Wednesday, February 24, 2016

JUDI:Untung atau Rugi?

Di antara perbuatan haram dan dilarang oleh syara’ yang masih dilakukan oleh sebilangan kecil dari umat Islam ialah bermain judi. Secara amnya judi adalah satu permainan yang menggunakan wang atau lain-lainnya sebagai taruhan yang mana ianya menarik minat seseorang lebih-lebih lagi jika kesenangan itu cepat dan mudah diperolehi tanpa perlu bekerja dan berusaha keras. Sehinggakan permainan judi ini menjadi satu penyakit yang susah diubati apatah lagi sifat tabi’i manusia yang suka kepada kesenangan dan kemewahan harta benda. Sebagaimana firman Allah subhanahu wata'ala dalam surah A-li ‘Imraan ayat 14 tafsirnya: “Dihiaskan (dijadikan indah) bagi manusia kecintaan kepada keinginan-keinganan nafsu iaitu menyukai perempuan, anak pinak dan harta benda yang banyak dari emas dan perak, kuda pilihan lagi terlatih serta binatang-binatang ternakan dan tanam-tanaman. Semuanya itu adalah kesenangan hidup di dunia. Padahal disisi Allah ada sebaik-baik tempat kembali (iaitu syurga)”.
Dari itu berhati-hati dalam keghairahan mencari harta benda kerana ditakuti akan terjebak dengan perkara-perkara maksiat dan mungkar yang dilarang dalam Islam atau lebih teruk lagi membawa kepada yang haram.
Sesungguhnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah diperlihatkan di dalam peristiwa Isra’ dan Mi’raj pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran di antaranya ialah pengajaran yang berbentuk seksaan kepada umat baginda ketika di dunia yang mensia-siakan umur mereka sehingga kehari tua seperti mereka yang melakukan kemungkaran dan kemaksiatan.

PERBEZAAN ANTARA PERMAINAN DAN JUDI
·         Permainan tanpa judi
Tidak semua permainan termasuk dalam kategori judi. Perbezaan judi dan permainan tanpa judi ialah jika permainan yang mana pemenangnya memperolehi manfaat yang disediakan oleh pihak ketiga, bukan dari pihak-pihak yang terlibat dalam permainan itu. Permainan seperti ini dinamakan sebagai pertandingan dan manfaat yang diperolehi dianggap sebagai hadiah.
Selain itu juga sesuatu permainan itu tidak dianggap sebagai judi sekiranya manfaat yang diperolehi berasal dari satu pihak seperti sekiranya seorang berkata kepada temannya “jika kamu boleh mengalahkan saya, saya akan memberimu hadiah. Akan tetapi jika kamu kalah, tiada kewajipan atas kamu terhadap saya.
Ini berdasarkan kepada hadits yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Harits bahawa Rukhanah, salah seorang kafir Quraisy, pernah mengajak Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam untuk mengikuti permainan beradu tenaga seperti gusti. Dia menawarkan beberapa ekor kambing jika Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menang. Dalam perlawanan itu ternyata Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menang.

·         Permainan berunsur judi
Permainan berunsur judi ialah setiap permainan yang di dalamnya mengandungi unsur taruhan (harta atau material) dimana pihak yang menang atau untung berhak mengambil (merampas) harta atau material dari pihak yang kalah.
Secara amnya dapatlah dijelaskan bahawa dalam judi ada tiga unsur utama iaitu:
1.   Adanya pertaruhan harta yang berasal daripada pihak yang sedang berjudi
2.   Ada suatu permainan, untuk menentukan pihak yang menang dan yang kalah
3.   Pihak yang menang mengambil harta yang menjadi taruhan (murahanah), sedang pihak yang kalah akan kehilangan hartanya.

Islam telah mengharamkan semua unsur perjudian sama ada melalui permainan, hiburan atau sebagainya. Allah subhanahu wata’ala dan rasulNya mengharamkan judi dan menyuruh umat Islam menjauhinya kerana ia adalah perbuatan keji dan perbuatan syaitan serta tergolong daripada dosa-dosa besar.

Firman Allah Ta’ala dalam surah al-Baqarah ayat 219 ada menjelaskan mengenainya
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا
Tafsirnya: Mereka bertanya kepadamu (wahai Nabi Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “pada keduanya ada dosa besar dan ada pula manfaatnya-manfaatnya bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya”.

Pengharaman judi ini juga dkuatkan lagi dengan hadits Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang riwayatkan oleh Imam Malik, daripada Abu Musa al-Asy’arie, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
مَنْ لَعِبَ بِالنَّرْدِ فَقَدْ عَصَى اللَّهَ وَرَسُولَهُ
 Maksudnya: ”Barangsiapa bermain judi, maka ia berbuat derhaka kepada Allah dan RasulNya.”

Islam menitik beratkan kemaslahatan umatnya. Oleh itu setiap tegahan ataupun larangan yang telah ditetapkan oleh syara’ pasti ada hikmahnya. Di antaranya ialah apabila Islam memerintahkan umatnya mencari pekerjaan atau rezeki yang halal dengan cara berusaha mengikut landasan yang benar dan diredhai oleh Allah subhanahu wata’ala. Demikian juga pengharaman judi ini mengingatkan umat Islam bahawa pentingnya sifat adil, jujur dan amanah dalam setiap apa yang dilakukan kerana jika berlaku sebaliknya, ianya boleh mengakibatkan rasa tidak puas hati dan berlakunya permusuhan. Lebih teruk lagi boleh memecah belahkan pertalian silaturrahim sesama umat Islam. Di antara hikmahnya lagi ialah menghindarkan diri dari melakukan dosa-dosa besar dan penyakit sosial di antaranya seperti mencuri, merompak, menipu, pecah amanah, mencederakan atau membunuh orang.

Setiap perintah dan larangan yang ditetapkan oleh Allah subhanahu wata’ala sememangnya merupakan tanda kasih sayang Allah subhanahu wata’ala kepada hamba-hambaNya. Walaupun pada zahirnya ia seolah-olah membebankan namun disebaliknya terkandung pelbagai hikmah dan rahmat buat hamba-hambaNya.

Begitu halnya dengan judi, perbuatan berjudi sememangnya ditegah dan diharamkan di dalam syariat Islam tidak kira sama ada ianya dijadikan sebagai alat permainan untuk hiburan ataupun menjadikannya sebagai sumber untuk mencari pendapatan.

Perbuatan berjudi tidak membawa keuntungan malahan ianya menjadikan seseorang itu di dalam kerugian tidak kira dari segi manapun. Apa yang pasti perbuatan berjudi boleh merosakan aqidah, memporak-perandakan syariat dan meruntuhkan akhlak dan jati diri individu tersebut sebagai seorang muslim.



Monday, February 22, 2016

MENGHAYATI HARI KEMERDEKAAN BRUNEI

Firman Allah Subhanahu waTa'ala dalam Surah Saba' ayat 15:

لَقَدْ كَانَ لِسَبَإٍ فِي مَسْكَنِهِمْ آيَةٌ جَنَّتَانِ عَنْ يَمِينٍ وَشِمَالٍ كُلُوا مِنْ رِزْقِ رَبِّكُمْ وَاشْكُرُوا لَهُ بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ

Tafsirnya: Demi sesungguhnya bagi penduduk Saba’ (di Yaman) ada satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) terdapat di tempat tinggal mereka iaitu dua kebun (yang luas lagi subur, sebuah) di sebalah kanan dan (sebuah lagi) di sebelah kiri. (Lalu dikatakan kepada mereka): “Makanlah daripada rezeki (yang dikurniakan) Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya. (Negeri kamu ini ialah) negeri yang baik (aman dan makmur dengan buah-buahan yang banyak) dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan Yang Maha Pengampun”.


23 Februari merupakan tarikh yang penuh bersejarah bagi seluruh rakyat Brunei Darussalam tidak mengira usia, keturunan, bangsa dan agama. Ia diadakan bagi tujuan mengingatkan kembali pengorbanan generasi terdahulu yang telah berjuang untuk memastikan anak cucu mereka (iaitu kita semua yang ada hari ini) dapat hidup dalam suasana bebas, aman, makmur dan merdeka. Itulah harapan generasi pejuang kemerdekaan agar keturunan mereka tidak akan dijajah dan dibelenggu oleh kuasa luar.

Sebenarnya, perkara yang lebih utama dalam menyambut ulang tahun kemerdekaan di negara ini adalah untuk menterjemahkan sambutan ini ke dalam bentuk penghayatan, kesedaran dan kesyukuran. Slogan, laungan merdeka dan cuti umum tidak membawa apa-apa kesan jika kita sebagai rakyat Brunei tidak menghayati dengan penuh kesedaran dan kesyukuran nilai merdeka yang sebenarnya.

Penghayatan kemerdekaan bukan sekadar melaung-laungkan perkataan merdeka, tetapi juga bermaksud penghayatan dan pemahaman maksud dan kepentingan kemerdekaan yang dikecapi selama ini. Kesedaran tentang kemerdekaan bukan sahaja bermakna kita tahu bila dan di mana sambutan kemerdekaan diadakan, tetapi juga bermakna kita sedar bahawa kemerdekaan ini wajib dipertahankan agar bumi Brunei akan sentiasa kekal makmur, aman dan damai selamanya. Mensyukuri kemerdekaan bukan sahaja bererti kita gembira dengan kemerdekaan yang dikecapi, tetapi juga bererti kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah Subhanahu waTa’ala atas anugerah kemerdekaan yang begitu bernilai dan berharga ini yang menunjukkan akan tanda kekuasaan dan sifat pemurah bagi Allah Subhanahu waTa’ala kepada rakyat Brunei Darussalam.

Untuk itu, menjadi tanggungjawab kepada generasi kini untuk mengisi erti kemerdekaan ini selaras dengan perintah Allah Subhanahu waTa’ala dan rasul-Nya agar negara kita akan tetap kukuh berdiri di samping wujudnya orang-orang yang memiliki syakhsiah dan peribadi tinggi yang sentiasa berusaha memperbaiki kehidupan dunia untuk bekalan di kemudian hari yang lebih kekal. Allah Subhanahu waTa’ala sajalah yang memberi pengajaran, petunjuk dan hidayah bagi manusia. Negara dan agama tidak terpisah, malah sama-sama dibangunkan dengan amalan ajaran al-Quran dan Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Sama-sama kita berdoa, semoga Negara Brunei Darussalam akan sentiasa hidup dalam keadaan aman dan makmur serta mendapat rahmat dan hidayahNya. Semuanya kembali kepada Allah Subhanahu waTa’ala yang mentadbir dan mengaturkan segala urusan alam.

الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ

Tafsirnya: (Iaitu) mereka (umat Islam) yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang dan membayar zakat serta mereka menyuruh (berbuat) yang ma’ruf dan melarang daripada (mengerjakan) yang mungkar. Dan kepada Allah jualah kesudahan segala urusan. (Surah al-Hajj ayat 41).