Thursday, June 25, 2015

MEMPERTINGKATKAN AMALAN DI BULAN RAMADHAN


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ (1) وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ (2) لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ (3)
Maksudnya:
Sesungguhnya kami telah menurunkan al-Quran pada malam lailatul qadr, dan tahukah engkau apakah malam lailatul qadr, malam lailatul qadr itu lebih baik daripada seribu bulan.
(al-Qadr 1-3)

Ketibaan bulan Ramadhan yang penuh dengan kemuliaan dan leberkatan amat dnanti-nanti oleh setiap umat islam dipelusuk dunia. Didalamnya terdapat keistimewaan yang tidak terdapat dalam bulan lain melainkan pada bulan Ramadhan iaitu satu malam yang dikenali sebagai malam lailatul qadr. Firman Allah subhanahu wa Ta’ala dalam surah al-Qadr telah menjelaskan bahawasanya ganjaran malam lailatul qadr itu adalah lebih baik daripada seribu bulan, maka betapa bertuahnya mereka memperolehi keberkatan pada malam ini kerana melakukan amal ibadat kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Sebaik sahaja memasuki malam ke 21 Ramadhan, Rasul shallallahu `alaihi wasallam mempertingkatkan amalan baginda dengan beriktikaf di masjid, membangunkan ahli keluarga baginda untuk bersembahyang dan sebagainya sepertimana hadits yang diriwayatkan oleh imam Muslim daripada Abdullah bin Omar radhiallahu anhuma
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَعْتَكِفُ فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ
Bermaksud:
“Adalah Rasul shallallahu `alaihi wasallam beriktikaf disepuluh malam daripada bulan Ramadhan”.

Iktikaf itu sangat tinggi nilainya, oleh itu ianya hendaklah dipenuhi dengan ibadat seperti membaca al-Quran, berzikir dan bertasbih. Amalan beriktikaf dapat mendorong hati dan mendidik jiwa seseorang supaya sentiasa mengingati Allah selain menanam dan memupuk perasaan cintakan ibadat dan masjid. Marilah kita sama-sama mempertingkatkan amal ibadat lebih-lebih lagi pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan. Janganlah kita mempersia-siakan peluang yang ada ini dengan lebih mementingkan urusan keduniaan. Mudah-mudahan segala amal ibadat yang kita lakukan disepanjang bulan Ramadhan ini berterusan dan diterima Allah Subhanahu wa Ta’ala serta mendapat keberkatan dan keredhaan dari Allah Subhanahu wa Ta’ala.
   تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُم، آمِين يا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ.......

Saturday, June 06, 2015

KEISTIMEWAAN AYAT KURSIY

­­Di dalam Surah al-Baqarah terdapat satu ayat utama yang dinamakan ayat kursiy. Ayat Kursiy ini adalah ayat yang ke 255, mengandungi 170 huruf, 50 kalimah dan 9 ayat yang mempunyai kelebihan dan keistimewaannya yang tersendiri. Ayat ini merupakan ayat yang paling mulia dan agung di dalam al-Quran, sebagaimana dijelaskan dalam sebuah hadits riwayat Imam Muslim daripada Ubay bin Ka’ab yang menyatakan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:
أَفْضَلُ الْقُرْآنِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ وَأَعْظَمُ آيَةٍ فِيهِ آيَةُ الْكُرْسِيِّ
Maksudnya: “Surah yang paling afdhal dalam al-Quran ialah Surah al-Baqarah dan ayat yang paling mulia dan agung di dalamnya adalah ayat Kursiy”
Di antara keistimewaan dan kelebihan ayat kursiy ini ialah :

1.    Sesiapa yang membaca ayat kursiy setiap kali selepas menunaikan sembahyang, dia akan memperolehi perlindungan daripada Allah subhanahu wa Ta’ala. Ini telah dijelaskan dalam sebuah hadits riwayat Imam ath-Thabarani menceritakan bahawa Abdullah bin Hassan dari bapanya dari datuknya, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

مَنْ قَرَأَ آيَةَ الْكُرْسِيِّ فِي دُبُرِ الصَّلاةِ الْمَكْتُوبَةِ كَانَ فِي ذِمَّةِ اللَّهِ إِلَى الصَّلاةِ الأُخْرَى
Maksudnya: “Sesiapa yang membaca ayat kursiy setiap kali selepas sembahyang fardhu, dia akan berada dalam perlindungan Allah sehingga ke sembahyang yang lain.”

2.  Di dalam kitab ad-Dur al-Mantsur daripada Ibn Mas’ud katanya: telah bertanya seorang lelaki kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam : Ya Rasulullah! Ajarkanlah aku sesuatu yang dengannya Allah memberi manfaat kepadaku. Baginda bersabda:

اِقْرَأْ آيَةَ اْلكُرْسِيّ فَإِنَّهُ يَحْفَظُكَ وَذُرِّيَّتُكَ وَيَحْفَظُ دَارُكَ, حَتَّى الدُّوَيْرَاتِ حَوْلَ دَارُكَ
Maksudnya: “Bacalah ayat kursiy sesungguhya ia akan menjagamu, zuriatmu, rumahmu malah setiap penjuru sekitar rumahmu”.

3.  Ayat kursiy apabila dibaca sebelum tidur, Insya Allah tidak akan diganggu oleh syaitan dengan mimpi-mimpi atau sebagainya. Ini telah dijelaskan dalam sebuah hadits riwayat Imam ad-Darimi daripada Ibnu Mas’ud ia berkata:
مَنْ قَرَأَ أَرْبَعَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْبَقَرَةِ وَآيَةَ الْكُرْسِىِّ وَآيَتَانِ بَعْدَ آيَةِ الْكُرْسِىِّ وَثَلاَثاً مِنْ آخِرِ
­­سُورَةِ الْبَقَرَةِ لَمْ يَقْرَبْهُ وَلاَ أَهْلَهُ يَوْمَئِذٍ شَيْطَانٌ وَلاَ شَىْءٌ يَكْرَهُهُ ، وَلاَ يُقْرَأْنَ عَلَى مَجْنُونٍ إِلاَّ أَفَاقَ
Maksudnya: “Sesiapa yang membaca empat ayat dari awal surah  al-Baqarah, ayat kursiy, dua ayat setelahnya dan tiga ayat terakhir dari surah al-Baqarah,maka tidak ada syaitan pun yang mendekati dirinya dan keluarganya pada hari itu, serta tidak ada pula sesuatupun yang ia benci (mendatangkan mudharat baginya). Tidaklah dibacakan ayat-ayat tersebut kepada orang gila, kecuali ia pasti sedar.

Dalam hadits riwayat Imam al-Bukhari juga ada menjelaskan daripada Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu,Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
إِذَا أَوَيْتَ إِلَى فِرَاشِكَ فَاقْرَأْ آيَةَ الْكُرْسِيِّ لَنْ يَزَالَ عَلَيْكَ مِن اللَّهِ حَافِظٌ وَلَا يَقْرَبُكَ شَيْطَانٌ حَتَّى تُصْبِحَ
Maksudnya: Jika engkau berbaring ditempat tidurmu, bacalah ayat kursiy. Dengan demikian, penjaga dari Allah tidak akan meninggalkanmu dan syaitan tidak akan mendekatimu hingga subuh.”

4. Menurut Kitab Sunan ad-Darimi, sesiapa yang membaca ayat kursiy dan surah al-Mu’min dari ayat satu hingga ayat tiga diwaktu pagi, dia tidak akan melihat sesuatu yang dibencinya sehingga petang, dan jika dia membacanya pada waktu petang, dia tidak akan melihat sesuatu yang dibencinya sehingga pagi.
مَنْ قَرَأَ آيَةَ الْكُرْسِىِّ وَفَاتِحَةَ حم الْمُؤْمِنِ إِلَى قَوْلِهِ (إِلَيْهِ الْمَصِيرُ) لَمْ يَرَ شَيْئاً يَكْرَهُهُ حَتَّى يُمْسِىَ،
وَمَنْ قَرَأَهَا حِينَ يُمْسِى لَمْ يَرَ شَيْئاً يَكْرَهُهُ حَتَّى يُصْبِحَ
Maksudnya: Sesiapa yang membaca ayat kursiy dan ayat pembuka surat al-Mu’min حم sampai firmanNya إِلَيْهِ الْمَصِيرُ (Dan hanya kepadaNyalah kembali (semua makhluk), maka ia tidak akan melihat sesuatu dibencinya sehingga petang. Dan sesiapa yang membacanya ketika berada diwaktu petang maka ia tidak akan melihat sesuatu yang dibencinya hingga pagi hari.”

والله أعلم بالصواب