Saturday, August 27, 2011

ADAB MENYAMBUT AIDILFITRI


Sekarang kita berada di penghujung bulan ramadhan yang penuh dengan rahmat dan kebajikan. Ini beerti hanya beberapa hari sahaja lagi kita akan manyambut kedatangan Aidilfitri, iaitu hari kemenangan bagi umat Islam setelah berjaya melawan hawa nafsu menunaikan ibadah puasa selama sebulan. Mudah-mudahan segala amal ibadat yang kita lakukan di sepanjang bulan ramadhan ini diterima Allah Subhanahu waTa’ala dan mendapat rahmat, keampunan dan kita semua terhindar daripada api neraka.

Pada kelaziman nya kedatangan Hari Raya akan disambut dan diraikan oleh umat Islam seluruh dunia, tidak terkecuali oleh umat Islam di negara ini. Apa yang menjadi tradisi umat Islam di Negara kita apabila menyambut Hari Raya ialah membuat bermacam-macam persiapan yang berbentuk material seperti membuat pakaian baru, juadah dan barangan rumah. Itulah yang dititikberatkan sehingga menyebabkan kesibukan apabila menjelang malam Hari Raya sehingga kita lupa perkara yang lebih afdal dilakukan ketika meraikan malam Hari Raya itu.

Sesungguhnya Islam telah menetapkan adab-adab yang sunat dilakukan bagi kita menyambut kedatangan Hari Raya antaranya:

1- Sunat melaungkan takbir sebaik sahaja diumumkan bahawa anak bulan Syawal telah sabit dilihat. Sesungguhnya laungan takbir itu bukanlah semata-mata untuk memeriahkan suasana Hari Raya sahaja, tetapi sebagai tanda syukur kita terhadap anugerah yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu wata’ala kepada hamba-hambanya. Masa memulakan takbir ialah apabila sahaja diisytiharkan nampak anak bulan hinggalah kaum muslimin pergi ke masjid-masjid dan imam naik keatas mimbar, sebagaimana Firman Allah Subhanahu wata’ala dalam surah al-Baqarah ayat 185:

وَلِتُكْمِلُوا العِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللهَ عَلى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُوْن

Tafsirnya : “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengangungkan Allah atas petunjuknya yang diberikan kepada kamu, dan supaya kamu bersyukur.”   

2- Menurut Syeikh Qulyubi di dalam Kitab Hasyiah telah menyebutkan bahawa menghidupkan malam Hari Raya dengan berzikir dan mengerjakan Sembahyang Sunat Tasbih hukumnya adalah sunat.

3- Pada pagi Hari Raya pula, sunat mandi dengan niat kerana kedatangan Aidilfitri dan bukan mandi semata-mata hanya untuk membersihkan diri.

4- Sunat memakai bau-bauan yang harum, membersihkan diri dengan bergunting rambut dan memotong kuku serta memakai pakaian yang paling elok kerana hari tersebut merupakan hari untuk berhias-hias dan berelok-elok.

5- Sunat memakan buah kurma dengan bilangan yang ganjil sebelum kemasjid bagi menunaikan Sembahyang Sunat Hari Raya, sebagaimana hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam yang bermaksud:

“Dari Anas ia berkata: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam tidak keluar pada waktu pagi Hari Raya Fitrah sehingga makan terlebih dahulu beberapa biji tamar dan berkata Murajja’ bin Raja telah diceritakan kepada Ubaidullah ia berkata: Telah menceritakan Anas dari Nabi Shallallahu ‘alaihi Wasallam: Dan baginda memakan tamar itu dalam bilangan ganjil”.

6- Menunaikan Sembahyang Sunat Hari Raya, bahkan ia adalah perkara yang paling penting dan utama dalam kita menyambut Hari Raya daripada perkara-perkara sunat yang lain, sebagaimana hadits yang maksudnya:

“Dari Al-Baraa’ ia berkata: Aku mendengar Nabi Shallallahu ‘alaihi Wasallam berkhutbah, sesungguhnya yang awal-awal sekali kita mulakan pada hari ini (Hari Raya) ialah sembahyang”.

7- Sunat doa-mendoakan dan mengucapkan tahniah diantara satu sama lain seperti mengucapkan yang maksudnya: Semoga Allah menerima daripada kita dan menerimanya daripada awak. Maksud daripada kalimah tahniah yang berbentuk doa yang diucapkan itu membawa makna semoga diterima puasa dan amal kebajikan yang dibuat di bulan ramadhan.

Begitulah indah dan telitinya agama Islam sehingga menyambut hari kegembiraan pun terdapat adab-adab dan garis panduan yang memimpin umatnya agar tidak terpesong dari tujuan sebenar sambutan diadakan iaitu sebagai melahirkan rasa syukur terhadap Allah subhanahu wata’ala. Itulah perbezaan agama Islam dengan agama-agama lain yang mengadakan sambutan hanya untuk bergembira dan bersuka ria.

Dengan berakhirnya ramadhan jangan pula kita menjadikan sebagai titik penghujung amal ibadah kita kerana amal ibadah tersebut bukan sahaja dapat dilakukan bulan ramadhan bahkan kita hendaklah mempraktikkan dan memeliharanya pada setiap masa dan ketika.

Marilah kita sama-sama meraikan hari kemenangan iaitu Hari Raya AidilFitri dengan mentaati apa yang telah diajarkan oleh agama Islam, dengan tidak mencemari sambutan AidilFitri dengan dosa dan maksiat atau perkara-perkara yang sia-sia setelah sebulan kita berpuasa. Mudah-mudahan ibadat puasa dan segala amal ibadat yang kita lakukan akan diterima oleh Allah Subhanahu wata’ala dan mudah-mudahan kita semua mendapat berkat dan rahmat serta keampunan dari Allah Subhanahu wata’ala dan seterusnya kita semua dibebaskan dari api neraka. Kita juga berdoa semoga kita diberi peluang untuk bertemu lagi dengan ramadhan yang akan datang dengan penuh rasa keimanan dan ketaqwaan. Amin Ya Rabbal ‘alamin…

Thursday, August 25, 2011

Lailatul Qadar : Lebih Baik Dari Seribu Malam


Lailatul Qadar merupakan bulan yang sangat-sangat istimewa yang hanya berlaku di bulan Ramadhan. Ia dikurniakan sebagai rahmat Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada kita. Ia merupakan malam yang terbaik hinggakan kebaikkannya jauh lebih baik dibandingkan jangkamasa seribu bulan; iaitu 83 tahun 4 bulan, hal ini telah tsabit sebagaimana  firman Allah Subhanahu wa Ta’ala  dalam Surah al-Qadr ayat 1-5 :
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ (1) وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ (2) لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ (3) تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ (4) سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ (5)  
Tafsirnya:
1-      Sesungguhnya kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam al-Qadr.
2-      Dan apakah engkau dapat mengetahui  apa dia kebesaran malam al-Qadr itu?
3-      Malam al-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan.
4-      Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan izin Tuhan mereka, untuk mengatur segala urusan.
5-      Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!

Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman bahawa Dia menurunkan Al-Quran pada malam Lailatul Qadar, iaitu malam yang dipenuhi dengan keberkatan, kemuliaan dan kesejahteraan. Allah Subhanau wa Ta’ala berfirman dalam surah ad-Dukhan ayat 3, tafsirnya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran pada suatu malam yang diberkati.”, iaitu malam yang penuh dengan keberkatan. Dan malam itu berada di bulan Ramadhan, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala : “Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan Al-Quran.” ( Al-Baqarah: 185).
Ia juga merupakan satu malam yang istimewa yang dianugerahkan oleh Allah Subhanu wa Ta’ala khas untuk umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam bagi memuliakan mereka, yang mana pemberian ini tidak pernah berlaku kepada umat-umat sebelumnya.

Sebab turun surah.
Sebab diturunkan ayat:
  1. Diriwayatkan oleh al-Imam at-Tirmizi, al-Hakim, Ibn Jarir daripada al-Hasan Ibn ‘Ali bahawa malam al-Qadr adalah lebih baika dari seribu bulan. Turunnya surah ini adalah disebabkan buruknya pemerintahan Bani Umayyah yang berlarutan selama seribu bulan. Namun begitu kedudukan hadits ini adalah gharib dan ditolak.
  2. Abu Hatim, al-Wahidi dari Mujahid meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alahi wasallam telah menceritakan kisah seorang lelaki daripada Bani Israel yang telah memakai alat senjatanya untuk berperang pada jalan Allah selama seribu bulan, maka orang Islam pun terpegun serta kagum dengan cerita tersebut lalu  Allah menurunkan surah al-Qadr.
  3. Riwayat yang lain pula dari Ali bin Aurah pada satu hari Rasulullah Shallallhu ‘alaihi wasallam telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala selama 80 tahun. Mereka sedikitpun tidak derhaka kepada Allah lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasullullah bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah Al Qadr dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan para sahabat amat gembira.
Daripada riwayat yang tersebut di atas itu, dapatlah kita ketahui bagaimana besar dan istimewanya orang yang melakukan ibadah pada malam Lailatul Qadar, iaitu satu malam yang jauh lebih baik daripada beramal 1000 bulan.

Tanda-tanda Lailatul Qadar
عن ابن عباس ، أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال في ليلة القدر: « ليلة سمحة طلقة لا حارة ولا باردة يصبح شمسها صبيحتها ضعيفة حمراء »

Maksudnya: Dari Ibnu Abbas, Rasulullah Shallallhu ‘alaihi wasallam bersabda, “Lailatul Qadar adalah malam yang penuh nyaman dan ketanangan, tidak begitu panas, juga tidak begitu dingin, matahari muncul di waktu paginya dalam suasana kemerahan yang samar-samar.” (Riwayat al-Baihaqi: 3536 dan Abu Daud al-Thayalisi: 2793) – dinyatakan Shahih oleh al-Albani

عن جابر ، قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : « إني كنت أريت ليلة القدر ، ثم نسيتها ، وهي في العشر الأواخر ، وهي طلقة بلجة لا حارة ولا باردة ، كأن فيها قمرا يفضح كواكبها لا يخرج شيطانها حتى يخرج فجرها »

Maksudnya: Dari Jabir berkata: Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya telah diperlihatkan kepadaku Lailatul Qadar, kemudian aku terlupakan darinya. Ia terjadi pada sepuluh malam yang terakhir. Ia adalah malam yang tenang, nyaman, tidak panas dan tidak dingin, seakan-akan ada bulan yang menyinari bintang-bintang, setan pada malam itu tidak akan keluar sampai waktu fajar tiba.” (Riwayat Ibn Hibban: 3758)

Sesungguhnya Allah itu Maha Pemurah, sehingga kelebihan lailatul qadar itu tetap diberikan kepada sesiapa sahaja yang mengerjakan amal ibadat sekalipun amalan yang dikerjakannya itu hanya sedikit. Oleh kerana keikhlasannya terhadap Allah Subhanahu wa Ta’ala, maka pahala dan kelebihan itu tetap diperolehinya.

Beramal hanya kerana Allah semata-mata di malam hari itu haruslah juga diteruskan di siang hari. Jadikanlah siang dan malam itu sebagai masa yang diamanahkan untuk beribadat kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Ibadat yang berterusan ini amamt memberi kesan yang nyata pada jiwa dan raga umat Islam jika diamalkan kuhususnya pada sepuluh yang akhir dalam bulan Ramadhan sama ada siang atau malamnya. Mudah-mudahan dengan adanya usaha yang gigih untuk mencapai matlamat memperolehi kelebihan lailatul qadar itu akan dipermudahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Bagi sesiapa yang tidak berdaya untuk mengerjakan amal ibadat yang banyak maka hendaklah ia beramal dan beribadat sekadar yang mampu dalam usaha mencari malam lailatul qadar. Janganlah dibiarkan malam itu berlalu begitu sahaja tanpa sebarang usaha untuk merebut peluang yang telah diberikan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
مَنْ صلَّى العشاءَ في جماعةٍ فكأَنَّمـَا قامَ نِصْفَ اللَّيْلِ ، ومَنْ صلَّى الصُّبْحَ في جماعةٍ فكأنَّمـَا صلَّى اللَّيْلَ كُلُّهُ.
                                                                                      (رواه الإمام مسلم)
Maksudny: ”Sesiapa yang bersembahyang Isyak dengan berjemaah, maka seolah-olah ia telah berdiri (bersembahyang) sebahagian malam. Dan sesiapa yang bersembahyang subuh dengan berjemaah, maka seolah-olah ia berdiri (bersembahyang) sepanjang malam.”
                                                                                                                                                (Riwayat al-Imam Muslim)





Tuesday, August 23, 2011

Lawatan Dakwah ke Melilas dan Sukang 19-20 Ogos 2011

Perjalanan menuju destinasi...

Rumah Panjang Kampong Melilas

Surau Kampong Melilas.

Sempat menunaikan sembahyang berjemaah...


Rumah 3 tingkat itulah Rumah Panjang Penghulu Mukim Sukang.


Bergambar bersama Penghulu Mukim Sukang.
Beberapa buah rumah di Kampong Sukang.




Berseberangan Kampong Sukang terdapat Rumah Panjang kaum Penan.

Beramah mesra dengan Tuai Rumah Panjang kaum Penan, Awang Luyah. Awang Luyah berusia lebih kurang 70an, bertanam padi dan budak kecil di sebelahnya adalajh salah seorang cucunya. Ustaz Abdul Aziz Hj Abdul Kahar di sebelahnya.
Our Acting Director with Tuan Haji Abas; 'orang kuat' PDI and Awang Luyah.






Berbual mesra

Pegawai dan kakitangan perempuan PDI turut menunaikan sembahyang berjemaah


Pemandangan dalam Rumah Panjang Kg Sukang.


Sebuah rumah yang dibina oleh Pusat Da'wah Islamiah beberapa tahun dulu untuk salah seorang saudara baru.

Diimamkan oleh ustaz Awg Abd Aziz bin Akop; pemangku pengarah PDI

Pondok jenerator yg menghasilkan tenaga elektrik bagi kegunaan Surau.


Subhanallah! pemandangan yg sgt indah


Rumah Panjang kaum Penan di Kampong Sukang.

Balai Ibadat Kampong Sukang.




Monday, August 22, 2011

DOA APABILA DITEMUKAN DENGAN LAILATUL QADAR

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّهَا قَالَتْ:
يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ إِنْ وَافَقْتُ لَيْلَةَ الْقَدْرِ مَا أَدْعُو قَالَ تَقُولِينَ:
اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي



Maksudnya:
Dari ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha dia bertanya kpd Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasallam yang bermaksud: “Jika aku merasa yang aku berada pd mlm Lailatul Qadar, apa doa yg mesti aku ucapkan?” Lalu baginda menjawab yg bermaksud: “Ucapkan doa..
اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

Riwayat at-Tirmizi no. 3513 dan Ibnu Majah no. 3840

Monday, August 01, 2011

PERMASALAHAN KESIHATAN DAN HUKUM PUASA BAGINYA

PENGGUNAAN INHALER BAGI PESAKIT AMPUS KETIKA BERPUASA

Jika kitani terpaksa menggunakan ubat tersebut, iaitu jika inda digunakan maka akan datang kemudharatan yang inda kan dapat kitani tahan atau tanggung, maka bolehlah kita menggunakannya pada ketika atu dan TIDAK BATAL PUASA.

Akan tetapi jika inda datang mudharat dan kesusahan yang inda dapat ditanggungnya yakni tidak berhajat sangat kepadanya, maka kalau ia gunakan adalah BATAL PUASANYA.


ADAKAH BOLEH MENGGUNAKAN UBAT MANAHAN HAIDH SUPAYA DAPAT PUASA PENUH SEBULAN.

Adalah HARUS dan DIBOLEHKAN bagi kaum perempuan memakan ubat menahan haidh bagi tujuan untuk puasa sebulan penuh, akan tetapi dengan syarat bhw perbuatan tersebut tidak akan mendatangkan kemudharatan kepada dirinya.

Jika perbuatan tersebut boleh menimbulkan kemudharatan pada dirinya, maka adalah ianya dilarang utk berbuat demikian. Bagi sesiapa yg ingin berbuat sedemikian, diingatkan utk meminta nasihat pakar perubatan terlebih dahulu.


MEMAKAI KONTEK LENS ATAU UBAT TITIK MATA KETIKA BERPUASA.

Memakai kontek lens atau ubat titik mata ketika berpuasa TIDAK MEMBATALKAN PUASA. Akan tetapi perlu dilihat keadaan2 seperti di bawah untuk menentukannya…
1. jika cecair tersebut memasuki lubang mata dan sampai ke kerongkong dan ditelannya maka BATAL PUASA.
2. akan tetapi jika diludahkan, maka TIDAK BATAL PUASA.
3. akan tetapi jika yang sampai ke kerongkong tersebut hanya rasa bukan cecairnya, maka TIDAK BATAL PUASA.


TAMBAH DARAH KETIKA BERPUASA.

Menambah darah dengan memasukkannya melalui urat besar ke dalam badan dan kemudiannya sampai ke rongga perut dan seterusnya jantung dan darah tersebut sudah setentunya akan diproses untuk sampai ke seluruh badan, maka adalah ia MEMBATALKAN PUASA.


MENDERMA DARAH KETIKA BERPUASA.

TIDAK BATAL PUASA orang yang menderma darah pada ketika ia berpuasa kerana bukanlah ia rongga yang terbuka.


TAMBAH AIR KETIKA BERPUASA.

BATAL PUASA kalau menambah air ketika berpuasa kerana sudah pasti air tersebut akan sampai ke perut.


PUASA PESAKIT BUAH PINGGANG YANG MENJALANI RAWATAN DIALISIS

BATAL PUASA bagi mereka yg menjalani rawatan Dialisis Haemo dan Dialisis Peritoneal kerana kedua-nya adalah memasukkan sesuatu ke dalam rongga. Walau bagaimanapun, cara rawatan yg dijalankan adalah merupakan satu keuzuran (uzur syar’ie) yang membolehkan si pesakit untuk tidak berpuasa atau berbuka.

Bagi pesakit yang menjalani rawatan Dialisis Haemo (jika sekiranya rawatan tersebut dijalankan di siang hari), maka dia dihukumkan tidak berdosa kerana meninggalkannya, akan tetapi masih dituntut untuk mengqadha puasa itu apabila telah berupaya menunaikannya.

Manakala bagi Bagi pesakit yang menjalani rawatan Dialisis Peritoneal, telah difahamkan bhw rawatan tersebut tidak boleh tidak untuk dilakukan secara berterusan… Ini bermakna dia tidak boleh melakukan puasa kerana rawatan yang berterusan tersebut membatalkan puasanya sekalipun ia sihat atau ia mampu untuk menunaikan puasa. Maka dalam hal ini, pesakit yang mengalaminya hanya diwajibkan mengeluarkan fidyah sahaja, yakni tanpa perlu mengqadha puasa yg ditglkannya.


PENGSAN KETIKA BERPUASA

Jika pengsan itu berterusan sepanjang hari iaitu bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari, maka BATAL PUASANYA. Akan tetapi tempoh/kadar pengsan tersebut hanya sebahagian hari atau sekejap sahaja, maka sah puasanya; yakni TIDAK BATAL PUASA. Berbeza hukumnya jika seseorang itu menjadi gila pada siang hari Ramadhan, sama ada lama atau sekejap, maka BATAL PUASANYA.