subhanahu Wata'ala dan mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda. Amin Ya Rabbal'alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Hajj ayat 37 tafsirnya :
"Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah. Tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu. Demikianlah ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira dengan balasan yang sebaik-baiknya kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya".

-FATWA MUFTI KERAJAAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM-

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan