Friday, November 04, 2011

HARI RAYA AIDILADHA


Sejarah

Pada suatu hari Nabi Ibrahim ‘alaihissalam bermimpi, dalam mimpinya itu Allah Subhanahu wa Ta’ala menyuruh Nabi Ibrahim menyembelih anaknya yang bernama Ismail. Selepas mendapati mimpi tersebut, Nabi Ibrahim pun memberitahu isterinya Siti Hajar.
Maka berbincanglah Nabi Ibrahim, Siti Hajar, dan Ismail. Siti Hajar berkata, “Mungkin mimpimu itu hanya mainan tidur saja tetapi kalau mimpi itu merupakan wahyu, wajiblah dituruti.” Apabila mendengar kata-kata ibunya, Ismail berkata kepada bapanya, “Ayahku, sekiranya ini merupakan wahyu dari Allah Subhanahu wa Ta’ala, aku sedia merelakan diriku untuk disembelih.”
Setelah mendapat kata sepakat dan mempersetujui, keesokan harinya Nabi Ibrahim pun membawa anaknya Ismail untuk disembelih. Setelah sampai tempat yang dituju, berkatalah anaknya, “Wahai ayahku, aku fikir cara yang baik untuk menyembelih adalah dengan cara aku disembelih dalam keadaan menelungkup tapi mata ayah hendaklah ditutup. Kemudian ayah hendaklah tahu arah pedang yang tajam dan ayah kenakan tepat kepada leherku.”
Kemudian Nabi Ibrahim pun melaksanakan perintah Allah Subhanahu wa Ta’ala sepertimana yang telah diperintahkan dalam mimpinya. Baginda pun mengucapkan kalimah atas nama Allah lalu memancungkan pedangnya pada leher anaknya itu. Maka terperciklah darah mengenai badan Nabi Ibrahim. Sebagai seorang manusia biasa, Nabi Ibrahim pun menggeletar dan membuka penutup matanya.
Tetapi alangkah terperanjatnya apabila melihat yang disembelihnya itu bukanlah anaknya melainkan seekor kibas. Dengan memuji kebesaran Allah Subhanahu wa Ta’ala, kedua-duanya pun berpeluk-pelukan sambil bersyukur kepada Tuhan kerana memberi kekuatan hingga dapat melaksanakan amanat dari Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Firman Allah Subhanahu  wa Ta’ala dalam surah as-Saffat ayat 102:

فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ ٱلسَّعْىَ قَالَ يَبُنَيَّ إِنِّي أَرَى فيِ ٱلْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فانظُرْ مَاذَا تَرَى ج قَالَ يَأَبَتِ ٱفْعَلْ مَاتُؤْمَرُ سَتَجِدُنِى  إِن شَآءَ اللَّهُ مِنَ  ٱلصَّبِرِينَ (102)

“Maka ketika Anaknya itu sampai (ke peringkat umur Yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya Aku melihat Dalam mimpi Bahawa Aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa Yang diperintahkan kepadamu; insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang Yang sabar".

Pengenalan

Hari Raya Aidiladha ( الأضحى ) atau Hari Raya Haji merupakan perayaan yang dirayakan di seluruh dunia. Ia adalah perayaan terbesar di dalam Islam selain Aidilfitri yang disambut pada setiap 1 Syawal. Aidiladha disambut pada hari ke 10,11,12 dan 13 pada bulan Zulhijjah setiap tahun.
Bermula dengan takbir Aidiladha pada malam 9 Zulhijjah,diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah, kemudian diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan pada waktu pagi 10 Zulhijjah hingga terbenam matahari pada 13 Zulhijjah. Adapun bermula masuk waktu menyembelihnya ialah pada waktu pagi 10 Zulhijjah sesudah berlalu masa mengerjakan solat Hari Raya Aidiladha dan membaca doa khutbah dari terbit matahari. 

Sabda Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam:
لا يَذْبَحَنَّ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُصَلِّي.

Maksudnya: Jangan menyembelih seseorang kamu (akan korban) sehingga selesai sembahyang. (Hadits Riwayat Tarmizi)

Sabda Baginda lagi:
مَنْ ذَبَحَ قَبْلَ الصَّلاةِ فَإِنَّمَا يَذْبَحُ لِنَفْسِهِ وَمَنْ ذَبَحَ بَعْدَ الصَّلاةِ وَالْـخُطْبَتَيْنِ فَقَدْ تَـمَّ نُسُكَهُ وَاصابَ سُنَّةَ الـمُسْلِمِينَ.

Maksudnya: Sesiapa yang menyembelih korban sebelum sembahyang Hari Raya Haji, maka sesungguhnya dia telah menyembelih untuk dirinya. Sesiapa yang menyembelih sesudah Hari Raya Haji dan dua khutbah, sesungguhnya sempurnalah ibadahnnya dan tepatlah menurut sunnah Islam
(Hadits Riwayat Bukhari)

Aidiladha merupakan perayaan yang istimewa kerana ia adalah hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim ‘alaihissalam dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Selain daripada itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari sahaja iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijjah.
Adapun korban dari segi bahasa ialah dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepadaNya.
Hari raya korban jatuh pada hari kesepuluh pada bulan Zulhijjah, bulan terakhir pada kalendar Hijrah Islam. Dan 10 Zulhijjah juga merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam dan isterinya Siti Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah.
Pada hari raya, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih dan juga mengenakan wangi-wangian. Pada pagi hari raya korban, umat Islam akan mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat yang akan diadakan pada sebelah pagi biasanya awal sedikit dari Hari Raya Aidil Fitri.
Selepas bersembahyang, maka bermulalah upacara korban, di antara binatang yang akan dikorbankan itu ialah unta, lembu, kambing dan biri-biri dimana ia dilakukan ditempat kawasan masjid, sebelum dibahagi-bahagikan kepada orang ramai terutamanya kepada golongan fakir miskin.

Hadits mengenai Hari Raya Aidiladha:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ إِنَّهَا لَتَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنْ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنْ الْأَرْضِ فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا.

Maksudnya: “Tiada amal anak Adam yang lebih disukai Allah pada hari Aidiladha melainkan ibadat korban. Sesungguhnya binatang yang dikorbankan itu akan datang pada hari kiamat lengkap dengan tanduk bulu dan kukunya. Sesungguhnya ibadat korban ini diredhai Allah sebelum darah binatang itu jatuh ke bumi. Maka hendaklah kamu berasa lapang dada dan redha akan ibadat korban yang kamu lakukan”.
(Hadits riwayat at-Tirmizi)

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan