Wednesday, November 14, 2012

HIJRAH DIRI

Alhamdulillah, untuk muatan diruangan pada kali ini kita mula dengan Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah an-Nahl ayat 41-42

وَالَّذِينَ هَاجَرُوا فِي اللَّهِ مِنْ بَعْدِ مَا ظُلِمُوا لَنُبَوِّئَنَّهُمْ فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَلَأَجْرُ الْآَخِرَةِ أَكْبَرُ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ (41) الَّذِينَ صَبَرُوا وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ (42)

Tafsirnya: “Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah sesudah mereka dianiaya (dtindas oleh musuh-musuh Islam), Kami tentu akan menempatkan mereka di dunia ini pada tempat yang baik (Madinah). Dan sesungguhnya pahala akhirat adalah lebih besar kalau mereka mengetahui(41) (Iaitu) orang-orang yang bersabar dan hanya kepada Tuhan mereka sahajalah mereka bertawakal (42).”

Hijrah adalah perkataan arab هجر yang bermaksud ‘meninggalkan’ atau ‘berpindah’. Berhijrah mempunyai dua pengertian; berhijrah secara ‘fizikal’ dan hijrah ‘diri’. Hijrah secara fizikal adalah seperti yang telah berlaku di zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, baginda telah berpindah dari Kota Mekah ke Kota Madinah. Dan hijrah yang satu lagi iaitu ‘Hijrah Diri’ membawa maksud bertaubat kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dan meninggalkan perkara-perkara yang dilarang serta mendatangkan dosa dan kemurkaan Allah Subhanahu wa Ta’ala.

‘Hijrah Diri’ adalah wajib bagi semua orang Islam. Ini kerana seorang Islam dituntut untuk bertaubat di atas dosa-dosa yang telah dilakukannya. Hal ini disebutkan di dalam Firman Allah dalam surah At Tahrim ayat 8:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَصُوحًا عَسَى رَبُّكُمْ أَنْ يُكَفِّرَ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ......(8)

Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah (mintalah dihapuskan dosa kamu) dengan “taubat nasuha”, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.”

Bertaubatlah dengan bersungguh-sungguh yakni “Taubat Nasuha”, mudah-mudahan segala dosa-dosa kita akan di ampunkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala sebagaimana janji Allah bahawa Allah akan mengampuni dosa sesiapa sahaja yang melakukan taubat.
Di dalam hadits Qudsi, yang di riwayatkan oleh Muslim

يَا عِبَادِي إِنَّكُمْ تُخْطِئُونَ بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ وَأَنَا أَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا فَاسْتَغْفِرُونِي أَغْفِرْ لَكُمْ

Maksudnya:Wahai hambaKu! Sesungguhnya kamu berbuat dosa malam dan siang, dan Aku mengampunkan semua dosa, maka kamu minta ampunlah kepadaKu nescaya Aku mengampunkan kamu.”
(Hadits riwayat Muslim).

Penghijrahan diri seseorang itu juga, Insya Allah akan mengubah dirinya kepada melaksanakan segala suruhan  Allah Subhanahu wa Ta’ala dan menjauhi segala laranganNya. Ini menunjukkan bahawa ‘Hijrah Diri’ mampu membuatkan diri seseorang itu berubah kepada sesuatu kebaikan dan meninggalkan keburukan.

Kita mulakanlah tahun 1434H ini dengan ‘Hijrah Diri’ dan seterusnya memohon petunjuk dan hidayah daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Semoga kita semua akan beroleh keberkatan dan segala taubat kita diterima, Amin.




*MB2*

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan