Wednesday, January 29, 2014

MAAFKANLAH...


Maaf… memang tidak mudah memberi atau meminta maaf. Apatah lagi ketika hati diselubungi rasa benci, marah, dendam, sakit dan pedih. Hendak senyum pun rasa susah dan berat… Manakala bagi orang yang hendak meminta maaf pula, rasa takut, bersalah, berdosa, ego, sombong, angkuh, tidak mengaku kesalahan diri… berdalih serta menipu diri sendiri yang dia telah melakukan dosa tersebut.

Dalam surah al-Baqarah ayat 237, Allah Subhanahu wa Taála berfirman:

وَأَنْ تَعْفُوا أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى

Tafsirnya:
“Kalau kamu memaafkan, maaf itu lebih dekat kepada Taqwa.”

Dari ayat di atas difahami bahawa antara ciri-ciri orang yang bertaqwa ialah dia tidak mudah marah apabila orang lain melakukan kesilapan terhadap dirinya. Malah dia sentiasa berlapang dada dan memaafkan kesilapan tersebut. Dia sedar bahawa setiap makhluk itu melakukan kesilapan dan hanya Allah saja yang berhak membalasnya. Firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 134:

الَّذِينَ يُنفِقُونَ فِي السَّرَّاء وَالضَّرَّاء وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ وَاللّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

Tafsirnya:
“Iaitu orang yang menafkahkan (mendermakan) hartanya pada masa senang dan susah, orang yang menahan kemarahannya dan orang yang memaafkan kesalahan orang lain. (Ingatlah) Allah mencintai orang yang berbuat kebajikkan.”

Inilah antara ayat yang perlu dijadikan motivasi bagi umat Islam agar menahan perasaan marah dan ikhlas dalam memberi maaf, serta melakukan kebaikan yang lain sebagaimana yang  telah dinyatakan di dalam ayat yang tersebut di atas. Jelas bahawa Allah memberikan kedudukan serta kasihNya yang amat tinggi nilainya kepada ‘mereka-mereka’ yang sangat istimewa.

Memanglah berat dan amat susah untuk melupakan perlakuan yang tidak wajar oleh seseorang terhadap kita. Apatah lagi jika kita merasakan bahawa kita telah dianiaya atau dizalimi. Tidak hairanlah mengapa ada yang sampai bertindak diluar batasan kerana dendam, bukan setakat membela diri bahkan melampaui dari apa yang diterimanya.

Dalam perkara ini, umat Islam perlu menghayati firman Allah dalam surah asy-Syura ayat 39-40:

وَالَّذِينَ إِذَا أَصَابَهُمُ الْبَغْيُ هُمْ يَنْتَصِرُونَ (39)
وَجَزَاءُ سَيِّئَةٍ سَيِّئَةٌ مِثْلُهَا فَمَنْ عَفَا وَأَصْلَحَ فَأَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الظَّالِمِينَ (40)

Tafsirnya:
“Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang apabila ditimpa sesuatu perbuatan secara zalim, mereka hanya bertindak membela diri (sepadan dan tidak melampaui batas). Dan (jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya; dalam pada itu sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berlaku zalim.”

Melalui ayat di atas, dapatlah kita fahami bahawa mempertahankan diri terhadap kezaliman amatlah digalakkan dan merupakan langkah yang bijak. Janganlah kita mudah melenting apabila rasa dizalimi, dianiaya atau diperlakukan secara tidak adil oleh orang lain. Apa yang penting kita perlu bertindak sebagaimana yang dianjurkan.

Perlu diingat bahawa membela diri perlulah ditekankan khususnya dalam konteks perlakuan zalim yang berat yang akan meninggalkan kesan yang amat kronik, bukan saja kepada individu bahkan juga sekeliling seperti kejadian penindasan, penderaan, ketidakadilan atau kekerasan. Perkara serupa ini perlu dicegah dan dihentikan daripada berterusan sebelum mencetuskan mudharat yang lebih besar.

Walau bagaimanapun perlu diingat bahawa tindakan mempertahankan atau membela diri perlu sejajar dengan saranan yang telah ditetapkan iaitu tidaklah ia boleh melebihi dari apa yang telah diterimanya. Jika ia mampu membela diri akan tetapi tidak mahu melakukannya, bahkan dia memilih untuk memaafkan kerana cara itu difikirkannya akan lebih mendatangkan kebaikan kepada semua pihak, maka keutamaan tersebut dijamin oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan ganjaran yang lebih mulia.

Yakinlah bahawa maaf itu sebetulnya satu rahmat Allah kepada semua...



Monday, January 13, 2014

MEMPERINGATI KELAHIRAN RASULULLAH DENGAN PERASAAN CINTA TERHADAP BAGINDA

Sudah menjadi kelaziman di negara kita merayakan hari-hari kebesaran Islam seperti Sambutan Awal Tahun Hijrah, Peristiwa Isra' dan Mi'raj, Nuzul Al-Qur'an dan sebagainya. Sambutan ini diadakan bukan sahaja bagi memperingati hari kebesaran tersebut malahan ianya juga untuk diambil pengajaran, tauladan, iktibar dan sebagainya. Begitu juga dengan Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wassalam. Dari sambutan tersebut, kita dapat memperingati pengorbanan dan perjuangan Baginda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wassalam dalam mengembangkan dan meninggikan syiar Islam. Oleh itu bagi melahirkan rasa kasih sayang dan cinta kepada Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wassalam, sudah tentu sewajarnya tarikh keputeraan Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wassalam itu kita sambut dengan hati yang gembira dan penuh kesyukuran serta kita hayatinya dengan bersungguh-sungguh agar rahsia dan hikmat yang terkandung dalam sambutan tersebut dapat memberi kesan kepada keperibadian masyarakat Islam itu sendiri.
Sesungguhnya Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wassalam merupakan Uswah Hasanah iaitu ikutan atau contoh tauladan yang terbaik bagi seluruh manusia dalam semua aspek kehidupan seperti dari sudut ketaatan dan keimanan terhadap Allah Subhanahu Wata'ala, kemasyarakatan dan pergaulan, akhlak dan peribadi serta siasah pentadbiran dan sebagainya. Ini telah dijelaskan di dalam firman Allah Subhanahu Wata'ala di dalam surah Al Ahzab ayat 21:


لَقَدْ كانَ لَكُمْ في‏ رَسُولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كانَ يَرْجُوا اللهَ وَ الْيَوْمَ الْآخِرَ وَ ذَكَرَ اللهَ كَثيراً


Tafsirnya: "Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik Hari Akhirat serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak dalam masa susah dan senang".

Maka bersempena sambutan hari keputeraan Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam yang diadakan setiap tahun, marilah kita sama-sama menghayati dan mencontohi ketabahan serta kesabaran baginda dan para sahabat dalam menegakkan syiar islam sehingga terpancar kecemerlangan dan kegemilangan islam diseluruh pelusuk dunia.
Allah Subhanahu Wataala memerintahkan kita supaya cinta dan kasihkan Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam dengan mengikut sunnah yang dibawanya. Jika kita mencintai Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, kita setentunya banyak menyebut-nyebut baginda iaitu dengan berselawat. Semakin banyak kita berselawat, semakin besar ganjaran yang bakal diterima, bukan sahaja diakhirat malahan juga didunia ini. Diantara kelebihan berselawat itu ialah:

  • Allah akan berselawat (memberi rahmat, cahaya dan hadiah) kepada orang yang berselawat.
  • Akan mendapat syafaat Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam diakhirat nanti.
  •  Diangkat baginya sepuluh darjat, dicatatkan baginya sepuluh kebajikan, dihapuskan daripadanya sepuluh kejahatan.
  • Dimakbulkan doanya dan ditunaikan segala hajatnya dan ditutup segala aibnya.
  • Mendapat petunjuk serta hatinya hidup untuk menerima kebenaran.
  • Terlepas daripada huru-hara pada hari kiamat.


Sesungguhnya banyak jenis selawat yang boleh diamalkan. Diantaranya selawat Ibrahimiah, selawat Al-Munjiyat, selawat Syifaa, selawat Tafrijiyyah atau Annariyyah dan lain-lain lagi. Semuanya itu disebutkan keutamaan-keutamaannya setelah ia diamalkan oleh orang soleh. Melihat betapa besarnya kelebihan berselawat, maka alangkah beruntungnya umat islam yang mengamalkan selawat pada setiap masa dan ketika, tanpa mengira banyak atau sedikit dan bukannya hanya sekali dalam setahun, iaitu pada msa memperingati Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam sahaja, kerana apa yang lebih penting ialah keikhlasan dan istiqamah dalam mengamalkan selawat.

Akhirnya marilah kita mempertingkatkan rasa cinta dan kasih kita kepada Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam dengan memperbanyakkan selawat dan mengamalkan sunnah baginda, mudah-mudahan kita akan tergolong dikalangan mereka yang akan mendapat syafaat baginda diakhirat nanti. Amin Yarrabal Alamin.