Wednesday, December 03, 2008

Penyembelihan; Syariat ( FATWA MUFTI KERAJAAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM)

Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

Kedatangan agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah rahmat kepada manusia, binatang, tumbuh-tumbuhan bahkan rahmat kepada sekalian yang wujud di alam ini. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

Tafsirnya: "Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi sekalian alam."
(Surah Al-Anbiyâ’: 107)


Cara Islam mengatur hubungan manusia sesama manusia, malah juga hubungan manusia dengan binatang dan seluruh alam ini, adalah bukti kerahmatan itu. Ini termasuklah cara melakukan penyembelihan binatang. Islam telah memberi garis pandu yang lengkap bagaimana untuk melakukannya.
Di antaranya sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam dari Abu Ya’la Syaddad Ibnu Aus Radhiallahu ‘anhu :

"Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat ihsan ke atas tiap-tiap sesuatu, maka apabila kamu membunuh elokkanlah pembunuhan itu, dan apabila kamu menyembelih maka elokkanlah penyembelihan itu, dan hendaklah salah seorang kamu menajamkan pisaunya dan hendaklah dia menyelesakan binatang sembelihannya."
(Hadits riwayat Muslim)

Menyembelih binatang dengan aturan yang telah ditetapkan oleh hukum syara‘ adalah satu jalan yang boleh menghalalkan daging binatang itu halal dimakan di samping memenuhi syarat-syarat yang lain. Hal ini digambarkan dalam firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:Tafsirnya:

"Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas berhala; dan (diharamkan juga) kamu menengok nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasiq."
(Surah Al-Ma’idah: 3)


Sekalipun disyariatkan demikian, namun ada juga suara-suara yang cuba mempertikaikan ketentuan hukum tersebut untuk meragukan keyakinan dan kefahaman kita dalam hal penyembelihan ini. Antaranya mereka mengatakan penyembelihan yang biasa dilakukan oleh orang Islam adalah suatu kezaliman terhadap binatang. Mereka berpendapat binatang tersebut perlu dipengsankan terlebih dahulu sebelum disembelih. Benarkah cara yang biasa kita lakukan iaitu tanpa memengsankan binatang sembelihan itu suatu kezaliman?

Islam telah menentukan rukun-rukun dan syarat-syarat sembelihan itu sebagaimana huraiannya yang berikut:
Rukun menyembelih itu ada empat:

1. Penyembelih
2. Binatang yang disembelih
3. Alat untuk meyembelih
4. Penyembelihan (perbuatan menyembelih)


Setiap rukun-rukun ini, mempunyai syarat-syaratnya yang tertentu.

1. Penyembelih

Syarat penyembelih itu hendaklah seorang Islam atau ahli kitab (yang memenuhi syarat hakiki orang ahli kitab sebagaimana yang disebutkan oleh ulama-ulama Asy-Syafi‘eyah).
Tiada halal sembelihan orang Majusi (penyembah api), penyembah berhala, orang murtad dan lain-lain daripada orang kafir yang tiada mempunyai kitab agama Allah.

2. Binatang yang disembelih

Syarat binatang yang disembelih itu ialah:
(i) Binatang darat yang halal dimakan.
(ii) Zhan (sangkaan) terhadap binatang, bahawa ada padanya hayah mustaqirrah pada permulaan penyembelihan kecuali binatang yang sakit.
Adapun binatang yang sakit atau kehausan tidak disyaratkan ada padanya hayah mustaqirrah ketika menyembelihnya, memadai sahaja padanya harakah mazbuh ketika menyembelihnya. Tetapi tidak halal jika binatang yang hendak disembelih yang nyawanya pada ketika itu di peringkat harakah mazbuh disebabkan oleh memakan tumbuh-tumbuhan yang membawa kepada maut, pukulan, hentakan dan seumpamanya daripada sebab-sebab yang boleh membawa kepada maut. Demikian yang dijelaskan dalam kitab-kitab Al-Majmu‘, Fath Al-‘Alam dan I’anat At-Thalibin.
Adapun yang dimaksudkan dengan hayah mustaqirrah itu ialah keadaan binatang yang masih bernyawa dan melihat dan bersuara serta bergerak dengan kehendaknya, dan di antara tanda-tandanya ialah pergerakan yang kuat, pancutan darah, suara rengekan kerongkong dan yang seumpamanya selepas disembelih. Manakala yang dimaksudkan dengan harakah mazbuh ialah keadaan binatang yang tiada lagi ada padanya penglihatan, pergerakan, suara dengan kehendaknya atau keadaan binatang yang apabila dibiarkan dengan keadaannya yang sedemikian itu, ia akan mati dengan serta merta.

3. Alat untuk menyembelih

Disyaratkan alat untuk menyembelih itu sesuatu yang boleh memotong dengan ketajamannya selain kuku, gigi dan semua jenis tulang. Maka tidak halal binatang yang disembelih menggunakan tiga jenis alat. Ini berdasarkan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam dari Rafi’ ibnu khadij Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: "Apa-apa yang dapat mengalirkan darah serta disebut nama Allah padanya (waktu menyembelih), maka boleh kamu makan, kecuali gigi dan kuku, dan aku akan khabarkan kepada kamu sedemikian itu, (kerana) gigi adalah tulang dan kuku adalah pisau orang Habsyah."(Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)

4. Penyembelihan

Disyaratkan penyembelihan itu:
(i) Memotong seluruh halqum (saluran nafas) dan seluruh mari` (saluran makanan dan minuman).
(ii) Niat untuk menyembelih ketika melakukan penyembelihan. Jika seseorang memegang pisau di tangannya dan terlepas pisau itu daripada tangannya, lalu terkena leher binatang dan terputus seluruh halqum dan mari`nya, tidaklah dikira sebagai penyembelihan, kerana tidak ada niat untuk melakukan penyembelihan, maka tidak halal memakan daging binatang tersebut.
(iii) Hendaklah binatang itu mati semata-mata disebabkan oleh penyembelihan (tidak dilakukan satu perbuatan lain yang boleh membawa maut kepada binatang itu ketika disembelih).
Apabila telah cukup segala rukun-rukun dan syarat-syarat penyembelihan yang tersebut, maka halal binatang itu kecuali sembelihan yang dimaksudkan kepada selain Allah atau disebutkan sewaktu menyembelihnya selain nama Allah, walaupun sembelihan itu mencukupi segala rukun-rukun dan syarat-syarat yang telah disebutkan.
Dasar perintah ini ialah firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

Tafsirnya: "Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas kamu (memakan) bangkai, darah, daging babi, dan apa yang disembelih dengan menyebut selain nama Allah."
(Surah Al-Nahl: 115)


Berdasarkan kepada rukun yang kedua (binatang yang disembelih) dan syarat-syaratnya, maka melemahkan atau memengsankan binatang yang hendak disembelih dengan cara seperti bius, stunning, kejutan elektrik yang tidak membawa kepada maut dan ada padanya hayah mustaqirrah ketika disembelih, adalah harus pada hukum syara’.

Penggunaan cara bius, stunning atau kejutan elektrik itu hendaklah disahkan dan diperakui oleh orang Islam yang adil yang pakar atau yang ahli dalam hal ini, bahawa binatang-binatang yang hendak di sembelih itu masih dalam keadaan hayah mustaqirrah, dan tidak menyebabkan penyeksaan terhadap binatang tersebut. Jika perkara melemahkan atau memengsankan binatang itu akan menyeksa binatang tersebut, maka perbuatan yang sedemikian itu adalah haram, kerana Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam melaknat kepada sesiapa yang melakukan penyeksaan kepada binatang sama ada untuk tujuan menyembelihnya atau pun bukan. Pernah pada satu masa Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma melihat sekumpulan orang melontar seekor ayam yang sengaja ditambatkan lalu ia berkata:

Maksudnya: "Sesiapa yang melakukan perkara ini (menyeksa binatang), sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam melaknat sesiapa melakukan perkara ini."
(Hadits riwayat Muslim)


Adapun hukum daging binatang yang diseksa itu, jika ia mati disebabkan oleh seksaan tersebut atau disembelih ketika nyawanya diperingkat harakah mazbuh, maka ia dihukumkan bangkai, manakala jika ia tidak mati kerana seksaan dan ada (zhan) sangkaan padanya hayah mustaqirrah melalui salah satu tandanya seperti pergerakan yang kuat, pancutan darah dan sebagainya selepas disembelih maka dagingnya itu halal dimakan.
Begitulah sikap agama Islam terhadap binatang yang hendak disembelih, dilakukan dengan penuh ihsan sebagaimana hadis yang tersebut di atas yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat ihsan ke atas tiap-tiap sesuatu, maka apabila kamu membunuh maka elokkanlah pembunuhan itu, dan apabila kamu menyembelih maka elokkanlah penyembelihan itu, dan hendaklah salah seorang kamu menajamkan pisaunya dan hendaklah dia menyelesakan kepada binatang sembelihannya".
(Hadits riwayat Muslim)


Bahkan ada lagi etika penyembelihan yang amat elok diikuti (disunatkan melakukannya) yang termasuk dalam pengertian ihsan yang disebutkan di dalam hadis tersebut:
(i) Memalingkan binatang sembelihannya dan orang yang menyembelih ke kiblat, serta membaca Bismillah serta selawat dan salam kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi Wasallam ketika menyembelih.
(ii) Mempercepatkan pemotongan halqum dan mari` ketika menyembelih.
(iii) Mengiringi binatang sembelihan ke tempat penyembelihan dengan lembut (selayaknya).
(iv) Memberi minum binatang sembelihan itu sebelum disembelih.
(v) Menajamkan pisau tidak diperlihatkan di hadapannya, dan ianya tidak disembelih di hadapan binatang-binatang yang lain.
(vi) Memotong wadajan (dua urat darah yang di leher), kerana ia cepat membawa kepada kematian binatang itu.
(vii) Jika sudah disembelih binatang itu, tidak segera dilapah dagingnya kecuali setelah ia sampai benar-benar mati dan sejuk tubuhnya.
Pada dasarnya agama Islam mengecam segala bentuk kezaliman, sekalipun terhadap binatang. Sebagai contoh seorang perempuan dimasukkan ke dalam neraka semata-mata menyeksa seekor kucing sepertimana yang terdapat diceritakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dari Abdullah Radhiallahu ‘anhu katanya, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda:

Maksudnya: "Seorang wanita diseksa pada hari kiamat lantaran dia mengurung seekor kucing sehingga kucing itu mati, kerana itu Allah memasukkannya ke neraka, oleh sebab kucing itu dikurungnya tanpa diberi makan dan minum dan tidak pula dilepaskannya supaya ia dapat menangkap serangga-serangga yang terdapat di bumi."
(Hadits riwayat Muslim
)

Sebaliknya seorang itu telah diberi ganjaran pengampunan kerana memberi minum seekor anjing yang kehausan sebagaimana hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu katanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda:

Maksudnya: "Pada suatu ketika, ada seorang laki-laki sedang berjalan melalui sebatang jalan, lalu dia merasa sangat kehausan, kebetulan dia menemukan sebuah telaga, maka dia turun ke telaga itu untuk minum. Setelah keluar dari telaga, dia melihat seekor anjing menjulurkan lidahnya menjilat-jilat tanah kerana kehausan. Orang itu berkata dalam hatinya: "Alangkah hausnya anjing ini, seperti yang baru kualami" lalu dia turun kembali ke telaga, diceduknya air dengan sepatunya, dibawanya ke atas dan diminumkannya kepada anjing itu. Maka Allah berterima kasih kepada orang itu (diterimaNya amalnya) dan diampuniNya dosanya. Para sahabat bertanya: "Ya Rasulullah! Dapat pahalakah kami menyayangi haiwan-haiwan ini?" Jawab (Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam): "Menyayangi setiap makhluk hidup itu berpahala."
(Hadits riwayat Muslim)


Lain-lain kezaliman yang dicela oleh Islam sebagaimana yang ditunjukkan oleh sebuah hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda:

Maksudnya: "Seekor semut menggigit seorang Nabi di antara para nabi-nabi, lalu Nabi tersebut menyuruh membakar sarang semut itu, lalu dibakarlah. Maka Allah mewahyukan kepadanya: "Hanya seekor semut yang menggigitmu, lalu engkau musnahkan umat yang selalu membaca tasbih."
(Hadits riwayat Muslim)


Demikian sikap Islam terhadap penyembelihan binatang dan kezaliman. Kedua-duanya sangat berbeza.
Jika kita mengikuti penyembelihan yang disyariatkan oleh Islam dan mengikut adab-adab yang telah dianjurkannya terhadap binatang sembelihan, maka itu sudah jelas bahawa ia menepati akan maksud berbuat ihsan kepada binatang. Adalah belum pasti bahawa melemahkan binatang dengan menggunakan bius atau lain-lain cara yang diamalkan oleh Barat itu lebih menepati apa yang dikehendaki oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam.
Tidak terdapat sebarang arahan syara’ menyuruh binatang-binatang itu dilemahkan atau dipengsankan terlebih dahulu dan kemudian barulah menyembelihnya. Sekiranya melemahkan atau memengsankan itu ialah cara yang dibuat atau dikehendaki oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam, nescaya sudah barang tentu ada hadis Baginda menyebut begitu, atau setidak-tidaknya perkhabaran daripada para sahabat yang telah menyaksikannya daripada Baginda.
Sebenarnya perbuatan menyembelih ini adalah bukan perkara akal semata-mata. Jika ianya telah mengikut kehendak syara’, maka kezaliman tidak lagi berbangkit. Inilah bahaya jika akal digunakan tanpa timbangan syara’, kerana berpandukan akal semata-mata itulah orang-orang jahil dan musuh-musuh Islam telah menohmah hudud undang-undang Islam sebagai kejam, ganas dan tidak sesuai dengan masa. Mereka mempertikaikan hukum potong tangan kerana mencuri, rejam dan sebat kerana zina, hukum bunuh balas bunuh (qishash) dan lain-lain tohmah yang diasaskan semata-mata kepada akal yang dangkal.
Orang-orang seperti itu langsung tidak memahami apa itu syara’, apatah lagi untuk memikirkan disebalik hukum syara’ itu ada hikmah atau rahsia yang tidak boleh dikesan dan dianalisa oleh akal seratus peratus. Firman Allah Ta’ala:

Tafsirnya: "Dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit."
(Surah Al-Isrâ’: 85)


Umat Islam hendaklah berwaspada terhadap segala tohmahan-tohmahan yang dilemparkan kepada umat Islam yang kebanyakannya bukan sahaja bertujuan memberi keraguan dan gambaran yang buruk kepada penganut selain Islam, malah memberi keraguan kepada umat Islam sendiri, lebih-lebih lagi jika tohmahan itu datang daripada musuh-musuh Islam yang berselindung di bawah pertubuhan-pertubuhan yang kononnya berdasarkan kepada memperjuangan hak-hak asasi manusia atau hak asasi binatang.
Sebenarnya apabila musuh-musuh Islam itu membuat kecaman terhadap Islam dan umat Islam atas nama hak-hak, maka yang sebenarnya kecaman itu adalah sebagai merealisasikan permusuhan mereka yang panjang dan lama terhadap Islam, kerana itu Allah telah memperingatkan awal-awal lagi akan bahaya orang-orang kafir itu melalui firmanNya:

Tafsirnya: "Orang-orang Yahudi dan Nashrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)." Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu."
(Surah Al-Baqarah: 120)

FirmanNya lagi:

Tafsirnya: "Sesungguhnya kamu dapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik."
(Surah Al-Mâ’idah: 82)


Walau bagaimanapun, orang-orang Islam hendaklah mencerminkan dan menggambarkan sesuatu yang terbaik kepada penganut-penganut agama yang lain, kerana dengan penampilan yang baik itu adalah merupakan salah satu cara dakwah yang akan menjinakkan hati orang-orang yang benar-benar mahu mencari kebenaran, semoga Allah akan memberi hidayat kepada mereka, sesuai dengan firmanNya:

Tafsirnya: "Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab itu beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasiq."
(Surah Ali ‘Imrân: 110)

Monday, December 01, 2008

Khutbah Kelebihan Ibadah Korban

KELEBIHAN IBADAT KORBAN

Muslimin yang dirahmati Allah,

MARILAH kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Pada ketika ini para jemaah haji dari seluruh pelusuk dunia sedang berhimpun di Tanah Suci Mekah untuk melaksanakan ibadah haji. Sebagaimana yang kita maklumi, ibadah haji adalah rukun Islam kelima yang diwajibkan bagi mereka yang berkemampuan mengerjakannya.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Ali 'Imran ayat 96-97 tafsirnya :
"Sesungguhnya rumah ibadah yang mula-mula dibina untuk manusia (ibadah kepada Tuhan-Nya) ialah Baitullah di Mekah yang berkah dan dijadikan petunjuk hidayah bagi umat manusia. Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata yang menunjukkan kemuliannya di antaranya ialah maqam Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur ingkarkan kewajipan ibadat haji itu, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya, tidak berhajatkan sesuatu pun dari sekalian makhluk".

Ahli jumaat yang berbahagia,

Salah satu amal ibadah yang disunatkan pada musim haji ialah ibadah korban. Waktu penyembelihannya bermula sebaik-baik saja selesai menunaikan sembahyang sunat Aidiladha sehingga terbenam matahari pada hari tasyrik 13 Zulhijjah.

Sesungguhnya ibadah korban itu hukumnya sunat muakkadah iaitu sunat yang sangat dituntut, lebih-lebih lagi kepada orang yang berkemampuan yang telah dilimpahi rezeki kepada mereka. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya :
"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu, sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Barangsiapa yang mempunyai kelapangan (mampu) untuk berkorban tetapi dia tidak berkorban, maka janganlah dia datang mendekati tempat kami bersembahyang ini". (Riwayat Ibnu Majah)

Muslimin yang berbahagia,
Adapun sejarah korban itu bermula pada zaman Nabi Adam Alaihissalam lagi, sebagaimana yang telah diceritakan dalam Surah Al Maa-idah ayat 27 tafsirnya :
"Dan bacakanlah wahai Muhammad kepada mereka kisah mengenai dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya iaitu ketika mereka berdua mempersembahnya satu persembahan korban untuk mendampingkan diri kepada Allah. Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil) dan tidak diterima korban daripada yang lain (Qabil)".

Mengenai persembahan korban Habil dan Qabil itu, ahli tafsir mengatakan bahawa pasangan kembar Kabil yang lahir bersamanya bernama Iqlimia adalah seorang perempuan yang cantik manakala pasangan kembar Habil bernama Layuza merupakan seorang perempuan yang kurang cantik. Sudah menjadi syariat Nabi Adam Alaihissalam untuk mengahwinkan anak perempuan dengan anak lelaki dari kandungan yang berlainan.

Qabil merasa iri hati dengan saudaranya Habil kerana mendapat perempuan yang cantik dan demi untuk kepentingan dirinya, dia ingin mengahwini pasangan kembarnya Iqlimia. Meskipun bapanya berharap agar dia mengikut perintahnya dengan mengahwini Layuza, namun dia enggan mematuhinya. Lalu mereka pun membuat perundingan dan masing-masing bersetuju untuk menyembahkan korban.

Korban Qabil berupa hasil tanaman yang rosak dan Habil pula berkorban dengan seekor kibasy yang sihat dan gemuk. Lalu Allah Subhanahu Wata'ala menerima korban Habil. Ahli tafsir mengatakan bahawa kibasy itu diangkat ke Syurga sehingga Allah Subhanahu Wata'ala menebus Nabi Ismail Alaihissalam dengan kibasy tersebut.

Dalam sejarah lain juga menceritakan bagaimana Abdul Mutalib telah bernazar bahawa jika dia dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata'ala dengan sepuluh orang anak nescaya dia akan menyembelih salah seorang daripada anak-anaknya sebagai korban. Apabila saja Abdul Mutalib dikurniakan dengan sepuluh orang anak, maka Abdul Mutalib pun memenuhi nazarnya dengan melakukan undian ke atas anak-anaknya untuk dijadikan korban. Hasil undian tersebut jatuh kepada anaknya yang bernama Abdullah iaitu ayahanda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Tetapi orang-orang Quraisy menghalang penyembelihan dilakukan ke atas Abdullah kerana mereka khuatir perbuatan itu akan menjadi ikutan yang berterusan. Akhirnya setelah memikirkannya, Abdul Mutalib bersetuju menebus Abdullah dengan seratus ekor unta untuk dijadikan korban.

Sesungguhnya ibadah korban disyariatkan oleh agama Islam bermula pada tahun kedua hijrah dan korban yang hanya dibolehkan ialah binatang ternakan seperti unta, lembu, kerbau dan kambing.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Islam mensyariatkan ibadah korban itu sebagai salah satu cara mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala, sebagaimana yang sering kita ikrarkan dalam sembahyang : "Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah untuk berbakti kepada Allah Subhanahu Wata'ala". Ibadah korban juga adalah sebagai melahirkan rasa syukur kepada Allah Subhanahu Wata'ala di atas segala nikmat dan rezeki yang telah diberikan-Nya.
Manakala di antara hikmat dari pensyariatan ibadah korban itu pula ialah :

Pertama : Untuk mengekalkan ingatan kita kepada kisah Nabi Ibrahim Alaihissalam yang sanggup menyembelih puteranya Nabi Ismail Alaihissalam sebagai korban, akan tetapi Allah menggantikannya dengan seekor kibasy. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah daripada Zaid bin Arqam, dia berkata : Para sahabat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bertanya, wahai Rasulullah, apakah yang ada pada korban itu? Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menjawab dengan sabdanya maksudnya :
"Ia adalah sunnah bapa kamu Ibrahim. Mereka bertanya lagi : Apa yang akan kami perolehi daripadanya wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab : Bagi setiap helai rambut ada kebajikannya. Mereka bertanya lagi : Bagaimana pula dengan bulunya wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab : Bagi setiap helai bulu ada kebajikannya".

Kedua : Melatih dan membentuk kaum Muslimin supaya sanggup berkorban sebahagian rezeki dan nikmat kurniaan Allah demi kepentingan orang lain.

Ketiga : Memupuk sikap pemeduliaan dan prihatin terhadap masyarakat iaitu dengan mengagihkan sebahagian daging korban itu sebagai makanan atau meluaskan rezeki orang-orang fakir miskin sempena Hari Raya Aidiladha.

Keempat : Menyemai dan menanamkan sifat terpuji dan nilai-nilai murni ke dalam diri dengan meneladani kesabaran Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail Alaihissalam dan sifat keduanya yang mengutamakan ketaatan dan rasa cinta kepada Allah Subhanahu Wata'ala.

Muslimin yang berbahagia,

Memandangkan ibadah korban itu mempunyai hikmah dan kelebihan yang amat banyak, maka sudah sewajarnyalah kita merebut peluang ini dengan melakukan korban pada hari raya itu nanti. Sama-samalah kita berdoa semoga dimurahkan rezeki dan dapat melakukan ibadah korban. Mudah-mudahan segala amal kebajikan yang kita lakukan di atas dasar keikhlasan dan keimanan itu akan diterima Allah Subhanahu Wata'ala dan mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda. Amin Ya Rabbal'alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Hajj ayat 37 tafsirnya :
"Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah. Tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu. Demikianlah ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira dengan balasan yang sebaik-baiknya kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya".

-FATWA MUFTI KERAJAAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM-