Monday, May 10, 2010

Nikmat Umur



Sesungguhnya Allah Subhanahu Wata'ala itu amat pengasih dan penyayang, memberikan bermacam-macam nikmat seperti nikmat kemewahan, nikmat kemudahan dan nikmat kesenangan dan bermacam-macam lagi sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah An Nahl, ayat 18 tafsirnya :

"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu, tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu : Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani".

Memang tidak siapa pun dapat menafikan bahawa nikmat Allah Subhanahu Wata'ala itu amat banyak dan kita tidak akan mampu mengiranya walaupun kita cuba menghitungnya.

Walau bagaimanapun semua kenikmatan itu tidak akan mendatangkan faedah jika kita tidak dikurniakan nikmat masa, nikmat umur, nikmat sihat, nikmat akal dan sebagainya. Akan tetapi nikmat-nikmat itulah yang selalu manusia mudah lupa dan lalai menggunakannya disebabkan keindahan dan kemewahan hidup di dunia ini.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al 'Ankabuut, ayat 64 tafsirnya :

"Dan ingatlah bahawa kehidupan dunia ini meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan : Dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya, kalaulah mereka mengetahui hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat".

Nikmat Allah Subhanahu Wata'ala memang tidak terkira dan nikmat umur salah satu nikmat yang amat penting dalam kehidupan kita kerana tanpanya kita tidak akan ada di dunia ini, dan jika nikmat umur ditarik oleh Allah Subhanahu Wata'ala, maka hilanglah peluang bersama keluarga, bersama sahabat dan masyarakat bahkan tidak ada lagi peluang untuk beramal ibadat kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Oleh itu janganlah kita persia-siakan nikmat umur selagi ada.

Sebagai tanda syukur kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala kerana mengurniakan kita umur sehingga kita hidup sampai ke hari ini, maka gunakanlah umur itu dengan sebaik-baiknya dengan mengabdikan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala, mentaati segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Dan berbaktilah kepada kedua ibu bapa, agama, raja dan masyarakat sama ada dengan harta, tenaga dan fikiran semata-mata ikhlas dengan niat mendapat keredhaan Allah Subhanahu Wata'ala.

Kita perlulah ingat, bahawa setiap permulaan ada akhirnya dan setiap yang hidup akan mati. Sesungguhnya saat kematian tiada siapa pun mengetahui tetapi yang pasti ajal tetap tiba. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al A'raaf, ayat 34 tafsirnya :

"Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh yang telah ditetapkan, maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaat pun dan tidak dapat pula mereka didahulukan".

Oleh itu sebelum tiba masanya gunakanlah nikmat yang ada untuk mengingat Allah Subhanahu Wata'ala dan melakukan amal kebajikan sebagai bekalan menuju akhirat.

Dari Abdul Rahman bin Abi Bakrah dari ayahnya, seorang lelaki telah berkata : Wahai Rasulullah, siapakah sebaik-baik manusia? Berkata? Rasulullah : Sebaik-baik manusia ialah orang yang dipanjangkan umurnya dan umur itu dipergunakan untuk berbuat kebaikan. Berkata lelaki itu lagi : Siapakah sejahat-jahat manusia? Berkata Rasulullah : Sejahat-jahat manusia ialah orang yang dipanjangkan umurnya tetapi digunakannya untuk berbuat kejahatan". (Riwayat Al-Imam At-Termizi)

Ketahuilah bahawa segala perbuatan yang kita lakukan di dunia ini akan dihakimkan di Hari Kiamat kelak. Pada ketika itu seluruh anggota menjadi saksi dan berkata-kata terhadap apa yang kita lakukan. Oleh itu hendaklah kita bersikap menyesal dahulu kerana menyesal kemudian tidak ada ertinya. Ibarat kata nasi sudah menjadi bubur.

Sebagai hamba Allah Subhanahu Wata'ala yang beriman dan percaya adanya seksa kubur dan Hari Kiamat, maka bersedialah selagi umur masih ada, dan gunakanlah sebaik-baiknya untuk mencapai kesudahan yang baik iaitu husnulkhatimah dan bukan kesudahan yang tidak baik iaitu suulkhatimah, sebagaimana yang biasa kita pohonkan dalam doa kita berbunyi:

Rabbana 'atina fid'dunia hasanah wafil akhirati hasanah waqina azaban'nar

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Faathir, ayat 37 tafsirnya :

"Dan mereka menjerit-jerit di dalam neraka itu sambil merayu : Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami dari azab ini : Kami akan mengerjakan amal-amal yang soleh, yang lain dari apa yang kami pernah kerjakan. Lalu Allah menempelak mereka, bukankah Kami telah melanjutkan umur kamu dan memberikan masa yang cukup untuk berfikir dan beringat padanya oleh sesiapa yang suka berfikir dan beringat? Dan kamu pula telah didatangi oleh rasul Kami yang memberi amaran. Oleh itu, rasalah azab seksa, kerana orang-orang yang zalim tidak akan beroleh sesiapa pun yang dapat memberikan pertolongan".

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan