لَقَدْ كَانَ لِسَبَإٍ فِي مَسْكَنِهِمْ آيَةٌ
جَنَّتَانِ عَنْ يَمِينٍ وَشِمَالٍ كُلُوا مِنْ رِزْقِ رَبِّكُمْ وَاشْكُرُوا لَهُ
بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ
Tafsirnya: Demi
sesungguhnya bagi penduduk Saba’ (di Yaman) ada satu tanda (yang membuktikan
kemurahan Allah) terdapat di tempat tinggal mereka iaitu dua kebun (yang luas
lagi subur, sebuah) di sebalah kanan dan (sebuah lagi) di sebelah kiri. (Lalu
dikatakan kepada mereka): “Makanlah daripada rezeki (yang dikurniakan) Tuhan
kamu dan bersyukurlah kepadaNya. (Negeri kamu ini ialah) negeri yang baik (aman
dan makmur dengan buah-buahan yang banyak) dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan Yang
Maha Pengampun”.
23 Februari
merupakan tarikh yang penuh bersejarah bagi seluruh rakyat Brunei Darussalam tidak
mengira usia, keturunan, bangsa dan agama. Ia diadakan bagi tujuan mengingatkan
kembali pengorbanan generasi terdahulu yang telah berjuang untuk memastikan
anak cucu mereka (iaitu kita semua yang ada hari ini) dapat hidup dalam suasana
bebas, aman, makmur dan merdeka. Itulah harapan generasi pejuang kemerdekaan agar
keturunan mereka tidak akan dijajah dan dibelenggu oleh kuasa luar.
Sebenarnya, perkara
yang lebih utama dalam menyambut ulang tahun kemerdekaan di negara ini adalah untuk
menterjemahkan sambutan ini ke dalam bentuk penghayatan, kesedaran dan
kesyukuran. Slogan, laungan merdeka dan cuti umum tidak membawa apa-apa kesan
jika kita sebagai rakyat Brunei tidak menghayati dengan penuh kesedaran dan
kesyukuran nilai merdeka yang sebenarnya.
Penghayatan
kemerdekaan bukan sekadar melaung-laungkan perkataan merdeka, tetapi juga
bermaksud penghayatan dan pemahaman maksud dan kepentingan kemerdekaan yang
dikecapi selama ini. Kesedaran tentang kemerdekaan bukan sahaja bermakna kita
tahu bila dan di mana sambutan kemerdekaan diadakan, tetapi juga bermakna kita
sedar bahawa kemerdekaan ini wajib dipertahankan agar bumi Brunei akan sentiasa
kekal makmur, aman dan damai selamanya. Mensyukuri kemerdekaan bukan sahaja
bererti kita gembira dengan kemerdekaan yang dikecapi, tetapi juga bererti kita
memanjatkan kesyukuran kepada Allah Subhanahu waTa’ala atas anugerah
kemerdekaan yang begitu bernilai dan berharga ini yang menunjukkan akan tanda
kekuasaan dan sifat pemurah bagi Allah Subhanahu waTa’ala kepada rakyat Brunei
Darussalam.
Untuk itu, menjadi tanggungjawab kepada generasi kini untuk mengisi erti
kemerdekaan ini selaras dengan perintah Allah Subhanahu waTa’ala dan rasul-Nya
agar negara kita akan tetap kukuh berdiri di samping wujudnya orang-orang yang
memiliki syakhsiah dan peribadi tinggi yang sentiasa berusaha memperbaiki
kehidupan dunia untuk bekalan di kemudian hari yang lebih kekal. Allah
Subhanahu waTa’ala sajalah yang memberi pengajaran, petunjuk dan hidayah bagi
manusia. Negara dan agama tidak terpisah, malah sama-sama dibangunkan dengan
amalan ajaran al-Quran dan Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Sama-sama
kita berdoa, semoga Negara Brunei Darussalam akan sentiasa hidup dalam keadaan
aman dan makmur serta mendapat rahmat dan hidayahNya. Semuanya kembali kepada
Allah Subhanahu waTa’ala yang mentadbir dan mengaturkan segala urusan alam.
الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ
وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّهِ
عَاقِبَةُ الْأُمُورِ
Tafsirnya: (Iaitu) mereka (umat Islam) yang jika Kami teguhkan
kedudukan mereka di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang dan membayar
zakat serta mereka menyuruh (berbuat) yang ma’ruf dan melarang daripada
(mengerjakan) yang mungkar. Dan kepada Allah jualah kesudahan segala urusan. (Surah al-Hajj ayat 41).
الحمدلله
ReplyDelete