TAHUN BARU HIJRAH
Muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala apa jua larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Beberapa hari sahaja lagi kita akan melangkah ke tahun baru 1430 Hijrah. Sebagaimana kelazimannya pada setiap tahun, kita di Negara Brunei Darussalam ini akan mengadakan Majlis Sambutan Awal Tahun Hijrah, khususnya peringkat negara dan diikuti pula seterusnya oleh kementerian-kementerian serta jabatan-jabatan kerajaan dan juga pihak-pihak swasta dan orang ramai atau orang-orang persendirian dengan berbagai-bagai aktiviti-aktiviti keagamaan dan kerohanian.
Tetapi persoalannya sekarang apakah dengan mengadakan majlis sedemikian sudah mencukupi untuk mencapai maksud hijrah tersebut? Kerana yang penting ialah pengajaran dan iktibar daripada peristiwa hijrah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam itu dihayati dan dijadikan iktibar dan amalan dalam hidup kita sebagai umat Islam dan dengan cara demikian sahajalah kita menjadi umat contoh, mulia dan maju dalam semua aspek kehidupan.
Cuba kita renung peristiwa hijrah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersama para sahabat dan pengikut-pengikut Baginda dari Mekah Al-Mukarramah ke Madinah Al-Munawarah yang telah membuka lembaran sejarah yang paling agung, bukan sahaja dalam perkembangan agama Islam tetapi juga pada tamadun manusia keseluruhannya. Kerana dengan adanya hijrah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, maka terbentuklah negara Islam pertama di Madinah yang melahirkan satu umat yang bersatu padu, bersaudara, dihormati dan menjadi contoh bahkan dapat melahirkan kemakmuran yang dinikmati oleh rakyatnya secara adil dan saksama. Sementara dari segi muamalat (jualbeli) pula,� amalan riba, penipuan dan kezaliman telah diharamkan. Tetapi segala kegiatan ekonomi yang halal dan bertepatan dengan ajaran Islam dalam perdagangan dan penternakan pula adalah digalakkan.
Peristiwa hijrah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah banyak memberikan pengajaran yang amat berharga dan ianya adalah warisan yang tidak ternilai harganya untuk umat Islam dalam usaha melahirkan 'Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghafur' iaitu negara aman makmur dan mendapat keampunan serta pertolongan daripada Allah Subhanahu Wata'ala.
Antara pengajaran yang dapat diambil dari peristiwa tersebut ialah kesabaran dan ketekunan hati mempertahankan cita-cita. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah menunjukkan contoh bagaimana seharusnya kaum Muslimin mempertahankan cita-cita dan menegakkan dakwah Islamiah. Walaupun mengalami kesulitan tetapi tetap mempertahankan keyakinan, akidah dan pendirian.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Ulama telah membahagikan hijrah kepada tiga bahagian :
Pertama : Hijrah Al-Hammah iaitu hijrah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersama para sahabat dari Mekah Al-Mukarramah ke Madinah Al-Munawarah. Hijrah ini hanya berlaku sekali sahaja di dalam Islam, sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya :
"Dari Ibni Abbas Radiallahuanhuma katanya, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Tiada hijrah selepas pembukaan Mekah tetapi yang masih berterusan ialah jihad dan niat". (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)
Kedua : Hijrah Ad-Da'imah iaitu berpindah dari negara yang mengancam akidah seseorang Islam ke negara lain demi untuk menyelamatkan akidah dan keimanan serta mempertahankan agama. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah An Nisaa' ayat 97-100 tafsirnya :
"Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kafir musyrik, mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata : Apakah yang telah kamu lakukan mengenai agama kamu? Mereka menjawab : Kami dahulu ialah orang-orang yang tertindas dibumi. Malaikat bertanya lagi : Tidakkah bumi Allah itu luas yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya? Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam. Dan neraka jahanam itu ialah seburuk-buruk tempat kembali. Kecuali orang-orang yang lemah lagi uzur dari kaum lelaki dan perempuan serta kanak-kanak yang tidak berdaya upaya mencari helah untuk melepaskan diri dan tidak pula mengetahui sesuatu jalan untuk berhijrah. Maka mereka yang demikian sifatnya mudah-mudahan Allah memaafkan mereka dan ingatlah Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun. Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah untuk membela dan menegakkan Islam nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur. Dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian ia mati dalam perjalanan hijrahnya, maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah dan ingatlah Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani".
Dari tafsiran ayat tersebut menunjukkan bahawa setiap Muslim hendaklah mempunyai persediaan dari berbagai aspek seperti aspek keimanan, daya tahan dan daya juang untuk mempertahankan akidah dan agama mereka. Walaupun terpaksa berhijrah buat sementara sebagai langkah untuk mencari kekuatan dan kemantapan untuk meneruskan jihad. Islam tidak merelakan umatnya berpeluk tubuh dan berserah kepada keadaan semata-mata tetapi memerintahkan umatnya berusaha dan berikhtiar.
Perlu juga diingat, hijrah itu bukanlah bertujuan untuk melarikan diri, bukan pula perpindahan semata-mata dari satu tempat ke tempat yang lain. Tetapi berhijrah dan menjauhkan diri dari tempat yang penuh dengan kemusyrikan menuju ke tempat yang akan memancarkan cahaya kebenaran.
Manakala hijrah yang ketiga pula ialah hijrah Al-Qulub Wadhamahir iaitu hijrah hati, keimanan dan keyakinan dengan cara meningkatkan iltizam kepada Islam. Berusaha mensucikan hati, menambah keimanan, mendalami kefahaman mengenai Islam, yang dengan demikian, peningkatan ke arah keimanan, berilmu dan beramal akan terus berkembang. Inilah kemajuan yang sebenar iaitu hijrah menukar keadaan ke arah yang lebih baik dan lebih dekat kepada Allah dan merubah keadaan agar lebih beriman, berilmu dan berakhlak dengan ajaran Islam. Hijrah seperti inilah yang utama dan wajib dilakukan oleh setiap individu Muslim yang mukallaf. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Al A'laa ayat 14-15 tafsirnya :
"Sesungguhnya berjayalah orang yang setelah menerima peringatan, berusaha membersihkan diri dengan taat dan amal soleh. Dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhan-Nya serta mengerjakan sembahyang".
Oleh yang demikian, bersempena kedatangan Tahun Baru Hijrah ini marilah kita sama-sama muhasabah diri, bertaubat nasuha dan memohon keampunan kepada Allah Subhanahu Wata'ala dari segala dosa-dosa yang telah kita lakukan selama ini. Sebagai tanda kesyukuran dengan ketibaan tahun baru hijrah 1430 ini, marilah kita hadir ke masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat ibadat di negara ini pada petang hari Ahad malam Isnin 28 Disember 2008 bagi sama-sama Membaca Doa Akhir Tahun 1429 Hijrah dan Membaca Doa Awal Tahun 1430 Hijrah dengan harapan mudah-mudahan kita dapat melakukan hijrah dengan lebih baik lagi daripada tahun yang sudah dan mudah-mudahan kita semua akan dapat bekerjasama untuk membangun bangsa, agama dan negara dengan petunjuk dan rahmat daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Amin Ya Rabbal'alamin.
Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah At Taubah ayat 20 tafsirnya :
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah dan mereka itulah orang-orang yang berjaya".
(Khutbah Jumaat bertarikh: 26-12-2008
No comments:
Post a Comment
Silakan untuk sebarang pertanyaan