Tuesday, December 08, 2015

PELIHARA DAN LAKSANAKANLAH SEMBAHYANG WALAUPUN DALAM PELAYARAN

Pelayaran adalah suatu aktiviti yang menyeronokkan dan memenatkan akan tetapi ia bukanlah alasan untuk kita meninggalkan perintah Allah Subhanahu Wataala dalam menunaikan sembahyang. Ini dapat dilihat menerusi kedudukan sembahyang ketika ia disyariatkan  oleh Allah Subhanahu Wataala iaitu secara langsung kepada Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi Wasallam tanpa perantaraan Jibril Alaihissalam  pada malam ketika baginda di mi'rajkan. 

Menunaikan sembahyang adalah satu kewajipan walau di mana dan dalam apa jua keadaan seklaipun, baik ketika sakit, musafir dan mahupun dalam ketakutan ketika peperangan. Bahkan jika sekiranya seseorang itu tidak berupaya untuk melaksanakan sembahyang secara berdiri, dia diberi kelonggaran oleh syara' untuk menunaikannya secara duduk, jika masih tidak berupaya, dilaksanakan secara berbaring dan jika berbaring pun tidak berupaya, memadailah dengan isyarat atau ditunaikan sekadar keupayaannya selama mana dia masih dalam lingkungan orang mukallaf.

Pelayaran di iktiraf oleh syara' sebagai salah satu sebab bagi seseorang itu mendapat keringanan atau rukhsah di dalam melaksanakan ibadah sembahyang menerusi jama' (mengerjakan dua fardhu sembahyang dalam satu waktu) dan qashar ( memendekkan empat rakaat menjadi dua rakaat). Akan tetapi bagi orang yang membuat pelayaran menggunakan kenderaan sama ada kereta, kapal terbang, atau kapal laut dan sebagainya, mereka boleh menunaikan ibadah sembahyang dan sembahyang itu adalah sah dan tidak perlu diulang atau diqadha sekiranya ditunaikan dengan menepati rukun dan syarat-syaratnya.

Menyentuh mengenai tuntutan menghadap qiblat ketika melaksanakan sembahyang fardhu di dalam pelayaran, hukumnya adalah wajib, berdasarkan hadits Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam  daripada Jabir bin Abdillah beliau berkata: ' Pernah Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam bersembahyang (sunat) di atas tunggangan Baginda di mana sahaja tunggangan itu menuju arah, tetapi apabila baginda hendak menunaikan sembahyang fardhu, baginda turun lalu menghadap qiblat.' Hadits riwayat Imam alBukhari.
 
Jadi bagaimanakah cara yang disarankan untuk dipraktikkan jika kita menunaikan sembahyang di dalam kenderaan, misalnya di dalam kapal terbang? Antara cara yang disarankan ialah:

Hendaklah berusaha mencari tempat untuk menunaikan sembahyang dengan bertanya kepada anak kapal. Jika ruang itu masih lagi digunakan kerana kerja-kerja kabin, maka hendaklah ditunggu sehingga kerja-kerja itu selesai atau kurang kesibukkannya.

Bagi yang tidak berupaya menunaikannya dengan cara berdiri disebabkan pening atau keadaan pesawat yang tidak stabil, maka diharuskan menunaikannya sambil duduk sama ada fardhu atau sunat.  

Jika tidak memperolehi tempat-tempat sembahyang yang sesuai, maka bolehlah menunaikan sembahyang  di tempat duduknya. Ketika hendak sujud hendaklah ditundukkan lebih rendah dari ruku'nya dan perlu diingat agar tidak mengabaikan tuntutan menghadap qiblat. Namun jika bersembahyang dengan duduk, seseorang itu boleh menghadap qiblat berbanding dengan melakukannya dengan berdiri tanpa menghadap qiblat, maka adalah wajib dia bersembahyang duduk.

Semoga dengan panduan yang diberikan akan memudahkan lagi  kita sebagai umat Islam dalam melaksanakan ibadah sembahyang dan menunaikannya sedaya yang termampu, bersesuaian dengan sabda Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Imam alBukhari dan Muslim yang bermaksud:
' Oleh itu apabila aku menegah kamu daripada sesuatu maka hindarkanlah ia, dan apabila aku memerintahkan kamu untuk melakukan sesuatu maka tunaikanlah ia seberapa mampu yang kamu boleh buat.'

( Dipetik dari buku Irsyad Hukum, tahun 2003, terbitan Jabatan Mufti Kerajaan, dalam tajuk 'IBADAH: MENGERJAKAN SEMBAHYANG KETIKA DALAM KAPAL TERBANG ).

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan