Wednesday, March 23, 2016

Wanita Dan Olahraga

Apabila wanita menuntut hak yang sama dengan kaum lelaki termasuklah kebebasan melakukan segala macam olahraga yang tidak sesuai dengan fitrah mereka, hasilnya kita melihat senario sukan ketika ini, wanita telah banyak melibatkan dalam kebanyakan olahraga yang bercanggah dengan fitrahnya dan mengenepikan aurat wanita Islam. Umpamanya sukan angkat berat, tinju, gusti yang terang-terangan berlawanan dengan fitrah wanita yang lemah lembut dan kurang lasak. Begitu juga dengan sukan renang yang mendedahkan aurat wanita kepada umum. Tidak salah wanita mempelajari seni mempertahankan diri dan tidak salah juga mempelajari cara berenang untuk keselamatan diri tetapi tidak bolehlah sehingga mengenepikan nilai-nilai agama dan fitrah wanita itu sendiri. Wanita Islam harus sedar akan batas-batas ini agar tidak mencampakkan mereka ke dalam kemungkaran.

Dengan bersukan, kekuatan fizikal dapat ditingkatkan, malah Islam turut menggalakkan umatnya mempersiapkan kekuatan fizikal dan mengalakkan ibubapa mengajarkan anak mereka berenang, memanah dan menunggang kuda seperti dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Thabrani daripada Jabir bin Abdullah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

كل شيء ليس من ذكر الله فهو لهو و سهو إلا أربع خصال: مشي الرجل بين الغرضين وتأديبه فرسه وملاعبته أهله وتعلم السباحة

Maksudnya: Tiap-tiap sesuatu yang tiada kaitannya dengan zikir Allah (mengingati Allah) dikira sia-sia atau lupa kepada Allah, kecuali empat perkara; iaitu perginya seseorang antara dua matlamat (iaitu bermain panah), mengajar kudanya, bermain-main dengan isterinya, dan belajar berenang.

Pada asasnya, Islam tidak pernah menolak sebarang bentuk aktiviti sukan, malah sangat menggalakkan umatnya bersukan sebagai aktiviti riadah menyihatkan. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam turut menganjurkan umatnya menyertai aktiviti sukan sebagai senaman yang paling mujarab dalam mengekalkan kesihatan tubuh badan.

Islam sebagai agama syumul sentiasa mengambil berat mengenai hal ehwal umatnya disamping menjaga hubungannya dengan Allah subhanahu wa Ta’ala. Justeru itu, Islam turut menetapkan beberapa syarat dan peraturan yang perlu diguna pakai sebagai rujukan dalam menjana setiap gerakgeri umatnya agar tidak terpesong daripada ajaran Islam yang hakiki. Dalam situasi ini, Islam menyediakan garis panduan bertujuan memelihara kehormatan golongan wanita Islam daripada perkara yang boleh melanggar batas moral, akhlak dan aqidah.

Aurat bagi seorang wanita Islam di khalayak ramai ialah keseluruhan anggota badan kecuali muka dan telapak tangannya. Manakala aurat bagi seorang lelaki Islam pula ialah dari pusat hingga lutut. Justeru selagi syarat dan peraturan menutup aurat ini tidak dilanggar, maka tidaklah menjadi kesalahan atau halangan bagi wanita mahupun lelaki membabitkan diri mereka dalam aktiviti sukan. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira khususnya bagi kaum wanita. Antaranya: 

1     Hendaklah menutup aurat dan tidak memperagakan diri mereka dengan tujuan menarik
      perhatian golongan lelaki
II    Menjaga maruah seorang wanita dan tidak menyerupai lelaki
III   Tidak bergaul dengan kaum lelaki sehingga melanggar batas-batas pergaulan
IV   Olahraga yang dilakukan hendaklah bersesuaian dengan fitrah wanita

1 comment:

  1. saya hobinya berenang gan, semenjak saya mengenakan cadar saya tidak lagi berenang.
    hehehe
    sulit buat berenang di tempat umum, kadang melihat keponakan saya berenang, saya juga pengen ikut berenang.

    ReplyDelete

Silakan untuk sebarang pertanyaan