Sunday, August 05, 2012

NUZUL AL-QURAN

Assalamu’alaikum.. Kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu waTa’ala kerana masih memberi kesempatan untuk kita melipatgandakan usaha dan amal ibadat di bulan Ramadhan yang Mubarak ini. Pada bulan ini telah berlaku sejarah agung dalam Islam iaitu Allah Subhanahu waTa’ala telah menurunkan kitab suci al-Quran kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi Wasallam pada 17 Ramadhan, Firman Allah Subhanahu waTa’ala dalam Surah ad-Dukhaan ayat 3-4:

{إِنَّآ أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُّبَارَكَةٍ إِنَّا كُنَّا مُنذِرِينَ* فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ}

Yang tafsirnya:


“Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran pada malam yang berkat, Kami berbuat demikian kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran. Kami menurunkan al-Quran pada malam tersebut pada malam yang berkat itu dijelaskan kepada malaikat tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmah serta tetap berlaku (tidak berubah atau bertukar).

Al-Quran merupakan mukjizat agung Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi Wasallam. Al.-Quran itu adalah Nur (cahaya) dan pembawa berkah pemberi petunjuk ke jalan yang lurus serta membawa manusia ke jalan yang selamat di dunia dan di Akhirat sebagai umat Islam, kita hendaklah mengagungkan memuliakan al-Quran dengan menjaga kesuciannya, membacanya serta mengamalkan ajaran terkandung di dalamnya.


Membaca al-Quran adalah amalan yang sangat dituntut dalam Islam. Terdapat banyak kelebihan dan ganjaran bagi orang-orang yang membaca al-Quran antaranya akan mendapat rahmat, kemuliaan, ketenangan, hati mereka yang membaca al-Quran juga dilimpahi dengan cahaya oleh Allah Subhanahu waTa’ala dan dipelihara daripada kegelapan. Mereka juga akan sentiasa dalam pemeliharaan penjagaan Allah Subhanahu waTa’ala, mendapat syafaat pada Hari Kiamat, memperolehi kedudukan yang tinggi dalam syara’ bahkan ibubapanya juga mendapat rahmat dari Allah Subhanhu waTa’ala.


Oleh itu, marilah kita merebut peluang untuk memperbanyakkan membaca al-Quran sama ada secara bertadarus atau berseorangan dan adalah baik jika kita dapat membaca sehingga khatam 30 juz. Betapa banyaknya ganjaran pahala bagi mereka yang membaca al-Quran, maka jadikanlah membaca al-Quran itu sebagai amalan harian sepanjang tahun, bukannya bermusim sekali setahun. Jangan hanya di bulan Ramadhan saja rajin membaca al-Quran tetapi di bulan lain kita lalai dengan kesibukan harian.


Sama-samalah kita berdoa muda-mudahan kita akan menjadi umat Islam yang sentiasa mencintai al-Quran, selalu membaca dan menghayati serta mengamalkannya dalam kehidupan harian. Semoga kita tergolong dikalangan orang-orang yang Berjaya didunia dan akan mendapat syafaat di Akhirat nanti. Amin Ya Rabbal ‘alamin…


*MB3*

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan