Thursday, November 21, 2013

ADAB BERSUKAN



Part 1
 
Hadits Riwayat Imam Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

المُؤمِن القَوِي خيرٌ مِنَ المؤمن الضَّعِيف

Maksudnya:

Orang Mu’min yang kuat lebih baik daripada orang mu’min yang lemah.
Islam mengalakkan umatnya menjadi kuat dan mencari jalan untuk kuat. Kekuatan fizikal dan mental lazimnya dikaitkan dengan pemakanan dan senaman atau riadhah (sukan). Amalan bersenam atau bersukan adalah sesuatu yang amat berfaedah kepada kesihatan manusia. Ianya merupakan salah satu unsur yang menjurus kepada kecerdasan mental seperti dalam pepatah ada menyebutkan “minda yang cerdas bermula dari badan yang sihat.” Oleh itu Islam sebagai agama yang syummul amat mengambil berat mengenai kesihatan fizikal, mental dan spiritual.


Apabila individu muslim itu sihat maka ia mempunyai kekuatan, kemampuan dan fikiran yang cerdas untuk melaksanakan apa sahaja tugas yang diamanahkan kepadanya oleh Allah Subhanahu waTa’ala serta tanggungjawab yang dipikulnya dalam sebuah organisasi, unit, persatuan, rumahtangga atau masyarakat. Mereka yang aktif bersukan akan menjadikan badan sihat dan dapat menghilangkan rasa malas, kurang motivasi, mengurangkan penyakit dalam badan serta membawa kepada kecemerlangan hidup.


Pada zaman serba moden ini pelbagai jenis sukan telah diperkenalkan dan kita perlu sedar bahawa sukan pada hari ini bukan sahaja sebagai aktiviti riadhah akan tetapi ia lebih luas peranannya iaitu dikaitkan dengan ekonomi, status dan lambang kemajuan sesebuah negara. Oleh itu kita sebagai seorang muslim hendaklah mengikut adab-adab Islam dalam bersukan diantaranya ialah:


·         Bersukan mengikut fitrah:

Setiap sukan yang hendak diikuti mestilah mengikut fitrah masing-masing. Lelaki biasanya dikaitkan dengan kegagahan dan ketangkasan. Sukan seperti menunggang kuda hanya khusus untuk lelaki memandangkan ianya adalah permainan yang lasak. Manakala perempuan pula disifatkan dengan kelembutan dan keperibadiannya yang pemalu. Maka mereka diharuskan bersukan dengan apa sahaja jenis yang sesuai dengan kelembutannya seperti berlari atau berjalan kaki, asalkan ianya dibatasi dengan hokum-hukum syara’.
Disebabkan perbezaan fitrah inilah, misalnya sukan bolasepak hanya sesuai untuk lelaki kerana ianya memerlukan kelasakan, malahan perbuatan menendang bola amat tidak sesuai untuk perempuan dan bertentangan dengan fitrah yang telah ditetapkan bagi perempuan yang bersifat lemah lembut.

Bersambung dikeluaran akan datang….