Saturday, August 18, 2012

Batas-batas Pergaulan di Hari Raya


Alhamdulillah, Syukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta’ala bahawa kita telah sampai ke penghujung bulan Ramadhan dan akan bertemu dengan bulan Syawal. Di mana bulan Syawal merupakan hari kemenangan bagi orang-orang Islam yang berjaya mengawal hawa nafsu dari sebarang kemungkaran selama sebulan pada siang hari Ramadhan, malahan merupakan satu kejayaan daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang. Maka dalam merayakan hari raya aidilifitri, kita janganlah lupa akan batasan-batasan ketika menyambut aidil fitri.

Islam merupakan agama yang begitu munasabah dan praktikal. Setelah sebulan umat Islam memberi tumpuan sepenuhnya dalam beribadah kepada Allah, maka kini tiba masanya untuk menyambut kejayaan itu dengan kegembiraan dan kemeriahan. Oleh itu, kita akan nampak wajah-wajah keceriaan umat Islam dalam menyambutnya dengan memakai pakaian yang elok, berkumpul seluruh ahli keluarga, kunjung-mengunjung sesama umat Islam dan banyak lagi. Perkara seumpama ini merupakan perkara-perkara yang digalakkan dalam agama Islam bagi menyambut hari raya Aidilfitri.

Dalam menyambut hari yang penuh kegembiraan, kita janganlah lupa akan batas-batas yang peru dijaga. Antara perkara yang perlu diberi perhatian semasa merayakan perayaan ialah:
a-      Menjaga tutur bicara : dalam kita beramah mesra, setiap pertuturan hendaklah kita jaga supaya tidak menyinggung perasaan saudara kita. Maka berkomunikasilah dengan cara yang baik, jaga tutur kata dan berperilakulah dengan perlakuan yang baik supaya ia akan dapat mengeratkan lagi tali persaudaraan antara keluarga serta saudara-mara dan bukanlah menambahkan kekeruhan.
b-      Maaf memaafkan: perbuatan memohon serta memberi kemaafan adalah satu amalan yang mulia disisi syarak. ini adalah salah satu adat resam kita apabila menyambut Aidilfitri dengan saling bermaafan antara satu sama lain. Ucapan yang sering kita dengar adalah “maaf zahir dan batin”. Dan memohon maaf bukanlah hanya pada waktu hari raya, akan tetapi pada hari-hari yang lain. Memandangkan inilah peluangnya kita berjumpa dan berkumpul dengan ahli keluarga, sanak-saudara, sahabat lama yang sudah tidak ditemui, maka ambillah peluang ini untuk memohon ke atas kesalahan dan kesilapan yang pernah kita lakukan.
c-       Berjabat tangan atau bersalam-salam: jika sebilangan individu, apabila bertemu dengan saudara mara terdekat yang bukan mahram contohnya sepupu, isteri/suami kepada ibu/bapa saudara dan lain-lain yang kita rasakan hampir atau dekat dengan kita, teman-teman, sama ada lelaki atau perempuan ajnabi ialah bersalam-salaman. Di hari perayaan ini, kita amat dianjurkan untuk bermaaf-maafan antara satu sama lain bagi menjernihkan hubungan yang keruh, tetapi tidaklah bermakna memohon maaf ialah dengan berjabat tangan antara satu sama lain. Oleh yang demikian, perlu dihindari berjabat tangan antara lelaki dan perempuan ajnabi kerana hukum berjabat tangan dengan wanita ajnabi (bukan muhrim) adalah haram.
Firman Allah dalam surah an-Nisaa’ ayat 22:
وَلَا تَنْكِحُوا مَا نَكَحَ آَبَاؤُكُمْ مِنَ النِّسَاءِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَمَقْتًا وَسَاءَ سَبِيلًا

Tafsirnya :
“Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang telah dikahwini oleh bapa kamu (ibu-bu tiri kamu) kecuali apa yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya perbuatan itu adalah satu perkara yang keji (di sisi syara’) dan dibenci (oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala) dan adalah seburuk-buruk jalan (yang dilalui dalam perkahwinan).

d-      Fesyen dan Aurat: di dalam menyambut dan memeriahkan aidilfitri sudah setentunya akan nampak pelbagai fesyen. Dalam konteks Islam kaedah berfesyen adaah digalakkan (diharuskan akan tetapi, perlu diambil maklum aan batasan dalam hukum syara’. Apa yang menyedihkan ialah mengenakan fesyen yang sangka sudah menutup aurat tapi hakikatnya tidak. Umpama memakai pakaian yang ketat sehingga menonjolkan bentuk tubuh atau pakaian yang jarang yang menampakkan warna kulit walaupun memakai tudung. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengingatkan perkara tersebut dengan bersabda:
صِنْفَانِ مَنْ أَهْلِ النَّارِ لَمْ أَرَهُمَا: قَوْمٌ مَعَهُمْ سِيَاطٌ كَأَذْنَابِ الْبَقَرِ يَضْرِبُونَ بِهَا النَّاسَ، وَنِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عاَرِيَاتٌ مُمِيلاَتٌ...
Maksudnya:Ada dua golongan ahli neraka yang belum pernah aku (Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam) melihatnya iaitu; kaum lelaki memegang cemeti seperti ekor sapi yang mereka gunakan untuk memukul orang lain, dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi mereka (sebenarnya) bertelanjang (pakaian tiada menutup aurat kepala dan badan sebagaimana yang diperintahkan oleh agama)…”
(Hadits riwayat Muslim)
Oleh yang demikian, marilah kita kembali kepada konsep sebenar menutup aurat sepertimana yang telah digariskan didalam Islam agar perayaan yang aidilfitri kita rayakan mendapat keberkatan dan keredhaan dari Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Hari raya pada hakikatnya hari yang sepatutnya diraikan dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. Namun, dalam meraikannya janganlah lupa batas-batas yang telah ditetapkan, adab-adab, nilai-nilai murni yang perlu dijaga demi meninggikan syiar Islam dan kemuliaan.



*MB2*

Thursday, August 16, 2012

PERSIAPAN MENYAMBUT SYAWAL


Sekarang kita telah pun memasuki hari-hari terakhir bulan Ramadan. Ini bererti umat Islam hanya beberapa hari saja lagi akan menyambut Hari Raya Aidilfitri sebagai tanda kemenangan bagi umat Islam khususnya bagi orang-orang yang berpuasa, tetapi pada masa yang sama hati kita turut merasa sedih untuk meninggalkan bulan Ramadan yang penuh rahmat dan keberkatan ini kerana kita belum pasti lagi akan dapat berjumpa bulan Ramadan yang akan datang kecuali jika diizinkan dan dipanjangkan umur oleh Allah Subhanahu waTa'ala.

Sebagaimana kelazimannya apabila saja hampir tiba Hari Raya Aidilfitri maka kebanyakan di antara kita akan sibuk membuat persiapan bagi menyambut Hari Raya seperti menyediakan keperluan rumah, menyediakan pakaian, menyediakan makanan dan minuman dan bermacam-macam lagi persediaan, semuanya itu demi meraikan Aidilfitri yang mulia. Tetapi apa yang perlu kita ingat walau macam manapun kesibukan kita, janganlah kita lupa dan lalai kewajipan terhadap Allah Subhanahu waTa'ala khususnya di akhir-akhir bulan Ramadan ini iaitu membayar zakat fitrah kerana ia merupakan satu kewajipan dan pelengkap ibadat puasa serta penampal atau penutup kecacatan-kecacatan yang berlaku ke atas ibadat puasa yang kita lakukan.

Sebenarnya ugama Islam adalah ugama yang mudah dan tidak mahu umatnya hidup susah kerana itu kita dinasihatkan supaya hidup sentiasa bersederhana, tidak berlebih-lebihan dan membazir, contohnya dalam menyambut Hari Raya Al-Mubarak ini, sambutlah secara sederhana dan berhemah, jangan terlalu ikut hati sehingga berbelanja lebih dari kemampuan dan menyusahkan diri, jangan jadikan sambutan Hari Raya Aidifitri untuk bermegah-megah dan bermewah-mewah sehingga berlaku pembaziran dan menjadikan kita bersifat riyak. Biarlah kita menjadi umat yang sederhana yang tidak melampau dan tidak keterlaluan dalam semua hal. Firman Allah Subhanahu waTa'ala dalam Surah Al Israa' ayat 26 - 27:


وَءَاتِ ذَا ٱلۡقُرۡبَىٰ حَقَّهُ ۥ وَٱلۡمِسۡكِينَ وَٱبۡنَ ٱلسَّبِيلِ وَلَا تُبَذِّرۡ تَبۡذِيرًاإِنَّ ٱلۡمُبَذِّرِينَ كَانُوٓاْ إِخۡوَٲنَ ٱلشَّيَـٰطِينِ‌ۖ وَكَانَ ٱلشَّيۡطَـٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورً۬ا


Tafsirnya: "….Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya".
Perlulah kita fahami bahawa tujuan utama Hari Raya Aidilfitri adalah untuk meraikan kejayaan hamba-hamba Allah yang telah melaksanakan ibadat puasa dengan penuh keimanan dan ketakwaan, kerana itu sambutan yang dilakukan juga biarlah atas landasan ugama dan tetap menjadi ibadah. Bagi mencapai maksud tersebut ugama Islam memberikan kita bimbingan dan panduan cara sambutan yang betul untuk diikuti dan dipraktikkan, antaranya ialah :
Pada Malam Hari Raya Pertama kita disunatkan menghidupkan malam tersebut dengan laungan takbir dan terus menghidupkannya dengan bacaan Al-Qur'an, berzikir, berdoa dan sebagainya. Bukan meraikan malam tersebut dengan perkara-perkara yang membahayakan dan memudaratkan apatah lagi perkara yang mengganggu ketenteraman orang lain dan elakkan membuat persiapan di saat-saat akhir sehingga larut malam menyebabkan ada yang tidak sempat menunaikan Sembahyang Fardu Subuh dan Sembahyang Sunat Hari Raya Aidilfitri kerana tidak terjaga dan keletihan.

Pada pagi Hari Raya pula, kita disunatkan mandi dengan niat kerana kedatangan Aidilfitri dan bukannya mandi seperti hari-hari biasa, kita juga disunatkan memakai bau-bauan yang harum, membersihkan diri dengan bergunting rambut, memotong kuku serta memakai pakaian yang paling elok kerana hari tersebut merupakan hari untuk berhias-hias dan berelok-elok. Sebelum ke masjid untuk bersembahyang Hari Raya pula, kita disunatkan memakan buah kurma dengan bilangan yang ganjil, inilah yang diamalkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam sebelum ke masjid untuk bersembahyang Hari Raya.

Bagi memeriahkan suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri, sudah setentunya amalan ziarah-menziarahi, kunjung-mengunjungi kaum keluarga, sanak-saudara, jiran tetangga dan sahabat handai semata-mata untuk bermaaf-maafan dan mengeratkan hubungan silaturahim.
Dalam meraikan Hari Raya Aidilfitri ini, elakkanlah keraian ini dari dicemari dengan perkara-perkara yang bertentangan dengan hukum syara’ dan berdosa, antaranya bersalaman dengan bukan muhrim, memakai pakaian yang mendedahkan aurat, menghidangkan benda-benda haram dan sebagainya. Perbuatan sedemikian tidak mendatangkan berkat, tetapi akan mencemarkan erti sebenar kedatangan Hari Raya Aidilfitri itu, di samping mendatangkan dosa dan menyebabkan kemurkaan Allah Subhanahu waTa'ala.

Akhirnya marilah kita sama-sama meraikan hari kemenangan iaitu Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang ini dengan mentaati apa yang telah diajarkan oleh ugama Islam. Mudah-mudahan ibadat puasa Ramadan dan segala amal ibadat yang kita kerjakan selama ini diterima oleh Allah Subhanahu waTa'ala dan mendapat rahmat dan keberkatan serta keampunan dari Allah Subhanahu waTa'ala. Amin Ya Rabbal'alamin.
Firman Allah Subhanahu waTa'ala dalam Surah Ali'Imran ayat 133:


وَسَارِعُواْ إِلَى مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ


Tafsirnya: "Dan segeralah kamu kepada mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu dan mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa".

*MB3*

Sunday, August 05, 2012

NUZUL AL-QURAN

Assalamu’alaikum.. Kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu waTa’ala kerana masih memberi kesempatan untuk kita melipatgandakan usaha dan amal ibadat di bulan Ramadhan yang Mubarak ini. Pada bulan ini telah berlaku sejarah agung dalam Islam iaitu Allah Subhanahu waTa’ala telah menurunkan kitab suci al-Quran kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi Wasallam pada 17 Ramadhan, Firman Allah Subhanahu waTa’ala dalam Surah ad-Dukhaan ayat 3-4:

{إِنَّآ أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُّبَارَكَةٍ إِنَّا كُنَّا مُنذِرِينَ* فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ}

Yang tafsirnya:


“Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran pada malam yang berkat, Kami berbuat demikian kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran. Kami menurunkan al-Quran pada malam tersebut pada malam yang berkat itu dijelaskan kepada malaikat tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmah serta tetap berlaku (tidak berubah atau bertukar).

Al-Quran merupakan mukjizat agung Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi Wasallam. Al.-Quran itu adalah Nur (cahaya) dan pembawa berkah pemberi petunjuk ke jalan yang lurus serta membawa manusia ke jalan yang selamat di dunia dan di Akhirat sebagai umat Islam, kita hendaklah mengagungkan memuliakan al-Quran dengan menjaga kesuciannya, membacanya serta mengamalkan ajaran terkandung di dalamnya.


Membaca al-Quran adalah amalan yang sangat dituntut dalam Islam. Terdapat banyak kelebihan dan ganjaran bagi orang-orang yang membaca al-Quran antaranya akan mendapat rahmat, kemuliaan, ketenangan, hati mereka yang membaca al-Quran juga dilimpahi dengan cahaya oleh Allah Subhanahu waTa’ala dan dipelihara daripada kegelapan. Mereka juga akan sentiasa dalam pemeliharaan penjagaan Allah Subhanahu waTa’ala, mendapat syafaat pada Hari Kiamat, memperolehi kedudukan yang tinggi dalam syara’ bahkan ibubapanya juga mendapat rahmat dari Allah Subhanhu waTa’ala.


Oleh itu, marilah kita merebut peluang untuk memperbanyakkan membaca al-Quran sama ada secara bertadarus atau berseorangan dan adalah baik jika kita dapat membaca sehingga khatam 30 juz. Betapa banyaknya ganjaran pahala bagi mereka yang membaca al-Quran, maka jadikanlah membaca al-Quran itu sebagai amalan harian sepanjang tahun, bukannya bermusim sekali setahun. Jangan hanya di bulan Ramadhan saja rajin membaca al-Quran tetapi di bulan lain kita lalai dengan kesibukan harian.


Sama-samalah kita berdoa muda-mudahan kita akan menjadi umat Islam yang sentiasa mencintai al-Quran, selalu membaca dan menghayati serta mengamalkannya dalam kehidupan harian. Semoga kita tergolong dikalangan orang-orang yang Berjaya didunia dan akan mendapat syafaat di Akhirat nanti. Amin Ya Rabbal ‘alamin…


*MB3*