Prinsip Islam Terhadap Perkahwinan
Lelaki bertangungjawab sepenuhnya terhadap isteri yang dikahwininya. Ini kerana lelaki tersebut telah ‘mengambil’ anak perempuan tersebut daripada ibu bapanya. Bermakna, perempuan tersebut telah menjadi ‘hak mutlak’ si suami. Justeru, menjadi tanggungjawab suami sepenuhnya untuk menyempurnakan segala keperluan isterinya zahir dan batin.
Tanggungjawab suami tidak terhenti setakat isterinya, malahan terhadap kepada kedua ibu bapa kepada isteri atau mentua. Suami (menantu) tidak boleh membiarkan ibu bapa mentua setelah anaknya telah diambil. Sikap tidak bertanggungjawab atau lepas tangan seolah-olah kita melakukan perkara yang sama terhadap ibu bapa sendiri.
Pendek kata, kedudukan ibu bapa sendiri dan mentua adalah sama tidak kira sama ada mentuanya beragama Islam atau tidak. Sama seperti tanggungjawab anak yang telah memeluk Islam terhadap ibu bapanya yang belum memeluk Islam.
Seperti mana Islam menetapkan bahawa setiap anak yang memeluk agama Islam wajib menghormati ibu bapanya yang tidak memeluk Islam. Begitulah juga apabila anaknya ini telah berkahwin. Hubungan dan penghormatan tetap sama, kecuali jika dipaksa melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam
Contoh, isteri saya selaku menantu kepada ibu bapa saya amat menghormati kedua ibu bapa saya walaupun agama berlainan. Begitu juga dengan saya selaku menantu kepada kedua ibu bapa isteri saya (mentua).
Pendek kata, Islam tidak membezakan martabat ibu bapa tidak kira apa juga agamanya selagi mana kedua-dua pihak tidak mempunyai niat tidak baik.
Dalam Islam tanggungjawab menantu terhadap ibubapanya sendiri dan ibubapa mentuanya adalah sama.
Hubungan Istimewa Menantu dan Mentua
Hubungan istimewa menantu dan mertua adalah sama seperti hubungan istimewa ibu bapa sendiri yakni tidak batal wuduk bila bersentuhan dan tidak boleh dikahwini. Ini bermakna, martabat mentua adalah sama seperti ibu bapa.
Tanggungjawab Menantu Lelaki dan Perempuan Mengikut Keutamaan
Menantu Lelaki
Allah Subhannahu Wata'ala
Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasalam
Ibu/Ibu Mertua
Bapa/Bapa Mertua
Isteri
Anak-anak
Lain-lain
Menantu Perempuan
Allah Subhannahu Wata'ala
Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasalam
Suami
Anak-anak
Ibu/Ibu mertua
Bapa/bapa mertua
Lain-lain
Ibu bapa mentua mesti dimuliakan seperti kita menghormati ibu bapa kita sendiri. Kalau mereka kecil hati, sama seperti kita menyinggung perasaan ibu bapa sendiri. Jika kita sayang anaknya, kenapa kita tidak sayang orang yang melahirkannya juga? ada ramai menantu kecil hati dan pendam perasaan terhadap mentua yang terlalu ambil berat tentang anaknya sehingga mengabaikan anak menantunya. Perbuatan sebegini sudah pasti bercanggah dengan tuntutan agama Islam.
Kewajipan anak lelaki, pertama kepada Allah, kedua rasul, ketiga emak dan emak mentua, keempat bapa dan bapa mentua dan kelima baru isteri. Isteri kena faham, kalau dia sayang dan melebihkan ibu bapa, itu memang wajar. Sebaliknya anak perempuan, yang pertama Allah, kedua rasul dan ketiga suami. Perasaan mentua perlu dijunjung kerana mereka berhak ke atas menantu.
Peristiwa Nabi Ibrahim dan anak menantunya perlu dijadikan teladan. Nabi Ibrahim pergi menziarahi menantunya ketika puteranya, Nabi Ismail tiada di rumah. Isteri Nabi Ismail belum pernah bertemu bapa mertuanya, Nabi Ibrahim. Apabila sampai di rumah anaknya itu, terjadilah dialog antara Nabi Ibrahim dan menantunya.
Nabi Ibrahim: Siapakah kamu?
Menantu: Aku isteri Ismail.
Nabi Ibrahim: Di manakah suamimu, Ismail?
Menantu: Dia pergi berburu.
Nabi Ibrahim: Bagaimanakah keadaan hidupmu sekeluarga?
Menantu: Oh, kami semua dalam kesempitan dan (mengeluh) tidak pernah senang dan lapang.
Nabi Ibrahim: Baiklah! Jika suamimu balik, sampaikan salamku padanya. Katakan padanya, tukar tiang pintu rumahnya (sebagai kiasan supaya menceraikan isterinya).
Menantu: Ya, baiklah.
Setelah Nabi Ismail pulang daripada berburu, isterinya terus menceritakan tentang orang tua yang telah singgah di rumah mereka.
Nabi Ismail: Adakah apa-apa yang ditanya oleh orang tua itu?
Isteri: Dia bertanya tentang keadaan hidup kita.
Nabi Ismail: Apa jawapanmu?
Isteri: Aku ceritakan kita ini orang yang susah. Hidup kita ini selalu dalam kesempitan, tidak pernah senang.
Nabi Ismail: Adakah dia berpesan apa-apa?
Isteri: Ya ada. Dia berpesan supaya aku menyampaikan salam kepadamu serta meminta kamu menukarkan tiang pintu rumahmu.
Nabi Ismail: Sebenarnya dia itu ayahku. Dia menyuruh kita berpisah. Sekarang kembalilah kau kepada keluargamu.
Ismail pun menceraikan isterinya yang suka merungut, tidak bertimbang rasa serta tidak bersyukur kepada takdir Allah SWT. Sanggup pula mendedahkan rahsia rumah tangga kepada orang luar. Tidak lama selepas itu, Nabi Ismail berkahwin lagi. Setelah sekian lama, Nabi Ibrahim datang lagi ke Makkah dengan tujuan menziarahi anak dan menantunya. Berlakulah lagi pertemuan antara mertua dan menantu yang saling tidak mengenali.
Nabi Ibrahim: Di mana suamimu?
Menantu: Dia tiada dirumah. Dia sedang memburu.
Nabi Ibrahim: Bagaimana keadaan hidupmu sekeluarga? Mudah-mudahan dalam kesenangan?
Menantu: Syukurlah kepada tuhan, kami semua dalam keadaan sejahtera, tiada apa yang kurang.
Nabi Ibrahim: Baguslah kalau begitu.
Menantu: Silalah duduk sebentar. Boleh saya hidangkan sedikit makanan.
Nabi Ibrahim: Apa pula yang ingin kamu hidangkan?
Menantu: Ada sedikit daging, tunggulah saya sediakan minuman dahulu.
Nabi Ibrahim: (Berdoa) Ya Allah! Ya Tuhanku! Berkatilah mereka dalam makan minum mereka. (Berdasarkan peristiwa ini, Rasulullah beranggapan keadaan mewah negeri Makkah adalah berkat doa Nabi Ibrahim).
Nabi Ibrahim: Baiklah, nanti apabila suamimu pulang, sampaikan salamku kepadanya. Suruhlah dia menetapkan tiang pintu rumahnya (sebagai kiasan untuk mengekalkan isteri Nabi Ismail).
Apabila Nabi Ismail pulang daripada berburu, seperti biasa dia bertanya sekiranya sesiapa datang mencarinya.
Nabi Ismail: Ada sesiapa datang semasa aku tiada di rumah?
Isteri: Ya, ada. Seorang tua yang baik rupanya dan perwatakannya sepertimu.
Nabi Ismail: Apa katanya?
Isteri: Dia bertanya tentang keadaan hidup kita.
Nabi Ismail: Apa jawapanmu?
Isteri: Aku nyatakan kepadanya hidup kita dalam keadaan baik, tiada apapun yang kurang. Aku ajak juga dia makan dan minum.
Nabi Ismail: Adakah dia berpesan apa-apa?
Isteri: Ada, dia berkirim salam buatmu dan menyuruh kamu mengekalkan tiang pintu rumahmu.
Nabi Ismail: Oh, begitu. Sebenarnya dialah ayahku. Tiang pintu yang dimaksudkannya itu ialah dirimu yang dimintanya untuk aku kekalkan.
Isteri: Alhamdulillah, syukur.
Pengajaran daripada kisah ini adalah mentua mempunyai hak untuk memberikan pandangan terhadap menantunya. Menantu sepatutnya memberikan contoh yang terbaik kepada mentua demi menjaga keharmonian rumahtangga. Suami akan lebih mengasihi isterinya, jika isterinya menyayangi ibu bapa suaminya.
Dalam usaha memenuhi tuntutan tersebut, ada beberapa perkara berikut untuk diteliti dan dilakukan oleh menantu terhadap mentua sebagai tanda penghormatan dan membalas budi mereka.
1. mentaati mentua pada segala yang diperintahnya kepada anak, kecuali perkara maksiat
2. berbicara kepada keduanya dengan adab dan lemah lembut
3. memberikan bantuan kewangan (bulanan) sebagai tanda mengambil berat
4. bangun menghormati keduanya apabila mereka datang
5. mencium tangan kedua dan memeluknya, setiap pagi dan petang dan pada setiap upacara
6. memelihara nama, kehormatan, serta harta benda mereka
7. memuliakan mereka, dan memberikan mereka yang diminta
8. bermesyuarat dengan mereka dalam urusan berkaitan
9. memperbanyakkan doa dan permohonan ampun bagi mereka
10. cuba membuat sesuatu untuk menggembirakan mereka tanpa perlu diingatkan atau ditunjukkan kepada si anak
11. tidak mengangkat suara di hadapan mereka
12. tidak cuba memotong percakapan mereka ketika mereka sedang mengatakan sesuatu
13. sentiasa meminta izin mereka jika mahu keluar rumah
14. tidak memeranjatkan mereka, ketika sedang tidur
15. tidak melebihkan isteri dan anak dari kedua mereka
16. tidak mencela mereka, jika mereka melakukan sesuatu yang tidak memuaskan
17. tidak ketawa dalam majlis mereka, jika tidak ada sebab yang menarik untuk ketawa
18. tidak memanjangkan tangan kepada makanan, sebelum mereka terlebih dahulu memulakannya
19. tidak tidur atau baring, padahal mereka masih lagi duduk kecuali jika mereka telah mengizinkan
20. tidak melunjurkan kaki di hadapan mereka
21. tidak masuk dahulu sebelum mereka atau berjalan di hadapan mereka
22. menyahut panggilan mereka serta merta, apabila mereka memanggil
23. memuliakan teman-teman mereka di waktu hayat mereka dan sesudah mereka meninggal
24. tidak berkawan dengan seorang yang tidak mematuhi kedua ibubapanya
25. memberi dan bertukar tukar hadiah ketika hari lahir mereka
26. membawa dan menemani mereka ke masjid jika diperlukan
27. mendoakan keduanya, khususnya sesudah meninggal, sebab adalah sangat berguna kepada mereka
Kesimpulan
Islam meletakkan martabat yang tinggi terhadap ibu/ibu mertua dan bapa/bapa mertua. Justeru, tanggungjawab ini tidak boleh diabaikan oleh menantu lelaki terutamanya. Mengabaikan salah seorang daripada mertua seolah-olah mengabaikan ibu bapa sendiri. Kesejahteraan rumahtangga amat bergantung kepada sejauh mana tanggungjawab menantu terhadap ibu bapa mertua. Jika tanggungjawab ini diabaikan sudah tentu si isteri akan menjadi kurang selesa disebabkan oleh ibu bapanya sendiri diabaikan oleh suaminya.
Minta izin copy & paste untuk kebaikan
ReplyDeleteassalamualaikum,
ReplyDeleteapakah hukum jika ibu mertua saya menghina saya dan memaki hamun saya kerana saya tegur isteri saya kerana tidak taat (tidak memintak izin keluar rumah & menjawab telefon) kepada saya?
adakah saya berhak memarahi dia kerana menghalalkan perbuatan derhaka kepada suami?
adakah saya berhak untuk memarahinya kerana dia telah mengalakkan isteri saya melakukan dosa?
subhanallah, terima kasih atas perkongsian. Mohon ke izinan menerbitkan sedikit cerita di blog saya
ReplyDeletehukum menantu perempuan menguruskan makan-pakai dan menyalin lampin bapa mertuanya yg sakit
ReplyDeletemohon share ya. ini pasti berguna buat para pengantin di luar sana. terima kasih
ReplyDeletemohon shara yea
ReplyDeleteSuami sya slalu bergaduh dengan ayah saya...serta tidak menghormati ibu sya...dan sya mnta supaya sya diceraikan..
ReplyDeleteSuami sya slalu bergaduh dengan ayah saya...serta tidak menghormati ibu sya...dan sya mnta supaya sya diceraikan..
ReplyDeleteAda yg kata,isteri perlu utamakan ibu&bapa mertua berbanding ibubapanya sendiri,betulke?
ReplyDeleteSalah tu
DeleteApakah hukum menantu perempuan tukar pampers bapa mertua
ReplyDelete