Apabila menyebut mengenai zikir, segelintir orang mengatakan
itu amalan para ustaz, para imam, para ulama dan salafussalih. Sebenarnya tidak
sedemikian. Sebetulnya zikir ini untuk semua peringkat orang Islam tidak kira
kaya ataupun yang miskin. Begitu juga, fahaman segelintir orang mengatakan
zikir ini biasanya dilakukan dengan tasbih di tangan dan duduk di atas sejadah.
Inilah antara pandangan manusia tentang zikir. Sebenaranya tidak semestinya
begitu.
Zikir ini sebetulnya amat luas skopnya. Menyebut nama Allah
Subhanahu waTa’ala, zikrullah. Mengerjakan sembahyang fardhu dan sunat, zikrullah.
Membaca al-Qur’an al-Karim, zikrullah. Berdoa untuk memohon hasanah (kebajikan)
di dunia dan hasanah (kebajikan) di akhirat, merupakan zikrullah. Menjauhkan diri
dari melakukan maksiat dan dosa, zikrullah. Bekerja untuk menyara keluarga,
zikrullah. Menuntut Ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah merupakan zikrullah dan
banyak lagi. Tetapi tidakkah kita terfikir, zikrullah ini memiliki kehebatan dan
kelebihan tersendiri, yang mana manusia hanya mampu mengetahui sedikit sahaja.
Zikrullah ini jika diamalkan sungguh-sungguh oleh seseorang, ia akan
mencapai kedamaian dan ketenteraman jiwa. Sebagaimana Firman Allah Subhanahu
waTa’ala dalam surah ar-Ra’d ayat 28:
الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُمْ بِذِكْرِ اللَّهِ ۗ
أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
.
Tafsirnya: (Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang
tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan “Zikrullah” itu,
tenang tenteramlah hati manusia.
Dan diriwayatkan dalam Sahih Muslim dari Abu Sa’id al-Khudri
dan Abu Hurairah radhiallahu ‘anhuma bahawa keduanya menyaksikan Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda:
ﻻَ ﻳَﻘْﻌُﺪُ ﻗَﻮْﻡٌ ﻳَﺬْﻛُﺮُﻭﻥَ ﺍﻟﻠﻪ ﻋَﺰَّ
ﻭَﺟَﻞَّ ﺇِﻻَ ﺣَﻔَّﺘْﻬُﻢْ ﺍْﻟﻤَﻼَﺋِﻜَﺔُ، ﻭَﻏَﺸِﻴَﺘْﻬُﻢْ ﺍﻟﺮَّﺣْﻤَﺔُ، ﻭَﻧَﺰَﻟَﺖْ ﻋَﻠَﻴْﻬِﻢْ
ﺍﻟﺴَّﻜِﻴﻨَﺔُ، ﻭَﺫَﻛَﺮَﻫُﻢُ ﺍﻟﻠّﻪ ﻓِﻴﻤَﻦْ ﻋِﻨْﺪَﻩُ.
Maksudnya: Tidaklah suatu kaum
duduk berkumpul sambil berzikir (mengingati) Allah Subhanahu waTa’ala melainkan
mereka itu dikelilingi oleh para malaikat dan diliputi rahmat dan turunlah
ketenteraman ke atas diri mereka serta mereka disebut (diingati) Allah di sisi
malaikat-malaikat-Nya.
Kedua-dua dalil al-Qur’an dan hadits di atas, dapat
difahami bahawa ingatan kepada Allah itu menimbulkan ketenteraman, dan dengan
sendirinya hilanglah segala macam kegelisahan, fikiran kusut, putus asa,
ketakutan, kecemasan, keraguan dan dukacita.
Bersambung....
Mana sambungannya?? Siuk dh ku mmbaca :(
ReplyDelete