Rejab adalah bulan ketujuh dalam kalendar Islam. Rejab bererti kebesaran. Bulan ini merupakan bulan yg mulia dalam Islam sejak zaman jahiliyah lagi. Rejab adalah salah satu dari bulan-bulan haram yg empat. Firman Allah Ta’ala dalam Surah At-Taubah ayat 36:
إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ
Tafsirnya : Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan (Qamariah) dalam kitab (ketetapan) Allah ketika Dia menciptakan langit dan bumi, antaranya empat bulan yang dihormati (Muharam, Rejab, Zulkaedah dan Zulhijjah). Yang demikian itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka jgnlah kamu menganiaya diri kamu dlm bulan itu (dengan melanggar larangan-Nya). Dan perangilah org2 musyrik seluruhnya sabagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya. Dan ketahuilah Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.
Di dalam bulan ini kita disuruh memperbanyakkan amal ibadat, dan menjauhkan diri dari melakukan perbuatan maksiat dan kemungkaran.
Amalan puasa di dalam bulan Rejab adalah salah satu cara menambah pahala amal ibadat kita utk menjauhkan dari segala maksiat. Sesungguhnya barangsiapa yang berpuasa di dalam bulan Allah subhanahu wa ta’ala (bulan Rejab) maka ia memperolehi ganjaran dari Allah subhanahu wa ta’ala. Selain itu kita juga digalakkan membaca istighfar sebanyak-banyaknya dan melakukan ibadat-ibadat sunat yang lain.
Isra’ Mi’raj.
Peristiwa Isra’ dan Mi’raj Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam berlaku pada 27 Rejab. Peristiwa ini adalah mukjizat yang menjadi lambang keagungan dan penghormatan bagi Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam. Peristiwa-peristiwa yang dialami oleh baginda dalam perjalanan Isra’ dan Mi’rajnya memperlihatkan kekuasaan dan kebesaran Allah subhanahu wa ta’ala dan mengandungi pengajaran dan teladan kepada umat manusia. Firman Allah dalam surah al-Israa’ ayat 1:
بسم الله الرحمن الرحيم
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آَيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
Tafsirnya : ‘Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haram (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.’
Amalan di dalam bulan Rejab.
Amalan berpuasa di dalam bulan Rejab adalah salah satu cara bagi menambah pahala amal ibadat kita dan untuk menjauhkan dari segala dosa dan maksiat. Sesungguhnya barang siapa yang mendahagakan dirinya dengan berpuasa di dalam bulan Allah (bulan Rejab) ini, maka ia memperolehi ganjaran dari Allah Subhanahu Wata'ala. Sesungguhnya bulan Rejab itu adalah bulan Allah, maka barang siapa yang berpuasa satu hari dalam bulan Rejab dengan ikhlas, pasti ia akan memperolehi keredaan yang besar dari Allah Subhanahu Wata'ala.
Dalam hadits yang lain diriwayatkan daripada Mujibah al-Bahiliyyah daripada ayahnya atau bapa saudaranya berkata :
أَنَّهُ أَتَى رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ انْطَلَقَ فَأَتَاهُ بَعْدَ سَنَةٍ وَقَدْ تَغَيَّرَتْ حَالُهُ وَهَيْئَتُهُ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَمَا تَعْرِفُنِي قَالَ وَمَنْ أَنْتَ قَالَ أَنَا الْبَاهِلِيُّ الَّذِي جِئْتُكَ عَامَ الْأَوَّلِ قَالَ فَمَا غَيَّرَكَ وَقَدْ كُنْتَ حَسَنَ الْهَيْئَةِ قَالَ مَا أَكَلْتُ طَعَامًا إِلَّا بِلَيْلٍ مُنْذُ فَارَقْتُكَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِمَ عَذَّبْتَ نَفْسَكَ ثُمَّ قَالَ صُمْ شَهْرَ الصَّبْرِ وَيَوْمًا مِنْ كُلِّ شَهْرٍ قَالَ زِدْنِي فَإِنَّ بِي قُوَّةً قَالَ صُمْ يَوْمَيْنِ قَالَ زِدْنِي قَالَ صُمْ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ قَالَ زِدْنِي قَالَ صُمْ مِنْ الْحُرُمِ وَاتْرُكْ صُمْ مِنْ الْحُرُمِ وَاتْرُكْ صُمْ مِنْ الْحُرُمِ وَاتْرُكْ وَقَالَ بِأَصَابِعِهِ الثَّلَاثَةِ فَضَمَّهَا ثُمَّ أَرْسَلَهَا
(رواه أبو داود)
Maksudnya: “Sesungguhnya dia pernah mengadap Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Kemudian setelah dia pergi selepas setahun, dia mengadap pula Baginda, sedang perihal dan bentuk (badannya) sudah berubah. Lalu dia berkata: “Wahai Rasulullah! Tidakkah Tuan mengenaliku?” Baginda bersabda: “Siapa awak?” Dia berkata: “Saya adalah al-Bahili yang datang mengadap Tuan pada tahun lalu”. Baginda bersabda: “Apa yang telah membuatmu berubah, padahal engkau dahulu mempunyai bentuk (badan) yang bagus?” Dia berkata: “Saya tidak makan makanan kecuali di malam hari sejak berpisah dengan Tuan”. Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Kenapa engkau menyeksa dirimu? “ Selanjutnya baginda bersabda: “ Berpuasalah pada bulan Sabar (Ramadhan) dan sehari setiap bulan”. Dia berkata: “Tambahkan lagi untukku, sesungguhnya saya masih kuat”. Baginda bersabda: “Berpuasa lah dua hari (setiap bulan)”. Dia berkata: “Tambahkan lagi untukku”. Baginda bersabda: “Berpuasalah tiga hari (setiap bulan)”. Dia berkata: “Tambahkan lagi untukku”. Baginda bersabda: “Berpuasalah pada bulan-bulan haram ( Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab) dan tinggalkanlah! Berpuasalah pada bulan-bulan haram dan tinggalkanlah! Berpuasalah pada bulan-bulan haram dan tinggalkanlah!” Sambil Baginda bersabda itu Baginda memberi isyarat dengan tiga jari, digenggamnya keras kemudian dilepaskannya. (Hadits riwayat Abu Daud)
Di dalam bulan Rejab ini kita juga disunatkan untuk bertaubat dari segala dosa iaitu dengan memperbanyakkan beristighfar memohon keampunan kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Muzzammil ayat 20 yang tafsirnya:
"Dan mintalah ampun kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
Selain dari itu, di dalam bulan Rejab ini kita juga digalakkan untuk berdoa kepada Allah Subhanahu Wata'ala seperti mana hadits yang diriwayatkan oleh Al-Imam Ahmad daripada Anas bin Malik, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya:
"Apabila tibanya bulan Rejab, baginda mendoakan: "Ya Allah, berkatilah hidup kami di bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikan (hayat) kami kepada bulan Ramadan."
Demikianlah antara amalan-amalan yang sunat kita lakukan di bulan Rejab ini, iaitu bulan terbukanya pintu langit dan terbukanya pintu syurga. Alangkah manisnya apabila kita dapat menyatukan dan menyemarakkan bulan Rejab ini dengan amalan-amalan dan ibadat seperti sembahyang, puasa, zikir, bersedekah dan amal kebajikan yang lain. Semoga segala amalan tersebut akan menjadi pemangkin untuk mereka yang benar-benar dahagakan kebesaran dan keagungan Allah Subhanahu Wata'ala.
Pencarian hakikat Rejab sebenarnya bermula dan berakhir dengan kesucian dan keikhlasan hati. Sucikan suapan, pakaian dan perbuatan kita, insya-Allah sinar keagungan Rejab mampu menjadi milik kita secara hakikatnya.
No comments:
Post a Comment
Silakan untuk sebarang pertanyaan