Apabila wanita menuntut hak yang sama
dengan kaum lelaki termasuklah kebebasan melakukan segala macam olahraga yang
tidak sesuai dengan fitrah mereka, hasilnya kita melihat senario sukan ketika
ini, wanita telah banyak melibatkan dalam kebanyakan olahraga yang bercanggah
dengan fitrahnya dan mengenepikan aurat wanita Islam. Umpamanya sukan angkat
berat, tinju, gusti yang terang-terangan berlawanan dengan fitrah wanita yang
lemah lembut dan kurang lasak. Begitu juga dengan sukan renang yang mendedahkan
aurat wanita kepada umum. Tidak salah wanita mempelajari seni mempertahankan
diri dan tidak salah juga mempelajari cara berenang untuk keselamatan diri
tetapi tidak bolehlah sehingga mengenepikan nilai-nilai agama dan fitrah wanita
itu sendiri. Wanita Islam harus sedar akan batas-batas ini agar tidak
mencampakkan mereka ke dalam kemungkaran.
Dengan bersukan, kekuatan fizikal
dapat ditingkatkan, malah Islam turut menggalakkan umatnya mempersiapkan
kekuatan fizikal dan mengalakkan ibubapa mengajarkan anak mereka berenang,
memanah dan menunggang kuda seperti dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh
Imam at-Thabrani daripada Jabir bin Abdullah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam bersabda:
كل شيء ليس من ذكر الله فهو لهو و سهو إلا
أربع خصال: مشي الرجل بين الغرضين وتأديبه فرسه
وملاعبته أهله وتعلم السباحة
Maksudnya: Tiap-tiap sesuatu yang
tiada kaitannya dengan zikir Allah (mengingati Allah) dikira sia-sia atau lupa
kepada Allah, kecuali empat perkara; iaitu perginya seseorang antara dua
matlamat (iaitu bermain panah), mengajar kudanya, bermain-main dengan
isterinya, dan belajar berenang.
Pada asasnya, Islam tidak pernah
menolak sebarang bentuk aktiviti sukan, malah sangat menggalakkan umatnya
bersukan sebagai aktiviti riadah menyihatkan. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam turut menganjurkan umatnya menyertai aktiviti sukan sebagai
senaman yang paling mujarab dalam mengekalkan kesihatan tubuh badan.
Islam sebagai agama syumul sentiasa
mengambil berat mengenai hal ehwal umatnya disamping menjaga hubungannya dengan
Allah subhanahu wa Ta’ala. Justeru itu, Islam turut menetapkan beberapa syarat
dan peraturan yang perlu diguna pakai sebagai rujukan dalam menjana setiap
gerakgeri umatnya agar tidak terpesong daripada ajaran Islam yang hakiki. Dalam
situasi ini, Islam menyediakan garis panduan bertujuan memelihara kehormatan
golongan wanita Islam daripada perkara yang boleh melanggar batas moral, akhlak
dan aqidah.
Aurat bagi seorang wanita Islam di
khalayak ramai ialah keseluruhan anggota badan kecuali muka dan telapak
tangannya. Manakala aurat bagi seorang lelaki Islam pula ialah dari pusat
hingga lutut. Justeru selagi syarat dan peraturan menutup aurat ini tidak
dilanggar, maka tidaklah menjadi kesalahan atau halangan bagi wanita mahupun
lelaki membabitkan diri mereka dalam aktiviti sukan. Walaubagaimanapun,
terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira khususnya bagi kaum wanita.
Antaranya:
1 Hendaklah menutup
aurat dan tidak memperagakan diri mereka dengan tujuan menarik
perhatian
golongan lelaki
II Menjaga maruah
seorang wanita dan tidak menyerupai lelaki
III Tidak bergaul dengan
kaum lelaki sehingga melanggar batas-batas pergaulan
IV Olahraga yang dilakukan
hendaklah bersesuaian dengan fitrah wanita