Tuesday, April 29, 2014

HUTANG; Membayar & Menagihnya

  • Apakah perspektif Islam tentang hutang? 
Agama Islam tidak melarang umatnya untuk berhutang akan tetapi amalan berhutang adalah tidak digalakan sama sekali, lebih-lebih lagi apabila ianya akan menjadi satu beban kepada orang yang berhutang terutama sekali dalam hal untuk melunaskan hutang tersebut.

Mengenai hal berhutang ini, Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam ada menekankan bahawa perbuatan atau amalan berhutang ini bukanlah satu perkara yang boleh dipandang ringan atau remeh kerana bebannya akan terus berpanjangan dan tidak akan putus walaupun dengan kematian; yakni jika ianya belum dilunaskan.

Diriwayatkan oleh Imam an-Nasaie dari Muhammad bin Jahsy, Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

 
وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَوْ أَنَّ رَجُلًا قُتِلَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ثُمَّ أُحْيِيَ ثُمَّ قُتِلَ ثُمَّ أُحْيِيَ ثُمَّ قُتِلَ وَعَلَيْهِ دَيْنٌ مَا دَخَلَ الْجَنَّةَ حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ دَيْنُهُ

Maksudnya:
“Demi Tuhan yang diriku di tangan Nya, jika seorang lelaki itu terbunuh di jalan Allah, kemudian dia dihidupkan semula, kemudian dia terbunuh lagi, kemudian dia dihidupkan lagi, kemudian dia terbunuh lagi dalam keadaan dia menanggung hutang, ia tetap tidak akan dapat masuk syurga selagi hutangnya belum dibayar.”
(Sunan an-Nasaie; Juz 14/291)
  
Sabda Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam :

نَفْسُ الْمُؤْمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ

Maksudnya: "Roh seseorang mukmin itu tergantung-gantung (yakni dihalang daripada tempat yang mulia) dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu diunaskan bagi pihaknya."
(Riwayat Ahmad, at-Tirmidzi & Ibnu Hibban)

Dan sabda Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ دِينَارٌ أَوْ دِرْهَمٌ قُضِيَ مِنْ حَسَنَاتِهِ لَيْسَ ثَمَّ دِينَارٌ وَلَا دِرْهَمٌ

Maksudnya:
"Sesiapa mati, sedangkan dia masih menanggung hutang satu dinar atau satu dirham, maka akan diambil ganti daripada kebaikkannya, kerana di sana tidak ada dinar dan tiada ada pula dirham"
(Hadits riwayat Ibnu Majah)

  • Apakah hukum berhutang?
Hukum berhutang pada asalnya HARUS, namun status ini boleh berubah mengikut senario...

Hukum berhutang boleh menjadi WAJIB apabila niat berhutang itu bertujuan untuk memenuhi keperluan asas yang amat diperlukan (dharuri). Adapun perkara yang dimaksudkan dharuri ialah apabila ia tidak berhutang maka 5 perkara asas yang dilindungi di dalam Islam akan musnah atau rosak. 5 perkara tersebut adalah seperti berikut:
  1. Agama
  2. Nyawa
  3. Akal
  4. Maruah
  5. Harta
 Walau bagaimanapun, hukum berhutang ini boleh menjadi HARAM jika tujuan berhutang tersebut untuk perkara yang diharamkan oleh Islam. Perlu ditekankan di sini bahawa Islam mengharuskan perbuatan berhutang sebagai jalan untuk memperolehi atau mendapatkan keperluan-keperluan hidup yang asasi yang tidak dapat dielakkan dan kelonggaran tersebut bukanlah bertujuan untuk memuaskan hawa nafsu atau menuaikan kemahuan dan kehendak hati semata-mata.

  • Apakah perbezaan di antara keperluan dan kemahuan?
Bagi mengetahui perbezaan  di antara keduanya, kita perlu memahami terlebih dahulu mengenai dengan tingkatan keperluan dalam kehidupan. Tingkatan tersebut adalah seperti berikut:
  1. Dharuriyyat
  2. Hajiyyat
  3. Tahsiniyyat
a.    Dharuriyyat (sangat perlu).

Perkara yang sangat diperlukan dan jika tiada akan menghancurkan kehidupan. Untuk memahami tahap keperluan tersebut ialah dengan melihat jika perkara itu tidak ada maka ianya akan membawa kesan negatif atau buruk kepada 5 asas yang telah dinyatakan di dalam jawapan bagi soalan yang ke dua. Jika ianya tidak sampai ke tahap sedemikian, maka ia bukanlah dianggap suatu perkara yang sangat perlu.

b.    Hajiyyat (perlu).

Perkara ‘Hajiyyat’ adalah keperluan biasa, walau bagaimanapun kesan ketiadaannya tidak akan membawa ke peringkat seperti di atas. Jika sekiranya ianya dimiliki, maka ianya akan lebih memudahkan seperti memiliki kenderaan sendiri bagi tujuan ke tempat kerja, menjalankan tugas dan tanggugjawab dan sebagainya. Walau bagaimanapun, jika tidak dimiliki, individu tersebut masih boleh ke tempat kerja atau menjalankan tugas dan tanggunjawabnya bagi menjalani kehidupan seharian, iaitu dengan menaiki kenderaan awam atau ikhtiar lainnya. Akan tetapi, jika mempunyai kenderaan sendiri, maka rutin seharian akan lebih mudah dan berjalan lebih lancar. Maka dengan contoh tersebut, maka ianya dikategorikan sebagai ‘Hajiyyat’.

c.    Tahsiniyyat (nilai tambah).

Perkara bagi tingkatan ini pula lebih berbentuk perkara-perkara yang menjadi nilai tambah yang kurang diperlukan; yakni jika tiada tidak akan membawa kesan negatif atau buruk kepada kehidupan. Antara contoh yang dapat didatangkan di sini ialah seperti memiliki tempat tinggal, yang mana ianya  merupakan satu keperluan dharuri, akan tetapi jika individu tersebut ingin menghiasi rumah atau tempat tinggalnya dengan taman-taman bunga atupun taman permainan, maka perkara tersebut jatuh kepada ‘Tahsiniyyat’, yang mana ianya hanya berbentuk hiasan atau nilai tambah bagi mencantikan kediaman itu.

Maka dengan penjelasan yang tersebut di atas, kita akan dapat membezakan di antara ‘keperluan’ atau adakah ianya hanya berbentuk ‘kemahuan’ semata-mata. Dengan memahami tingkatan tersebut juga akan dapat membantu seseorang itu membuat perancangan kewangan yang lebih teratur dan seterusnya dapat menentukan apakah keutamaan dalam kehidupannya. Oleh yang demikian, amalan atau perbuatan serta beban hutang akan dapat dielakkan.

  • Apakah hukumnya memberi hutang?
Memberi hutang hukumnya adalah SUNAT dan sangat digalakkan kerana orang yang memberi hutang akan mendapat ganjaran yang istimewa di sisi Allah Subhanahu Wata’ala. Ianya merupakan amalan mulia, iaitu jika tujuannya untuk menolong meringankan beban orang yang dalam kesusahan dan kesempitan hidup.

Hukum memberi hutang ini juga akan berubah menjadi WAJIB, iaitu jika keadaan orang yang ingin berhutang itu di dalam keadaan darurat. Dan perlu diingatkan di sini, bahawa TIDAK WAJIB pula memberi hutang kepada mereka yang kaya dan ingin menambah kekayaannya.

Hukum memberi hutang juga boleh jatuh kepada MAKRUH iaitu jika ianya pada ‘zhan’ (sangkaan) bahawa hutang itu akan digunakan untuk tujuan yang haram.

  • Apakah hukum menagih hutang?
Hukum menagih hutang adalah HARUS kerana ia adalah hak kepada si pemberi hutang dan hendaklah ianya ditagih dengan cara yang terbaik, sebagaimana sabda baginda Rasulullah dari Umar dan Aisyah Radhiallahu ‘Anhuma:

مَنْ طَالَبَ حَقًّا فَلْيَطْلُبْهُ فِي عَفَافٍ وَافٍ أَوْ غَيْرِ وَافٍ

Maksudnya:
“Barangsiapa yang menuntut haknya, maka tuntutlah dengan cara yang baik, baik ia membayar atau tidak membayar.” (Sunan Ibnu Majah; Juz 7/262)

Dalam hal ehwal menagih hutang ini juga, Allah berfirman dalam surah al-Baqarah: 280 

وَإِنْ كَانَ ذُو عُسْرَةٍ فَنَظِرَةٌ إِلَى مَيْسَرَةٍ وَأَنْ تَصَدَّقُوا خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Tafsirnya:
“Jika dia (yang berhutang) dalam kesempitan, maka tunggulah sehingga lapang dan dijadikan sedekah adalah lebih baik lagi bagi kamu jika kamu mengetahui.”


Wednesday, April 09, 2014

KEHEBATAN ZIKRULLAH



Apabila menyebut mengenai zikir, segelintir orang mengatakan itu amalan para ustaz, para imam, para ulama dan salafussalih. Sebenarnya tidak sedemikian. Sebetulnya zikir ini untuk semua peringkat orang Islam tidak kira kaya ataupun yang miskin. Begitu juga, fahaman segelintir orang mengatakan zikir ini biasanya dilakukan dengan tasbih di tangan dan duduk di atas sejadah. Inilah antara pandangan manusia tentang zikir. Sebenaranya tidak semestinya begitu. 

Zikir ini sebetulnya amat luas skopnya. Menyebut nama Allah Subhanahu waTa’ala, zikrullah. Mengerjakan sembahyang fardhu dan sunat, zikrullah. Membaca al-Qur’an al-Karim, zikrullah. Berdoa untuk memohon hasanah (kebajikan) di dunia dan hasanah (kebajikan) di akhirat, merupakan zikrullah. Menjauhkan diri dari melakukan maksiat dan dosa, zikrullah. Bekerja untuk menyara keluarga, zikrullah. Menuntut Ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah merupakan zikrullah dan banyak lagi. Tetapi tidakkah kita terfikir, zikrullah ini memiliki kehebatan dan kelebihan tersendiri, yang mana manusia hanya mampu mengetahui sedikit sahaja. 

Zikrullah ini jika diamalkan sungguh-sungguh oleh seseorang, ia akan mencapai kedamaian dan ketenteraman jiwa. Sebagaimana Firman Allah Subhanahu waTa’ala dalam surah ar-Ra’d ayat 28:     

الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُمْ بِذِكْرِ اللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
.
Tafsirnya: (Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan “Zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.
Dan diriwayatkan dalam Sahih Muslim dari Abu Sa’id al-Khudri dan Abu Hurairah radhiallahu ‘anhuma bahawa keduanya menyaksikan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda:

ﻻَ ﻳَﻘْﻌُﺪُ ﻗَﻮْﻡٌ ﻳَﺬْﻛُﺮُﻭﻥَ ﺍﻟﻠﻪ ﻋَﺰَّ ﻭَﺟَﻞَّ ﺇِﻻَ ﺣَﻔَّﺘْﻬُﻢْ ﺍْﻟﻤَﻼَﺋِﻜَﺔُ، ﻭَﻏَﺸِﻴَﺘْﻬُﻢْ ﺍﻟﺮَّﺣْﻤَﺔُ، ﻭَﻧَﺰَﻟَﺖْ ﻋَﻠَﻴْﻬِﻢْ ﺍﻟﺴَّﻜِﻴﻨَﺔُ، ﻭَﺫَﻛَﺮَﻫُﻢُ ﺍﻟﻠّﻪ ﻓِﻴﻤَﻦْ ﻋِﻨْﺪَﻩُ.

Maksudnya: Tidaklah suatu kaum duduk berkumpul sambil berzikir (mengingati) Allah Subhanahu waTa’ala melainkan mereka itu dikelilingi oleh para malaikat dan diliputi rahmat dan turunlah ketenteraman ke atas diri mereka serta mereka disebut (diingati) Allah di sisi malaikat-malaikat-Nya.

Kedua-dua dalil al-Qur’an dan hadits di atas, dapat difahami bahawa ingatan kepada Allah itu menimbulkan ketenteraman, dan dengan sendirinya hilanglah segala macam kegelisahan, fikiran kusut, putus asa, ketakutan, kecemasan, keraguan dan dukacita. 

Bersambung....