Saturday, August 27, 2011

ADAB MENYAMBUT AIDILFITRI


Sekarang kita berada di penghujung bulan ramadhan yang penuh dengan rahmat dan kebajikan. Ini beerti hanya beberapa hari sahaja lagi kita akan manyambut kedatangan Aidilfitri, iaitu hari kemenangan bagi umat Islam setelah berjaya melawan hawa nafsu menunaikan ibadah puasa selama sebulan. Mudah-mudahan segala amal ibadat yang kita lakukan di sepanjang bulan ramadhan ini diterima Allah Subhanahu waTa’ala dan mendapat rahmat, keampunan dan kita semua terhindar daripada api neraka.

Pada kelaziman nya kedatangan Hari Raya akan disambut dan diraikan oleh umat Islam seluruh dunia, tidak terkecuali oleh umat Islam di negara ini. Apa yang menjadi tradisi umat Islam di Negara kita apabila menyambut Hari Raya ialah membuat bermacam-macam persiapan yang berbentuk material seperti membuat pakaian baru, juadah dan barangan rumah. Itulah yang dititikberatkan sehingga menyebabkan kesibukan apabila menjelang malam Hari Raya sehingga kita lupa perkara yang lebih afdal dilakukan ketika meraikan malam Hari Raya itu.

Sesungguhnya Islam telah menetapkan adab-adab yang sunat dilakukan bagi kita menyambut kedatangan Hari Raya antaranya:

1- Sunat melaungkan takbir sebaik sahaja diumumkan bahawa anak bulan Syawal telah sabit dilihat. Sesungguhnya laungan takbir itu bukanlah semata-mata untuk memeriahkan suasana Hari Raya sahaja, tetapi sebagai tanda syukur kita terhadap anugerah yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu wata’ala kepada hamba-hambanya. Masa memulakan takbir ialah apabila sahaja diisytiharkan nampak anak bulan hinggalah kaum muslimin pergi ke masjid-masjid dan imam naik keatas mimbar, sebagaimana Firman Allah Subhanahu wata’ala dalam surah al-Baqarah ayat 185:

وَلِتُكْمِلُوا العِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللهَ عَلى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُوْن

Tafsirnya : “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengangungkan Allah atas petunjuknya yang diberikan kepada kamu, dan supaya kamu bersyukur.”   

2- Menurut Syeikh Qulyubi di dalam Kitab Hasyiah telah menyebutkan bahawa menghidupkan malam Hari Raya dengan berzikir dan mengerjakan Sembahyang Sunat Tasbih hukumnya adalah sunat.

3- Pada pagi Hari Raya pula, sunat mandi dengan niat kerana kedatangan Aidilfitri dan bukan mandi semata-mata hanya untuk membersihkan diri.

4- Sunat memakai bau-bauan yang harum, membersihkan diri dengan bergunting rambut dan memotong kuku serta memakai pakaian yang paling elok kerana hari tersebut merupakan hari untuk berhias-hias dan berelok-elok.

5- Sunat memakan buah kurma dengan bilangan yang ganjil sebelum kemasjid bagi menunaikan Sembahyang Sunat Hari Raya, sebagaimana hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam yang bermaksud:

“Dari Anas ia berkata: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam tidak keluar pada waktu pagi Hari Raya Fitrah sehingga makan terlebih dahulu beberapa biji tamar dan berkata Murajja’ bin Raja telah diceritakan kepada Ubaidullah ia berkata: Telah menceritakan Anas dari Nabi Shallallahu ‘alaihi Wasallam: Dan baginda memakan tamar itu dalam bilangan ganjil”.

6- Menunaikan Sembahyang Sunat Hari Raya, bahkan ia adalah perkara yang paling penting dan utama dalam kita menyambut Hari Raya daripada perkara-perkara sunat yang lain, sebagaimana hadits yang maksudnya:

“Dari Al-Baraa’ ia berkata: Aku mendengar Nabi Shallallahu ‘alaihi Wasallam berkhutbah, sesungguhnya yang awal-awal sekali kita mulakan pada hari ini (Hari Raya) ialah sembahyang”.

7- Sunat doa-mendoakan dan mengucapkan tahniah diantara satu sama lain seperti mengucapkan yang maksudnya: Semoga Allah menerima daripada kita dan menerimanya daripada awak. Maksud daripada kalimah tahniah yang berbentuk doa yang diucapkan itu membawa makna semoga diterima puasa dan amal kebajikan yang dibuat di bulan ramadhan.

Begitulah indah dan telitinya agama Islam sehingga menyambut hari kegembiraan pun terdapat adab-adab dan garis panduan yang memimpin umatnya agar tidak terpesong dari tujuan sebenar sambutan diadakan iaitu sebagai melahirkan rasa syukur terhadap Allah subhanahu wata’ala. Itulah perbezaan agama Islam dengan agama-agama lain yang mengadakan sambutan hanya untuk bergembira dan bersuka ria.

Dengan berakhirnya ramadhan jangan pula kita menjadikan sebagai titik penghujung amal ibadah kita kerana amal ibadah tersebut bukan sahaja dapat dilakukan bulan ramadhan bahkan kita hendaklah mempraktikkan dan memeliharanya pada setiap masa dan ketika.

Marilah kita sama-sama meraikan hari kemenangan iaitu Hari Raya AidilFitri dengan mentaati apa yang telah diajarkan oleh agama Islam, dengan tidak mencemari sambutan AidilFitri dengan dosa dan maksiat atau perkara-perkara yang sia-sia setelah sebulan kita berpuasa. Mudah-mudahan ibadat puasa dan segala amal ibadat yang kita lakukan akan diterima oleh Allah Subhanahu wata’ala dan mudah-mudahan kita semua mendapat berkat dan rahmat serta keampunan dari Allah Subhanahu wata’ala dan seterusnya kita semua dibebaskan dari api neraka. Kita juga berdoa semoga kita diberi peluang untuk bertemu lagi dengan ramadhan yang akan datang dengan penuh rasa keimanan dan ketaqwaan. Amin Ya Rabbal ‘alamin…

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan